Saturday, January 7, 2012

PKR setuju adakan perhimpunan di parkir kereta mahkamah tapi tolak 10 syarat baru polis

KUALA LUMPUR, 7 Jan — Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersetuju dengan cadangan polis untuk mengadakan perhimpunan 901 pada Isnin ini di kawasan parkir kereta di luar Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta namun menolak 10 syarat baru yang dikeluarkan pihak berkuasa itu.

Menurut Timbalan Presiden PKR Azmin Ali , pihaknya menerima pakai persetujuan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamad Salleh selepas mengadakan pertemuan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam.

Kata Ahli Parlimen Gombak ini, pihaknya tidak bersetuju dengan 10 syarat baru yang dikenakan kepada parti itu seperti mana yang diumumkan Ketua Polis Daerah Sentul ASP Zakaria Pagan.

“Saya ingin menegaskan bahawa PKR menerima pakai persetujuan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamad Salleh yang dimuafakati dan diumumkan selepas mesyuarat bersama pagi semalam.

“Persetujuan ini tidak menyentuh beberapa sekatan (10 syarat) yang diumumkan kemudiannya oleh pihak polis,” kata Azmin dalam satu kenyataan.

Kata beliau, perhimpunan aman menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh yang demikian saya mengulangi seruan agar semua rakyat turun untuk menunjukkan solidariti dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menuntut keadilan dan integriti sistem kehakiman negara ini.

“Ia selaras dengan hak berkumpul dan amalan perhimpunan aman yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sebelum ini Azmin mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan memastikan sejumlah 100,000 rakyat akan turut serta dalam perhimpunan tersebut bagi menunjukkan sokongan terhadap Anwar ketika Mahkamah Tinggi membuat keputusan Isnin ini berkaitan kes liwat keduanya.

Anwar, 64, dituduh telah melakukan liwat terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di Damansara Heights pada Jun 2008, beberapa bulan sebelum kembali dan memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Sekiranya disabitkan kesalahan, Anwar akan dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara, tetapi akan terlepas hukuman sebat kerana umurnya sudah melebihi 60 tahun.

Sepuluh syarat baru yang dikenakan terhadap penganjur perhimpunan bercanggah dengan persetujuan yang telah dicapai semasa pertemuan pemimpin PKR dan Mohamad pagi semalam.

Zakaria dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang semalam berkata 10 syarat itu termasuk tidak membenarkan penggunaan risalah dan kain rentang dengan perkataan ‘Bebaskan Anwar 901’ atau ‘Bebaskan Anwar’ semasa perhimpunan itu.

Beliau berkata penggunaan pembesar suara selain ‘loud hailer’ tidak dibenarkan. Bagaimanapun, penggunaan dua loud hailer dibenarkan bagi tujuan mengawal selia peserta perhimpunan.

Syarat lain yang ditetapkan ialah:

1. Pengucapan awam tidak dibenarkan sama sekali.

2. Penganjur perlu memastikan peserta perhimpunan tidak membuat apa-apa perbuatan, membuat bising serta memberi apa-apa isyarat yang boleh mengganggu prosiding mahkamah.

3. Tempat perhimpunan yang dibenarkan ialah di parkir awam sebelah kiri jalan utama ke mahkamah. Peserta tidak dibenarkan berada di luar kawasan tersebut.

4. Sekiranya kawasan itu sudah dipenuhi dengan peserta perhimpunan, peserta lain hendaklah bersurai dan beredar dari kawasan letak kereta mahkamah.

5. Penganjur perlu memastikan peserta perhimpunan tidak membawa sebarang senjata dan peserta perlu memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membuat pemeriksaan, jika perlu.

6. Penganjur hendaklah memastikan semua peserta perhimpunan bersurai tidak lewat daripada tempoh sejam selepas keputusan mahkamah diumumkan.

7. Penganjur dan peserta perhimpunan hendaklah mematuhi semua arahan pihak polis dari semasa ke semasa demi menentukan keamanan perhimpunan tersebut.

8. Peserta perhimpunan tidak dibenarkan melakukan khianat atau bencana kepada harta awam atau mana-mana harta di kawasan tersebut. MI


Saya ingin menegaskan bahawa KEADILAN menerimapakai persetujuan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato' Mohamad Salleh yang dimuafakati dan diumumkan selepas mesyuarat bersama pada pagi Jumaat, 6 Januari 2012.

Persetujuan itu tidak menyentuh beberapa sekatan yang diumumkan kemudiannya oleh pihak PDRM.

Oleh yang demikian, saya mengulangi seruan agar semua rakyat turun untuk menunjukkan solidariti dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam menuntut keadilan dan integriti sistem kehakiman di negara ini,
selaras dengan hak berkumpul dan amalan perhimpunan awam yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

AZMIN ALI

TIMBALAN PRESIDEN
PARTI KEADILAN RAKYAT
7 JANUARI 2012

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular