Friday, October 12, 2012

RAKYAT JELATA MELAYU JANGAN DI-BODOHKAN TERUS!


Berikut adalah sebuah rencana pengarang dari majalah Kenchana yang diterbitkan pada tahun 1947 yang memberi perspektif politik dari sudut pandangan rakyat jelata Melayu kelas bawah yang sangat berbeza dari perspektif yang sering digambarkan dalam sejarah arus perdana yang mengambil sudut pandang golongan kelas atas dan kelas pemerintah.

Rencana ini dengan berani mengambil pendirian pro-demokrasi dan pro-"Kedaulatan Rakyat" dan mengkritik budaya dan pemikiran feudal yang wujud dikalangan masyarakat Melayu.
---------------------------------------------
RAKYAT JELATA MELAYU JANGAN DI-BODOHKAN TERUS!

Soal Malayan Union bisa dapat dirobohkan oleh orang Melayu Am apabila mereka ketahui Sultan-sultan Tanah Melayu menjualkan Kemerdekaan Negeri Melayu kepada Kerajaan Inggeris dengan tidak berunding dan tidak setahu Rakyat Jelata Melayu... dan kemudian orang Melayu dapat menebusnya semula.

Tetapi malang Tanah Melayu yang baharu ditebus semula Rakyat Jelata itu telah hendak dimasukkan semula ke dalam lukah Inggeris oleh Raja-raja Melayu dan penganjur-penganjur yang memikirkan dirinya telah penuh berkuasa di atas Rakyat Jelata, dan pekerjaannya ini juga dengan tidak berunding dengan Rakyat Jelata dan telah pandai-pandai berunding dengan Kerajaan inggeris merancang pula Persekutuan Negeri Melayu, konon!

Apabila cadangan Persekutuan Negeri-negeri Melayu dizahirkan kepada pengetahuan ramai, Rakyat Jelata Melayu telah sama membantah tidak bersetuju dengan rancangan itu kerana cadangan itu tidak berunding dengan Rakyat Jelata dan cadangan dalam Perlembagaan baharu itu tidak berdasar Demokratik! Cadangan itu tetap tidak mementingkan nasib Rakyat Melayu Jelata, cadangan itu hanya untuk faedah Raja-raja Melayu dan Orang Besar-besarnya sahaja.

Bertambah malang nasib orang Melayu Jelata, apabila mereka bersuara membantah cadangan Perlembagaan baharu itu lalu mereka dituduh dan dichap menderhaka oleh Raja-raja Melayu dan orang-orang Besar serta penganjur-penganjurnya yang hendak menipu rakyat Jelata.

Pihak Kenchana tetap berdiri di sisi Rakyat Melayu Jelata dan mempertahankan Kedaulatan Rakyat, dengan sebab itu bersama-sama dengan Rakyat Melayu Jelata membantah cadangan Perlembagaan baharu Malaya itu tidak sah kerana rancangan itu hanya diperbuat oleh 12 orang yang dilantik oleh Kerajaan Inggeris, bukan dari Rakyat Jelata yakni tidak berdasarkan Kedaulatan Rakyat.

Kerajaan Inggeris, Raja-raja Melayu dan orang-orang Besar Melayu patut mesti sedar, yang Rakyat Jelata Melayu masa ini bukan boleh disamakan seperti masa sebelum perang yang baharu lepas ini atau seperti orang Melayu zaman dahulu kala hanya menyerahkan nasibnya dan jiwa raganya kepada Raja-rajanya, atau kepada orang Besarnya, orang Melayu hari ini telah sedar dan mengerti tanggungan mereka ke atas Tanah Airnya dan Bangsanya mereka tidak redha nasib mereka diperjudikan oleh Rajanya atau oleh Penganjurnya kerana kepentingan diri Raja-raja dan Penganjur-penganjur itu, mereka berkehendakkan kemuliaan hidup dan Kemerdekaan Bangsa dan Tanah Airnya.

Sebab itu di sini Kenchana berseru dan mencadangkan kepada Kerajaan Inggeris dan Raja-raja Melayu serta Penganjur-penganjur Melayu iaitu berhubung dengan pemerintah Malaya yang akan datang mestilah memakai Kedaulatan Rakyat yang sebenar, serta corak pemerintahan yang hendak diadakan itu mestilah berunding dan dapat persetujuan dari Rakyat Melayu Jelata, bukan hanya dengan Raja-raja dan orang Besar-besar Melayu yang hanya mementingkan diri mereka sahaja.

Di sini juga Kenchana memperingatkan kepada saudara-saudara sebangsa dan setanah air supaya lebih ingat dan berjaga-jaga kena pelemah dari Kerajaan dan bangsa-bangsa dagang yang hendak masukkan kita ke dalam perangkap mereka, orang Melayu mesti sedar iaitu orang Melayu boleh merdeka dan layak merdeka seperti bangsa yang merdeka dalam dunia ini.

Lagi Kenchana memperingatkan yang bangsa kita terjajah beratus tahun lamanya, dan kita telah berserah bulat nasib kita ke tangan Raja-raja dan orang Besar-besar dan akhirnya hingga hari ini kita telah nampak terang yang nasib bangsa Melayu amat buruk iaitu: bodoh, miskin, melarat, dan terhimpit, kalah dalam segala perjuangan, maka semuanya ini kerana hanya kita percaya dan taat kepada ketua-ketua kita yang tidak mengendahkan nasib bangsanya, sebab itu bangkitan kita pada kali ini mestilah disusun dengan rapi supaya jangan dapat lagi diperjudikan oleh Pengkhianat Bangsa dan Tanah Air yang bertopengkan pura-pura menjadi Penyelamat Bangsa.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular