SEWAKTU Senator Nick Xenophone dihalau pulang dari Malaysia lantaran keterlibatan aktifnya dalam politik negara ini serta keakrabannya dengan pemimpin oposisi, pesuruh propaganda United Malays National Organisation begitu bersemangat sekali menyuruh Senator Australia itu tidak masuk campur urusan politik Malaysia.
Malaysia, bagi orang UMNO, dan politik Malaysia terutamanya hanya boleh dibicarakan, atau dimainkan oleh orang Malaysia sahaja. Malah para macainya turut galak menyatakan bahawa ehwal politik Malaysia hanya patut dikerjakan oleh mereka yang ‘ahli’. Dalam kata lain, hanya politisi UMNO. Selain daripada itu, tak boleh.
Maka apabila saya melihat obsesi lidah rasmi UMNO dengan politisi Indonesia, si Jusuf Kalla; saya jadi keliru.
Adakah Jusuf Kalla itu halal terbabit politik Malaysia kerana dia bersongkok macam orang UMNO?
Muka depan Utusan Malaysia minggu lalu memetik Jusuf (disebut ‘Yusuf’) sebagai menyebut bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai imaginasi yang melampau. Selalunya kalau tajuk berita seperti ini disiarkan Utusan Malaysia, kita akan menyangka bahawa Utusan Malaysia mahu bercerita mengenai fantasi pelik Anwar yang pernah diberitahu kepada Jusuf.
Ya lah, Utusan dan kelucahan kan hampir langsung tidak dapat dipisahkan.
Tetapi Utusan Malaysia kali ini cuba memberitahu kita bahawa Anwar berimaginasi mahu menjadi Perdana Menteri meski kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
Apa yang Utusan Malaysia tidak beritahu kita adalah Pakatan Rakyat yang dipimpin Anwar tidak kalah, malah menambah bilangan kerusi di Parlimen. Utusan Malaysia juga tidak beritahu kita bahawa 51% daripada jumlah keseluruhan pengundi memilih Pakatan Rakyat dan kerajaan UMNO yang ada hari ini ialah kerajaan minoriti yang gagal kelihatan popular di mata keseluruhan pengundi serata negara.
Namun disebabkan Utusan Malaysia ini akhbar milik UMNO dan melazimi fitnah dan mahir manipulasi politik persepsi, maka disembunyikan hakikat yang itu dan sekadar bermain retorika imaginasi Anwar dan keinginan rakyat untuk menggulingkan pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Seolah-olah BN, Najib Razak, Muhyiddin Yassin langsung tak ada nafsu untuk menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.
Dan Jusuf Kalla dipergunakan UMNO dan organ propagandanya untuk memperlihatkan apa yang ia mahu rakyat tahu. Langsung tidak disebut apa sebenarnya rundingan belakang pintu yang dibuat antara ketiga-tiga pemimpin itu.
Asalkan boleh membantai Anwar Ibrahim, maka itulah dia bahan berita muka depan Utusan Malaysia. Seolah-olah tak ada berita lain, meski sudah hampir dua bulan pilihan raya berakhir. Ternyata obsessi Utusan Malaysia dan UMNO dengan si Anwar Ibrahim ini sampai kiamat pun tak akan berakhir.
Barangkali itulah imaginasi melampau Utusan Malaysia setiap malam sebelum tidur. Imaginasi yang menjadi igauan dan mimpi ngeri berulang kali – Anwar Ibrahim.-Roketkini.com
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
No comments:
Post a Comment