Wednesday, May 22, 2013

Akta Hasutan : Najib memperbodohkan rakyat

Pemuda Pakatan: Najib mungkir janji mansuh Akta Hasutan
Pemuda Pakatan Rakyat menyelar pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang pernah mengumumkan untuk menghapuskan Akta Hasutan tetapi masih menggunakan peruntukan tersebut untuk menahan aktivis siswa Adam Adli.

Gabungan sayap parti dalam Pakatan itu dalam kenyataan bersama mempersoalkan tindakan tersebut ke atas Adam Adli, sedangkan individu lain yang didakwa membakar sentimen perkauman tidak dikenakan apa-apa tindakan.

"Akta sedemikian patut dihapuskan dan tidak patut disalahgunakan untuk menzalimi rakyat biasa.

“Kredibiliti Najib sekali lagi dipersoalkan kerana beliau pernah menyarankan untuk menghapuskan akta ini pada tahun 2012.

“Ini menunjukkan bahawa Najib hanya bersandiwara dan tidak mempunyai niat politik untuk menghapuskan undang-undang yang langsung tidak mematuhi semangat ketertinggian perlembagaan,” kenyataan itu dipetik.

Menurut Pemuda Pakatan, pihak berkuasa sepatutnya mengambil tindakan ke atas individu seperti presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali, naib presiden NGO pro-Melayu tersebut Datuk Zulkifli Noordin dan juga bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah.

Pemuda Pakatan mahu tindakan itu dikenakan ke atas Ibrahim ekoran kenyataan bekas MP Pasir Mas itu yang menggesa agar membakar bible berbahasa Melayu, ketika isu penggunaan kalimah Allah kembali menjadi tajuk utama laporan media pada awal tahun ini.

Tuntutan untuk mengenakan tindakan ke atas Zulkifli pula adalah berhubung satu kenyataan yang didakwa menghina penganut Hindu, dalam satu rakaman video.

Mohd Noor pula meraih populariti ekoran kenyataannya di satu forum pada 12 Mei lalu, yang antara lainnya mendakwa masyarakat Cina mengkhianati setiakawan dengan orang Melayu.

Pemimpin Pemuda Pakatan Rakyat- Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan, Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong serta Ketua Pemuda PKR (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataan hari ini turut menuntut agar Adam dibebaskan segera tanpa dikenakan sebarang syarat.

Malah mereka juga berkata, tindakan polis yang menangkap Adam tanpa sebarang sebab boleh disifatkan sebagai tidak menghormati hak rakyat Malaysia dalam menggunakan perlembagaan.

Polis kini menjalankan siasatan ke atas Adam mengikut Seksyen124(b) Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 4 Akta Hasutan atas kenyataan yang dibuat dalam satu forum awam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 13 Mei.

Beliau dan beberapa pemimpin lain dalam perhimpunan tersebut antara lainnya menggesa orang ramai untuk mengadakan perhimpunan jalanan besar-besaran untuk membantah penipuan yang didakwa berlaku dalam pilihan raya.

Pemuda Pakatan bagaimanapun bertegas bahawa Adam Adli sekadar memberikan pandangan yang munasabah dan berpatutan apabila menyeru rakyat Malaysia berhimpun bagi menyatakan protes ke atas pilihan raya yang kotor.

"Seruan beliau tidak melampaui hak yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, tidak berunsur hasutan dan tidak mempunyai motif-motif untuk menjejaskan demokrasi berparlimen kerana kebebasan berhimpun adalah hak yang dijamin di bawah unsur Perlembagaan Persekutuan," kenyataan itu dipetik.

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular