Thursday, November 1, 2012

Kisah pelik dari dua negeri

Macam tidak percaya, tetapi inilah yang terjadi di dua negeri beberapa hari lalu ketika kita semua masih dalam suasana berkorban di Aidiladha @ Hari Raya Haji:
Pertama, di Johor Bahru seorang wanita berusia 70an telah membayar kepada seorang lelaki lebih RM100,000 – malah nyaris kehilangan RM3 juta – gara-gara ingin menebus dosa.

Lelaki yang baru beberapa minggu dikenali itu mendakwa boleh mengetahui apa yang akan berlaku pada masa depan, termasuk bila seseorang itu akan mati. Dia memberitahu kiamat akan berlaku dalam waktu terdekat, dan meminta wanita berkenaan membersihkan dosa.

Lelaki dalam usia 40an itu juga mengaku sebagai salah seorang daripada 200 yang diberi petunjuk oleh ALLAH untuk membantu membersihkan dosa. Tidak kira berapa banyak dosa yang dilakukan, semua boleh ditebus dengan RM.

Jumlah bayaran yang dikenakan bergantung pada sebanyak mana dosa yang telah dilakukan oleh seseorang. Wang perlu dijelaskan dengan segera sebab kiamat tidak lama lagi. Jika lambat bayar, dosa tidak akan tertebus dan tidak dapat masuk syurga.

Agaknya wanita tersebut berasa telah melakukan banyak dosa, maka dia sanggup membayar wang sebanyak itu kepada lelaki berkenaan. Walaupun dua orang anaknya cuba menghalang wanita berkenaan daripada membuat pembayaran, tetapi semua tidak diendahkan.

Wang RM100,000 telah dibayar, dan wanita berkenaan bersedia menjual rumah bernilai RM3 juta untuk diserahkan kepada lelaki berkenaan. Mujur banglo tersebut tidak sempat dijual, dan anaknya membuat laporan polis. Lelaki tersebut kini sedang dicari untuk siasatan.

Hiasan
Kedua, di Kuala Lumpur seorang lelaki menjadi mangsa dan hilang RM5,000, gara-gara berhasrat untuk memenangi nombor ekor RM60,000. Kisahnya bermula setelah dia berkenalan dengan seorang lelaki yang kelihatan begitu alim dan mendakwa sedia membantu mereka yang memerlukan.

Si alim dapat membantu seseorang untuk menang judi empat angka. Nampaknya mudah sahaja. Mereka yang berhajat hanya perlu membawa mangkuk, sebotol air yang ditadah semasa berwuduk, dan sehelai daun sirih.

Upacara mendapatkan nombor itu perlu dilakukan di dalam masjid, dan sekiranya nombor betul-betul naik dan menang, perlu dermakan 10 peratus untuk tabung masjid. Seperti yang dilaporkan media, acara tersebut dilakukan di sebuah masjid di KL.

Air dalam botol dituang ke dalam sebuah mangkuk, kemudian sirih direndam dalam mangkuk. Si alim memberitahu mangsa dia telah melihat nombor di atas daun sirih dan meminta beberapa RM untuk membeli nombor ekor.

Esoknya mangsa diberitahu nombor di atas daun sirih itu betul-betul naik dan menang RM5,000. Mangsa tidak dapat wang tersebut sebaliknya diminta membayar tunai RM5,000 lagi kepada si alim, konon untuk membeli nombor baru yang akan memenangi RM60,000.

Upacara sama dilakukan sekali lagi di masjid, dan si alim memberitahu telah melihat dengan jelas empat nombor di atas daun sirih. Mangsa membayar wang tunai RM5,000 dan dijanjikan akan dibayar RM60,000 keesokan harinya.

Ternyata yang kelihatan alim itu rupa-rupanya alim-alim kucing. RM60,000 yang dijanjikan tidak kunjung tiba, RM5,000 lesap begitu sahaja. Laporan polis dibuat, dan si alim kucing itu kini sedang diburu polis.

Tidak sahaja di Johor Bahru dan Kuala Lumpur, kisah pelik tetapi benar seperti ini terjadi di seluruh negara setiap masa. Kita sudah berulang kali mendengar cerita seperti ini. Kaedahnya sahaja berbeza, seperti ‘gores & menang’, ‘skim cepat kaya’, ‘batu hikmat’ dan lain-lain. Matlamatnya serupa: untuk menipu mangsa.

Kalaulah ada sedikit kewarasan mungkin mangsa tidak tertipu. Mana mungkin dosa boleh ditebus dengan wang ringgit. Tidak masuk akal langsung masjid sebagai rumah ALLAH dijadikan tempat untuk menilik nombor ekor!

Mungkin benar seperti kata sesetengah pihak bahawa mangsa telah dipukau menggunakan ilmu hitam. Tetapi boleh jadi juga tidak ada pukau, tidak juga ilmu hitam. Almaklumlah, ada ketikanya rasa tamak dan ingin mudah cepat kaya melenyapkan kewarasan kita, sehingga kita lupa pada logik.

Laporan polis telah dibuat. Harap-harap si penjenayah berjaya ditangkap dalam waktu terdekat, itu pun kalau polis tidak dipukau! Dalam pada itu ingatlah, tidak ada jalan pintas untuk menjadi kaya. Dan, dosa tidak kira sekecil mana, tidak dapat dihapuskan walaupun dengan bayaran segunung intan. SH

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular