Monday, July 1, 2013

Pengerusi SPR kena letak jawatan sebelum PRK Kuala Besut


KUALA LUMPUR, 30 JUN: Sudah sampai masanya Tan Sri Abdul Aziz meletak jawatan sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut kerana gagal mengurus selia Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dengan telus.

Menurut Ahli Parlimen Batu Kawan,Kasthuri Patto, kewajaran Abdul Aziz meletak jawatan seiring dengan Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan yang antara lain menyatakan barisan ahli lembaga SPR yang di lantik oleh Yang di Pertuan Agong perlu mendapat keyakinan awam.

“Beliau kena letak jawatan supaya dengan kepimpinan baru, proses pilihan raya mendapat kepercayaan rakyat sekaligus dapat kembalikan demokrasi ke atas landasannya,” ujarnya.

Sambil menzahirkan rasa sedih di atas kematian Ahli Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar, Kasthuri dalam masa yang sama mempersoalkan adakah SPR yang ditunjangi Abdul Aziz mampu untuk berlaku telus dan adil dalam pilihan raya kecil yang bakal berlangsung.

“Selepas pelbagai laporan penipuan, tidak adil dan tidak bebas dilemparkan terhadap SPR, adakah mereka mampu untuk meraih keyakinan umum pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Terengganu nanti?,” soal beliau.

Menurutnya, semua protes dan perhimpunan-perhimpunan aman yang berlaku seluruh Malaysia sebelum ini adalah kerana kegagalan agensi itu melaksanakan pilihan raya dengan adil.

Tambahnya, Dengan pelbagai bukti ketempangan pengurusan SPR seperti isu dakwat kekal, pembelian undi, politik perkauman dan sebagainya,ia sudah cukup mewajarkan kepimpinan tertinggi SPR meletak jawatan.

“Lebih banyak persoalan yang timbul dari jawapan pasti. Pengerusi SPR kata hanya Yang di Pertuan Agong sahaja yang boleh mengarahkan pihaknya meletak jawatan tapi apa yang beliau lupa, SPR juga perlu mendapat keyakinan orang awam.

“Bagaimana beliau boleh menjamin keyakinan pengundi di Kuala Besut bahawa proses demokrasi, kebebasan, adil dan telus dalam PRK di sana nanti?,” ujar Kasthuri.

Selepas PRU13 lalu, Barisan Nasional (BN) sendiri telah memfailkan 21 petisyen keputusan pilihan raya manakala Pakatan Rakyat (PR) telah memfailkan 25 petisyen. – Roketkini.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular