Tuesday, June 21, 2011

Interlock : Muhyiddin hanya "BERLAKON"

'Pelekat ajaib' masih tak murnikan Interlok


Pindaan 9 halaman menggunakan 'pelekat ajaib' dalam novel Interlok bertentangan dengan janji Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, dakwa panel pindaan novel itu Uthaya Sankar SB.
Sasterawan itu berkata, Muhyiddin yang juga menteri pelajaran pada 23 Mac lalu bersetuju menerima kesemua 106 pindaan yang meliputi lebih 40 halaman dalam novel itu.

NONEJusteru, Uthaya (kiri) menyifatkan tindakan kementerian itu "boleh ditafsirkan sebagai 'lakonan' dan sekadar bertujuan mengabui mata rakyat".
"Bagi saya, tindakan menggunakan 'pelekat ajaib' juga tidak membantu mengangkat maruah dan hak Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang Dipertuan Agong pada 1996," katanya.

New Straits Times hari ini melaporkan, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, dalam pindaan terbaru, pihaknya akan menggunakan pelekat di 9 halaman yang berkenaan.

Menulis di blognya hari ini, Uthaya berkata, selagi kesemua pindaan yang diperakukan tidak dilaksanakan seperti dijanjikan, selagi itulah Interlok belum “dimurnikan”.

"Saya sedia menerima undangan untuk tampil memberi penerangan lanjut berhubung perkara ini kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan yang berminat mendapatkan penjelasan lebih mendalam berserta bukti berhubung kontroversi ini," katanya. Mk 




Berikut kenyataan rasmi Uthaya Sankar SB pada 21 Jun 2011, jam 3:00 petang berikutan perkembangan terbaru dalam kontroversi novel Interlok Edisi Murid.


1. Pindaan menggunakan “pelekat ajaib” pada Interlok Edisi Murid (2010) adalah bertentangan dengan apa yang dijanjikan Menteri Pelajaran bagi 106 pindaan yang dikemukakan Wakil Kaum India.


2. Sebelum ini, saya mendengar khabar mengenai langkah menggunakan pelekat khas (saya namakan “pelekat ajaib” kerana kedengaran lebih menarik) bagi memurnikan novel Interlok Edisi Murid dan sila KLIK DI SINI untuk membaca catatan itu.


3. Pada 21 Jun 2011, akhbar New Straits Times menyiarkan berita yang mengesahkan bahawa “pelekat ajaib” digunakan untuk melakukan pindaan pada sembilan halaman sahaja dan langkah mengerah tenaga guru-guru untuk melakukan kerja itu dikatakan lebih mudah (murah?) dan dikatakan sesungguhnya itu adalah kerja guru.


4. Saya tidak setuju bahawa pindaan menggunakan “pelekat ajaib” hanya perlu melibatkan sembilan halaman novel berkenaan.


5. Senarai pindaan yang dikemukakan oleh Tiga Wakil Kaum India dalam Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok pada 28 Februari 2011 melibatkan pindaan (penyuntingan, pengguguran, penambahan, pembetulan) bagi 106 perkara yang turut melibatkan hak pengarang, kesalahan fakta dan perkara-perkara menyentuh sensitiviti kaum.


6. Senarai 106 pindaan yang dikemukakan oleh Tiga Wakil Kaum India (Profesor Dr NS Rajendran, G Krishnabahawan dan Uthaya Sankar SB) diperakukan oleh Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok pada 4 Mac 2011.


7. Orang ramai boleh menghubungi uthayasb@yahoo.com.my untuk mendapatkan senarai lengkap 106 saranan pindaan itu sebagai rujukan.


8. Pada 16 Mac 2011, jam 2:00 petang, Tiga Wakil Kaum India turut menghadiri “Perjumpaan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Karya SN Datuk Abdullah Hussain Bersama YAB Menteri Pelajaran”(tajuk surat bertarikh 15 Mac 2011) di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Aras 3, Menara Parlimen. Pada mesyuarat itu, berlaku insiden tertentu yang akhirnya memaksa Tiga Wakil Kaum India berundur daripada Panel Bebas dan sila KLIK DI SINI untuk membacanya.


9. Pada jam 12:00 tengah hari, 23 Mac 2011, Tiga Wakil Kaum India memenuhi undangan ke perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri (Menteri Pelajaran) di Aras 3, Menara Parlimen. Sila KLIK DI SINIuntuk membaca kenyataan berkaitan.


10. Pada perjumpaan 23 Mac 2011, Menteri Pelajaran bersetuju bahawa 87 daripada 106 saranan pindaan yang dikemukakan Tiga Wakil Kaum India diterima tanpa perlu dibahaskan dan kerja-kerja pindaan akan dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


11. Pada perjumpaan 23 Mac 2011, sejumlah 19 daripada baki saranan pindaan itu (106 – 87 = 19) dibincang dan dibahaskan. Akhirnya, kesemua 19 perkara itu yang menyentuh sensitiviti kaum dan melibatkan kesalahan fakta diterima untuk pindaan berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan Tiga Wakil Kaum India.


12. Hal ini bermakna, jumlah pindaan yang dikemukakan Tiga Wakil Kaum India dan diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011 serta juga dipersetujui Menteri Pelajaran pada 23 Mac 2011 adalah 106 perkara.


13. Hal berkaitan pindaan ini dibentangkan oleh Menteri Pelajaran di Parlimen pada 24 Mac 2011 dan silaKLIK DI SINI untuk membaca teks penuh untuk pemahaman secara mendalam agar tidak timbul kekeliruan.


14. Pada 25 Mac 2011, Krishnabahawan dan saya mengadakan sidang media untuk menerangkan serta menjelaskan kepada wakil media, orang ramai, wakil parti politik dan wakil NGO mengenai 106 pindaan yang sudah dipersetujui Menteri Pelajaran dan bakal dilakukan. Sila KLIK DI SINI untuk membaca mengenainya.


15. Pada pagi 25 Mac 2011, sebelum sidang media bermula, kami berdua juga menerima panggilan telefon dari pejabat Perdana Menteri yang memberi jaminan bahawa novel Interlok Edisi Murid akan dicetak semula sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah untuk digunakan sebagai teks Komsas. G Krishnabahawan turut mengumumkan perkara ini pada akhir sidang media dan kenyataan itu mendapat sambutan positif daripada hadirin.


16. Maka, kenyataan mewakili Kementerian Pelajaran sebagaimana disiarkan di akhbar New Straits Timespada 21 Jun 2011 adalah bertentangan dengan apa yang dipersetujui dan dijanjikan Kerajaan kepada Rakyat.


17. Bagi saya, keputusan menggunakan “pelekat ajaib” bagi melakukan pindaan terhadap novel Interlok Edisi Murid atas apa alasan sekalipun adalah tanda hancurnya kepercayaan dan harapan yang diletakkan terhadap kredibiliti, kemampuan dan integriti Kementerian Pelajaran dalam menyelesaikan kontroversi ini secara baik.


18. Saya menerima pertanyaan daripada sekian ramai anggota masyarakat India yang tertanya-tanya mengapa kenyataan yang saya kemukakan semasa sidang media pada 25 Mac 2011 sangat berbeza dengan realiti seperti dilaporkan di akhbar New Straits Times pada 21 Jun 2011.


19. Sekali gus, mereka mempersoalkan kredibiliti dan integriti saya sebagai individu yang pernah dilantik menganggotai Panel Bebas yang bersidang mulai 16 Februari 2011. [BACA DI SINI]


20. Bagi saya, tindakan menggunakan “pelekat ajaib” juga tidak membantu mengangkat maruah dan hak Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang Dipertuan Agong pada 1996.


21. Antara saranan pindaan yang dikemukakan dan diperjuangkan Tiga Wakil Kaum India dalam Panel Bebas adalah supaya nama Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dinyatakan pada kulit depan novel Interlok Edisi Murid; dan hak cipta karya perlu diberi atas nama pengarang di Halaman Hak Cipta.


22. Kami minta supaya perlu juga dinyatakan bahawa novel Interlok Edisi Murid (2010) adalah edisi yang disunting daripada Interlok Edisi Pelajar (2005) dan bahawa novel ini menang hadiah penghargaan dalam Peraduan Mengarang Sempena 10 Tahun Merdeka.


23. Bagi saya, sekiranya “pelekat ajaib” digunakan hanya untuk melakukan pindaan pada sembilan muka surat novel Interlok Edisi Murid seperti dilaporkan di akhbar New Straits Times pada 21 Jun 2011, maka segala apa yang dijanjikan dan dilakukan Kementerian Pelajaran sejak 27 Januari 2011 [BACA DI SINIhanyalah apa yang boleh ditafsirkan sebagai “lakonan” dan sekadar bertujuan mengabui mata Rakyat.


24. Selagi kesemua 106 pindaan pada novel Interlok Edisi Murid yang dikemukakan Tiga Wakil Kaum India dan diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011 serta dipersetujui Menteri Pelajaran pada 23 Mac 2011 tidak dilaksanakan, selagi itulah novel itu belum “dimurnikan” seperti dijanjikan.


25. Saya sedia menerima undangan untuk tampil memberi penerangan lanjut berhubung perkara ini kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat mendapatkan penjelasan lebih mendalam berserta bukti berhubung kontroversi ini. - uthayasb.blogspot

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular