Saya perturunkan di sini kandungan kertas kerja yang bertajuk TAHALUF SIYASI DALAM KONTEKS PERJUANGAN PAS DI MALAYSIA PASCA PRU-12 SERTA PANDANGAN GOLONGAN ULAMA HARAKI MENGENAINYA sebagai satu bahan yang akan digunakan di dalam satu program dalaman parti. Sebagai draf pertama,
saya amat berbesar hati sekiranya ada di kalangan pembaca boleh melontarkan kritikan dan idea ke arah memantapkan lagi lontaran fikrah yang terkandung di dalam penulisan ini.
saya amat berbesar hati sekiranya ada di kalangan pembaca boleh melontarkan kritikan dan idea ke arah memantapkan lagi lontaran fikrah yang terkandung di dalam penulisan ini.
TAHALUF SIYASI DALAM KONTEKS PERJUANGAN PAS DI MALAYSIA PASCA PRU-12 SERTA PANDANGAN GOLONGAN ULAMA HARAKI MENGENAINYA
Oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari
Muqaddimah
Pilihanraya umum ke 12 yang telah diadakan pada 8 Mac 2008 yang lalu telah menyaksikan keruntuhan tembok keangkuhan kerajaan UMNO/BN. Buat pertama kalinya dalam sejarah, mereka dimalukan dengan begitu teruk dan mencipta rekod kekalahan yang tercorot selepas mencapai rekod kemenangan terbaik dalam pilihanraya umum ke 11 pada tahun 2004. Buat pertama kali dalam sejarah juga, masyarakat Malaysia bersatu padu dalam menumbangkan penguasaan UMNO/BN dengan mengundi pembangkang tanpa mengira agama dan warna kulit.
Banyak faktor yang boleh disenaraikan yang menjadi penyumbang kepada prestasi pihak pembangkang pada kali ini. Apa yang paling utama ialah kegagalan UMNO/BN untuk melaksanakan tradisi membela rakyat dengan kenaikan harga barang, kos kehidupan yang semakin tinggi serta angka jenayah yang membimbangkan. Selain dari itu, isu-isu rasuah, penyelewengan, kronisma serta skandal badan kehakiman menambah kebencian rakyat kepada kerajaan yang ada yang akhirnya membawa mereka untuk mengundi pembangkang sebagai alternatif kepada UMNO/BN.
Secara jujurnya, PAS yang turut mendapat manfaat di dalam arus kebangkitan rakyat ini sebenarnya masih belum boleh dikatakan berjaya di dalam mempromosi dasar perjuangan Islamnya kepada rakyat. Ini boleh dilihat dari sudut sokongan orang-orang Melayu (kecuali di Kelantan) yang tidak menunjukkan peningkatan yang ketara kepada PAS. Gelombang kebangkitan ini sebenarnya amat kuat berlaku di kalangan masyarakat bukan Melayu dan non muslim yang akhirnya membawa kemenangan kepada calon-calon PAS sekalipun mereka bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu.
Sokongan yang seperti ini dibimbangi tidak bertahan lama. Oleh yang demikian, di dalam menyesuaikan diri dengan kemenangan yang ada, PAS perlu menyusun semula strategi pemasarannya di tengah-tengah masyarakat agar mood rakyat dapat dikekalkan dan sekaligus mempromosikan dasar PAS yang meletakkan Islam sebagai tunjang perjuangan. Dasar inilah yang akhirnya PAS menjadi parti yang bebas rasuah, anti penyelewengan dan pentadbiran yang bersih seperti yang ditunjukkan di Kelantan.
Pengertian Tahaluf Siyasi
Tahaluf Siyasi membawa makna kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama. Tahaluf Siyasi juga kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau berpotensi untuk menentang ideologi harakah Islam. Dalam suasana hari ini, tahaluf siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk menghadapi musuh yang sama.
Sejarah Ringkas Tahaluf Siyasi Dalam Perjuangan PAS
Soal tahaluf siyasi atau kerjasama politik bukan perkara baru bagi PAS. Polemik yang panjang berlaku di dalam PAS pada tahun 1970-an ketika menerima tawaran dari Allahyarham Tun Abdul Razak untuk menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan. Kemudian, sebelum menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) ditubuhkan menggantikan Perikatan, PAS juga membahaskan soal ini panjang lebar. Walaupun demikian, pada masa itu masih belum wujud instituti Majlis Syura Ulama. Walau pun telah wujud Dewan Ulama, namun ia berperanan sebagai pemutus dasar seperti hari ini. Manakala sstilah Tahaluf Siyasi pun masih belum popular.
Di dalam mendepani pilihanraya umum 1990 selepas penubuhan Semangat 46, sekali lagi persoalan tahaluf ini dibangkitkan. Ia mula dibahaskan dengan terperinci menjelang kerjasama PAS-Semangat 46 sebelum pilihanraya tersebut. Sekali lagi terdengar suara-suara yang membantah kerjasama dengan Semagat 46 yang dianggap sebagai ‘UMNO asal’. Bagaimanapun kerjasama itu tetap berlaku dan PAS dengan jelas sekali meletakkan asas bahawa Islam sebagai ad-deen sebagai asas untuk bekerjasama. Hasilnya, bila kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah tertubuh, YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz tanpa ragu mengisytiharkan moto Membangun Bersama Islam sebagai asas pemerintahan negeri Kelantan.
Selepas pergolakan dalaman UMNO pada tahun 1998 yang melahirkan parti Keadilan, sekali pagi persoalan ini dibangkitkan khususnya di dalam mendepani pilihanraya umum 1999. Keadilan sebagai parti serpihan UMNO mencetuskan polemik dalaman di dalam PAS untuk diterima atau tidak. Keadaan ini ditambah dengan kesangsian sesetengah pihak di dalam PAS berkenaan kedudukan hukum berkaitan kerjasama dengan DAP. Bagaimanapun, kepantasan almarhum Dato’ Fadzil Mohd Nor pada masa itu berjaya menggabungkan parti pembangkang di dalam Barisan Alternatif. Namun, dokumen tahaluf pada waktu itu lebih menjurus kepada kerjasama sebagai pembangkang. Terma rujukannya adalah persetujuan untuk bersepakat dengan KeAdilan dan DAP dalam soal-soal yang disepakati termasuklah dalam berdepan dengan pemerintah BN. Tidak disebut langsung tentang pemerintahan dalam kerajaan campuran bersama-sama parti lain, terutamanya DAP.
Keperluan Kepada Kefahaman Tahaluf Siyasi
Hari ini, kedudukan PAS sangat berbeza dengan senario 1970-an, 1990 dan 1999. Buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia, PAS berdepan dengan cabaran sebenar sebagai ‘kerajaan dalam penantian’. PAS berdepan dengan realiti sebagai anggota kerajaan campuran. Kerajaan Selangor, Perak mahu pun Kedah bukan kerajaan PAS, namun kerajaan pakatan. Setiap gerak PAS pastinya akan seringkali berada di persimpangan antara agenda Islam dan hasrat rakan-rakan. Penyertaan PAS di dalam Pakatan Rakyat bersama-sama PKR dan DAP yang sama sekali tidak berhasrat untuk memperjuangkan agenda Islam menuntut PAS untuk menyatakan dalil syarie yang jelas yang membolehkan PAS bersama-sama mereka memerintah tanpa menjadikan Islam sebagai asas negara dan negeri-negeri.
Penjelasan serta gambaran yang jelas seperti perlu segera dibuat oleh PAS memandangkan masih ramai yang menyokong dan mendokong PAS kerana dasar Islamnya. Adalah dibimbangi dalam keadaan isu-isu yang sering timbul ditambah dengan permainan media massa milik kerajaan UMNO/BN, hasrat PAS untuk melangkah lebih jauh bersama Pakatan Rakyat tidak akan kesampaian.
Hukum Tahaluf Siyasi
Para ulama haraki khususnya berbeza pandangan mengenai hukum melakukan kerjasama dengan gerakan yang tidak bermatlamatkan perjuangan Islam. Sebahagian daripada mereka dengan tegas menolak langsung sebarang usaha melakukan kerjasama ini serta menghukumkan bahawa kerjasama ini sebagai haram. Di antara mereka ialah Sheikh Muhammad Qutb[1] dan al-Syeikh al-Imam Abu Nasr Muhammad bin Abdullah[2]. Manakala di antara ulama yang mengharuskan tahaluf siyasi ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi[3], Dr Mustoffa al-Tohhan[4], al-Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid[5], Doktor Solah al-Showi[6] dan Doktor Munir Ghahdban[7].
Dalil-dalil yang dipegang oleh ulama yang mengharamkan tahaluf siyasi ialah seperti berikut :
- Firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (51) فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَنْ تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِنْ عِنْدِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَى مَا أَسَرُّوا فِي أَنْفُسِهِمْ نَادِمِينَ (52)
Yang bermaksud : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: “Kami takut akan mendapat bencana”. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahasiakan dalam diri mereka.[8]
Hujah : Kerjasama gerakan Islam dengan orang-orang kafir di atas dasar politik akan menjauhkan lagi orang-orang Islam daripada mereka. Ini kerana, Islam mengharamkan sebarang jenis wala’ kepada kepada ahli kitab yang mempunyai akidah yang hampir sama dengan Islam, apatah lagi wala’ kepada orang-orang kafir yang akidah mereka langsung tidak mempunyai persamaan dengan akidah Islam. [9]
- Firman Allah SWT :
فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
Yang bermaksud : Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya[10]
Hujah : Ayat di atas berkenaan dengan pengharaman arak dan judi. Namun jika dilihat dari sudut tahaluf siyasi, kerjasama dengan musuh mungkin mendatang manfaat dari beberapa sudut, bagaimanapun dari sudut yang lebih jauh iaitu ke arah menegakkan hakimiah Allah SWT, ia tidak akan dapat dicapai. Lantas, kerjasama akan menyebabkan terbantutnya usaha gerakan Islam untuk menegakkan daulah Islamiah. Oleh yang demikian, kerjasama ini adalah haram kerana lebih banyak mendatangkan mudharat daripada manfaat.[11]
- Pertimbangan logik bahawa gerakan yang tidak berhasrat untuk menegakkan Islam ini pastinya hanyalah menjadikan gerakan Islam sebagai jambatan untuk mereka mendapatkan kuasa. Mereka sekali-kali tidak membiarkan gerakan Islam ini berkembang sehingga mengatasi diri mereka. Dan ini sekali lagi akan menghalang kepada tertegaknya daulah Islamiah seperti yang diperjuangan oleh Harakah Islamiah.[12]
Manakala bagi golongan ulama haraki yang mengatakan tahaluf siyasi sebagai sesuatu yang diharuskan, mereka berpegang dengan hujah-hujah berikut :
- Half al-Fudhul : Ia merupakan satu peristiwa yang berlaku pada zaman jahiliyyah iaitu perjanjian di antara beberapa qabilah untuk menolong golongan yang dizalimi.[13] Perjanjian ini telah disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis baginda yang menyatakan :
وَأَيُّمَا حِلْفٍ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَزِدْهُ الْإِسْلَامُ إِلَّا شِدَّةً
Yang bermaksud : Mana-mana perjanjian yang dilaksakanan ketika jahiiyyah tidak akan ditambahkan (diubah) oleh Islam melainkan semakin patut dilaksanakan[14] – membawa makna mana-mana perjanjian di zaman jahiliyyah yang bermaksud kerjasama dan silaturrahim tidak akan berubah ketika Islam melainkan ia lebih patut untuk dilaksanakan. Ini kerana Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara yang baik.
Hujah : Sekalipun Nabi SAW menyaksikan perjanjian ini ketika jahiliyyah, tetapi kerana Nabi telah memujinya semasa Islam, ia dianggap sebagai perkara yang baik. Ini menunjukkan bahawa sekalipun yang berada dalam ikatan perjanjian itu orang-orang yang berakidah salah, ia tetap dianggap perjanjian yang baik selagi mana tujuannya adalah baik.
- Perjanjian Rasulullah SAW dengan bapa saudaranya Abu Talib untuk menjaganya serta memeliharanya dari ancaman kaum Quraisy. Tahaluf di antara mereka berdua berlaku dalam beberapa peringkat :
2.1 Ketika Abu Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk melaksanakan dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib lantas menyatakan : “Teruskan wahai anak saudaraku, katakanlah apa yang kamu hendaki. Demi Allah, aku tidak akan serahkan kamu kepada sesiapa selama-lamanya”[15] Kata-kata ini dibuktikan beberapa kali oleh Abu Talib di mana pernah beliau mengetahui tentang sekumpulan kaum Quraisy yang merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, lalu dikumpulkan bani Abdul Mutalib dan Bani Hasyim untuk melindungi baginda SAW. Mereka semua berkumpul termasuklah yang masih kafir untuk melindungi Nabi Muhammad SAW.[16]
2.2 Peringkat berikutnya ialah ketika kaum Quraisy melancarkan pemulauan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebagai tindak balas kerana mereka melindungi Rasulullah SAW. Lalu ditulis surat penguatkuasaan di mana tidak dibenarkan sesiapa pun menikahi atau dinikahi oleh kedua-dua kabilah ini. Juga tidak dibenarkan berlakunya urusan jual beli dengan kedua-duanya. Surat ini ditampalkan di dinding kaabah.[17]
Hujah : Di dalam peristiwa-peristiwa ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa menjadi satu keharusan jamaah Islam untuk mendapat perlindungan daripada orang yang bukan Islam demi mencapai matlamat perjuangannya. Namun ia tidaklah sampai kepada peringkat tunduk dan patuh sehingga menggadaikan perjuangannya.
- Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan seorang musyrik yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah SAW menghargai pertolongan Mut’im sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi perang Badar, “Sekiranya Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”[18]
Hujah : Mut’im di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan kebebasan dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW. Mut’im tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW dan pendirian ini jelas ketika ia menjawab soalan dari Abu Jahal[19]. Ini menunjukkan keharusan mendapatkan kerjasama dari orang yang tidak berniat melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan kebaikan kepada Islam dan umatnya.
- Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dengan kaum Yahudi ketika ditegakkan negara Islam Madinah. Perjanjian yang melahirkan Sahifah Madinah ini merupakan satu-satunya peristiwa besar dan terpenting yang menjadi hujjah keharusan kaum muslimin menjalinkan perjanjian dengan orang-orang bukan Islam di atas dasar memelihara kebajikan kedua-dua pihak. [20]
Di antara isi kandungan perjanjian ini ialah, “Kaum muslimin mempunyai haknya dan kaum Yahudi mempunyai haknya. Dan di antara mereka hendaklah tolong menolong sekiranya diserang oleh sesiapa. Dan di antara mereka hendaklah saling menasihati dan bekerjasama. Dan janganlah sesiapa memungkiri janjinya. Dan hendaklah pertolongan diberikan kepada yang dizalimi. Dan sekiranya berlaku apa-apa kepada pihak yang menjalinkan perjanjian ini, maka tempat rujukan ialah kepada Allah dan Muhammad Rasulullah SAW…”[21]
Hujah : Inilah sebesar-sebar hujah keharusan melakukan hubungan dengan non-muslim di dalam menegakkan negara Islam. Dan tidaklah menjadi dasar Islam mengenepikan kaum musyrikin daripada realiti kehidupan.
- Perjanjian Rasulullah SAW dengan Bani Khaza’ah. Ia berlaku apabila baginda bersama para sahabat ingin memasuki kota Makkah untuk mengerjakan haji namun disekat oleh kaum Quraisy. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan pengintip dari bani Khaza’ah yang merupakan seorang musyrik dan mereka melaporkan kepada Rasulullah SAW mengenai pergerakan kaum Quraisy.[22] Bani Khaza’ah sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan Bani Hasyim semenjak zaman jahiliyyah dan mereka meneruskan hubungan baik mereka dengan Bani Hasyim sekalipun berbeza akidah. Rasulullah SAW mengiktiraf hubungan ini dengan memberikan syarat iaitu pertolongan tidak akan diberikan kepada golongan yang zalim.[23]
- Perintah Rasulullah SAW kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah semasa ditindas di Makkah untuk mendapatkan perlindungan dari Raja Najasyi yang merupakan seorang Nasrani pada masa itu turut merupakan dalil kepada keharusan untuk mendapatkan perlindungan dari orang yang bukan Islam di dalam menjaga kemaslahan umat Islam.
Jawapan Terhadap Golongan Yang Mengharamkan Tahaluf Siyasi
Di dalam memberikan jawapan kepada golongan ulama haraki yang mengharamkan tahaluf siyasi, beberapa pandangan telah dikemukakan. Antara lain :
- Ayat yang digunakan iaitu dari surah al-Maidah, ayat 51-52 bukanlah merujuk kepada tahaluf siyasi tetapi merujuk kepada orang-orang munafik yang terus meletakkan kepatuhan kepada orang-orang Yahudi di Madinah. Ianya turun kepada ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai yang bertindak untuk menyokong kabilahnya Yahudi Bani Qainuqa’ di dalam berhadapan dengan Nabi Muhammad SAW.[24] Ini menunjukkan bahawa ayat ini tiada kena mengena dengan tahaluf siyasi tetapi berkenaan dengan orang yang keluar langsung dari Harakah Islam untuk bekerjasama dengan musuh bagi melawan Islam.
- Ayat 219 dari surah al-Baqarah pula bukan sahaja tidak menjadi hujah mengharamkan tahaluf siyasi bahkan menjadi peneguh kepadea keharusannya. Ini kerana daripada tahaluf siyasi yang dilaksanakan di beberapa buah negara seperti Mesir, Sudan dan Yaman, manfaat yang besar banyak diperolehi oleh kaum muslimin. Oleh yang demikian, di dalam masalah manfaat dan mudharat ini, pertimbangan berdasarkan senario semasa perlu diambil kira. Tahaluf Siyasi sebelum diputuskan hendaklah dipertimbangkan semasak-masaknya oleh pakar politik dan ahli-ahli strategi.
KESIMPULAN
Di dalam mendepani arus politik Malaysia pada hari ini, PAS perlulah bijak mengambil manfaat daripada ruang dan peluang yang ada. Tahaluf siyasi perlulah dilakukan dalam keadaan PAS mendapat keuntungan yang maksimum dalam usaha untuk menegakkan agama Allah SWT. Bagaimanapun, perlulah diingatkan agar penerangan demi penerangan hendaklah dilakukan dari masa ke semasa khususnya kepada ahli-ahli di peringkat cawangan agar tidak terkeliru dengan langkah yang diambil.
Tentunya penyertaan PAS di Selangor dan Perak berbeza dengan Kelantan dan Kedah. Apatah lagi di Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP. Adakah apa yang dilaksanakan di Kelantan mampu untuk direalisasikan di Selangor? Oleh yang demikian, pendekatan-pendekatan seperti ini hendaklah dikaji dengan masak dan dihadamkan oleh ahli-ahli PAS.
Masa untuk berfikir dan melaksana sangat terhad sementara menanti pilihanraya umum yang berikutnya.
Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pasir Mas
[1] Muhammad Qutb (2004), Waqiunal Maashir, muka surat 465
[2] Muhammad bin Abdullah, Tanwir al-Zulumat Bikasyfi Mafasid wa Syubhat al-Intikhabat, muka surat 132
[3] Dr Yusuf al-Qaradhawi, Ainal Khalal, muka surat 75,
[4] Dr Mustoffa al-Tohhan, Fiqh al-Harakiyy baina al-Asolah wa al-Inhiraf, muka surat 33
[5] Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid, Usul al-Ifta’ wa al-Ijtihad al-Tathbiqi, jilid 4 muka surat 277
[6] Doktor Solah al-Showi, al-Taaddudiah al-Siyasiah fi al-Daulah al-Islamiah, muka surat 142
[7] Doktor Munir Ghahdban, al-Tahaluf al-Siyasi fi al-Islam, muka surat 13
[8] Surah al-Maidah, ayat 51-52
[9] Muhammad bin Abdullah, Tanwir al-Zulumat Bikasyfi Mafasid wa Syubhat al-Intikhabat, muka surat 133
[10] Surah al-Baqarah, ayat 219
[11] Muhammad Qutb (2004), Waqiunal Maashir, muka surat 465
[12] Ibid, ms 465
[13] Berkata Ibnu Hajar mengenai sebab berlakunya peristiwa ini di mana beberapa orang individu telah dizalimi di bumi Makkah, lalu puak-puak yang lain yang membenci kezaliman telah bersepakat untuk menghulurkan bantuan. (Fathul Bari, juzuk 4, ms 473)
[14] Riwayat Muslim (Bab Fadhail Shabat), Abu Daud (Bab Sumpah)
[15] Ibnu Hisham, Al-Sirah al-Nabawiyyah, jilid 2 muka surat 101. Muhammad bin Jarir, Tarikh Tabari, juz 1, muka surat 549
[16] Ibnu Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, juz 3 muka surat 84
[17] Ibnu Hisham, Al-Sirah al-Nabawiyyah, jilid 2, muka surat 101, Muhammad bin Jarir, Tarikh Tabari, juz 1, muka surat 545
[18] Sahih Bukhari, Kitab al-Maghazi, Bab Syuhud Malaikah Badran.
[19] Diriwayatkan bahawa Abu Jahal bertanya Mut’im, “Adakah engkau hanya menjamin atau menjadi pengikut Muhammad?” Mut’im menjawab, “Bahkan hanya sekadar penjamin.” Kata Abu Jahal, “Kami menerima jamiman kamu”. (Tarikh Tabari, jilid 1/ms 555) Ini menunjukkan sekiranya Mut’im memeluk Islam, jaminannya akan ditolak oleh Abu Jahal.
[20] Dr Mustoffa al-Tohhan, Fiqh al-Harakiyy baina al-Asolah wa al-Inhiraf, muka surat 34
[21] Ibnu Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jilid 3 muka surat 84
[22] Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, hadis Marwan bin Hakam.
[23] Doktor Munir Ghahdban, al-Tahaluf al-Siyasi fi al-Islam, muka surat 114-116
No comments:
Post a Comment