Friday, June 24, 2011

Melaka peruntuk RM50 juta atasi banjir kilat

bajir kilat, ali rustam, melakaMasalah banjir kilat yang selama ini menghantui penduduk di beberapa kawasan di bandar Melaka akan dapat diatasi berikutan selesainya Projek Tebatan Banjir Fasa Pertama.

Projek yang menelan belanja RM50 juta itu dimulakan sejak tiga tahun lalu, selepas menerima aduan penduduk berikutan masalah banjir kilat yang berlaku sebahagian besar kawasan bandar di negeri ini.



Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, fasa pertama melibatkan kerja-kerja pembesaran parit dan pembinaan rumah pam yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Melaka (JPSNM).

“Kita telah menyediakan sistem perparitan yang lebih besar bagi membantu air mengalir terus hingga ke sungai berhampiran untuk mengatasi masalah banjir yang berlaku,” katanya selepas melawat sistem perparitan di Kampung Pengkalan Rama dan rumah pam berhampiran Kampung Morten.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Zainal Abu.

Menurut Mohd Ali, kawasan terlibat adalah Kampung Chetti, Tangga Batu, Sungai Udang ,Taman Merak Mas, Bukit Katil, Lorong Pandan, Limbongan, Taman Melawis, Taman Sentosa, Bukit Beruang, Taman Peringgit Jaya dan Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka (IPPM) di Durian Daun.

"Hasil tinjauan yang dilakukan saya mendapati kebanyakan penduduk merasa lega kerana masalah banjir kilat yang berlaku dapat diatasi.

"Saya harap ia dapat memberi keselesaan sepenuhnya kepada mereka, bagaimanapun saya ingin memastikan rumah pam air yang dibina dapat berfungsi dengan baik untuk mengalirkan air hujan terutama dari Durian Daun dan Pengkalan Rama terus ke Sungai Melaka,” katanya.

Jelasnya, pihaknya sudah menyiapkan tender dan dokumen lengkap bagi Projek Tebatan Banjir Fasa Kedua yang kini hanya menunggu peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

“Kita berharap peruntukan bagi projek fasa kedua yang menelan kos sebanyak RM78 juta dapat diperolehi dengan segera bagi mengatasi masalah banjir dan membaiki sistem perparitan di beberapa buah tempat lagi di bandar ini.

“Kawasan yang dikenalpasti terlibat dalam projek tebatan banjir fasa dua ini adalah Kampung Enam dan Kampung Tujuh, Jalan Bachang, Sekolah Menengah Tun Tuah, Kampung Lapan, Parit Besar di Bukit Katil, kawasan di belakang pusat membeli belah Fajar, Bachang dan berhampiran Aeon Bandaraya Melaka, Peringgit Jaya,” katanya. Mk


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular