Friday, February 17, 2012

Surat Terbuka kepada Datuk Ahmad Maslan

Campak Buku Jingga ke tong sampah hina demokrasi

Feb 17, 2012
YB Datuk Ahmad Maslan,


Saya bukanlah peneroka Felda, mahupun anak kepada peneroka Felda. Walau bagaimanapun, sepanjang kehidupan saya semenjak bersekolah menengah lagi saya sudah berkawan dengan anak-anak Felda serta mempunyai keluarga angkat di kawasan Felda.

Kebetulan pula handai taulan saya juga ada yang menjadi peneroka, maka saya saya kira, warga Felda bukanlah golongan yang asing di dalam hidup saya.

Datuk, seperkara yang saya pelajari mengenai warga Felda ialah budi pekerti dan juga sikap beragama mereka, terutamanya para peneroka Felda berketurunan Jawa di selatan tanah air. Cukup jika saya katakan bahawa warga Felda kebanyakannya merupakan kelompok masyarakat yang berbudi bahasa, beragama dan juga berjiwa kental, terutamanya dari generasi pertama yang saya kenali.

Bagi generasi kedua dan ketiga pula, mereka merupakan golongan yang gigih. Anak-anak peneroka kini sesetengahnya merupakan golongan profesional dari kalangan doktor, peguam, pensyarah, jurutera, arkitek, pengarah-pengarah besar syarikat dan juga bermacam lagi profesion yang mencerminkan kejayaan mereka.

Hatta di kalangan mereka yang mengambil keputusan menetap di Felda dan meneruskan usaha generasi pertama juga, saya dapati mereka begitu tekun, gigih dan amat berdedikasi. Semua ini saya kira berkat jerih payah generasi pertama Felda yang begitu bersungguh-sungguh mendidik dan membesarkan anak-anak mereka agar menjadi manusia yang berguna.

Datuk, sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan warga yang cintakan negaranya, kita semua inginkan segala yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat. Sebagai penduduk bumi bertuah bernama Malaysia, kita mahukan hasil mahsul dan juga kekayaan di bumi bertuah ini dikecapi bersama oleh warga dari semua bangsa dan agama.

Adab dan moral

Selain daripada itu, kita juga mahukan kerukunan di antara bangsa dan agama berterusan agar keamanan yang kita nikmati akan berterusan. Demi untuk memastikan apa yang kita kecapi itu berterusan, maka adab, moral dan juga tahap profesionalisme di dalam tatakelola perlulah ditingkatkan oleh semua lapisan masyarakat.

Nikmat kemajuan dan keamanan yang kita kecapi selama ini bukanlah hasil usaha sesetengah pihak tertentu sahaja, tetapi ianya adalah usaha bersepadu rakyat Malaysia yang penuh dengan kesopanan dan juga budi bahasa serta saling hormat menghormati.

Mana-mana pengkaji politik akan bersetuju bahawa di zaman ini, pengamalan demokrasi yang tulen, benar dan adil (sebagaizeitgeist) adalah di antara penyumbang kepada kestablian negara, keadilan, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Di samping itu, seakan satu persetujuan ramai (ijmak), terutamanya di kalangan pakar politik dan ekonomi bahawa tatakelola yang baik (good governance) juga merupakan resipi yang penting untuk kestabilan dan pembangunan. Malah Tun Mahathir sendiri menegaskan hal ini di dalam ucaptamanya di Multaqa Kesembilan Al-Muntada Al-Islami 2012 di Putrajaya baru-baru ini.

Demokrasi yang adil dan tulen yang diikuti oleh prinsip asas tatakelola yang baik seperti akauntabiliti, ketelusan, keluhuran undang-undang, pemisahan kuasa, penyertaan rakyat yang aktif, ekuiti, efisien dan juga lain-lain lagi, merupakan di antara metod untuk memandu Malaysia ke hadapan untuk mencapai tahap negara maju pada tahun 2020 seperti yang diidamkan oleh ramai rakyat Malaysia.

Sekat kebebasan maklumat

Di antara sine qua none (perkara yang mesti ada) bagi demokrasi ialah kebebasan maklumat serta ketelusan fakta. Demokrasi bukan hanya bermaksud mengadakan pilihanraya setiap empat atau lima tahun dan semua pihak dibenarkan bertanding sahaja.

Demokrasi yang tulen dan adil memerlukan kepada kebebasan maklumat kepada setiap warga untuk mereka membuat pilihan yang tepat. Di atas dasar itulah, konsep political pluralism (kepelbagaian politik) mestilah berteraskan prinsip kebebasan politik dengan kewujudan parti-parti politik yang bersaing untuk memerintah dan mentadbir negara.

Semua parti, dan tidak terkecuali mana-mana parti yang bertanding pun, hendaklah memiliki ruang dan peluang yang adil dan saksama untuk menyampaikan maklumat kepada setiap warga.

Demi mencapai prinsip yang adil ini, ia memerlukan kepada kebebasan maklumat dan kebebasan bersuara sebagai asas berpolitik demi kebaikan warga agar mereka menerima maklumat yang tepat, sahih dan seimbang dari semua pihak sebelum mereka mengundi sesiapa yang mereka inginkan untuk memerintah negara.

Hal ini adalah maklum dan perkara paling asas di dalam sesebuah Negara yang mengamalkan demokrasi, ia bukanlah sains roket yang sukar dikuasai.

Maka, berdasarkan prinsip ini, ‘Buku Jingga’ yang telah dihasilkan oleh pihak Pakatan Rakyat sekaligus sebagai tawaran pihak Pakatan merupakan sebahagian daripada pengamalan demokrasi yang adil dan tatakelola yang baik.

Arab Spring

Berteraskan konsep demokrasi yang sihat, dokumen tersebut merupakan salah satu daripada maklumat yang perlu diketahui oleh setiap warga. Dokumen tersebut amat perlu untuk rakyat membandingkan tawaran pihak Pakatan dengan tawaran yang pihak BN berikan untuk mereka membuat keputusan di dalam PRU 13 nanti demi menentukan masa depan negara.

Berdasarkan maklumat yang cukup dari kedua-dua belah pihak, barulah rakyat Malaysia boleh membuat pilihan yang tepat dan bijaksana serta adil. Inilah yang dinamakan sebagai demokrasi yang tulen, ini jugalah namanya politik yang matang dan bertamadun.

Setiap warga dihargai akal dan pilihan mereka. Terserahlah pada rakyat untuk menerima ataupun menolak tawaran dari mana-mana pihak berdasarkan akal sihat dan pertimbangan bernas yang mereka miliki. Mana-mana rejim yang menyekat kebebasan maklumat dan juga menghadkan pengetahuan rakyat dari mendengar dari semua pihak hanya mencerminkan kecacatan pada sistem demokrasi yang diamalkan.

Sistem yang tidak memberikan peluang kepada rakyat untuk mendapat maklumat yang tepat adalah sistem demokrasi yang tiruan (pseudo-democracy). Sistem seperti ini hanya meletakkan rakyat ditahap mentaliti yang rendah.

Rejim yang berkuasa seakan-akan mengatakan bahawa pihak rejim sahajalah yang paling tahu dan bijak untuk menentukan pilihan rakyat, kerana rakyat masih tidak mampu berfikir. Sistem yang berat sebelah di mana sesebuah rejim menguasai semua maklumat dan tidak memberikan ruang yang adil kepada semua pihak yang bertanding merupakan politik dunia ketiga.

Pengamalan seumpama ini dapat dilihat pada pengamalan rejim-rejim yang pernah berkuasa di Asia barat, negara-negara Afrika dan juga negara-negara komunis. ‘Arab Spring’ yang berlaku semenjak tahun 2010 telah menunjukkan bahawa sistem dan pengamalan seperti ini adalah silap.

Malang sekali, apabila Datuk sebagai seorang menteri, tidak dapat menghayati konsep politik bertamadun seperti ini. Perbuatan Datuk membuang manifesto Pakatan ke dalam tong sampah di dalam satu acara umum dan terbuka adalah perbuatan menghina konsep political pluralism yang menjadi rukun kepada sistem demokrasi yang adil.

Salahi aspirasi PM

Tindakan membuang manifesto parti lawan itu juga merupakan satu penghinaan kepada ide atau tawaran kepada rakyat oleh para pemimpin Pakatan yang rata-ratanya merupakan penggubal undang-undang (ahli parlimen) yang telah dipilih oleh rakyat. Secara moral, ini merupakan penghinaan terhadap sistem demokrasi yang diamalkan di dalam negara ini.

Tambah lagi, ia amat menyalahi aspirasi yang cuba dibawa oleh YAB Perdana Menteri lewat ucapan beliau menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2011 yang lalu yang inginkan suasana politik berteraskan demokrasi setaraf dengan negara membangun.

Perbuatan itu juga seakan-akan ingin menjadikan Malaysia setaraf dengan negara-negara mundur di dalam berpolitik. Cukup juga saya katakan, perbuatan tersebut mengundurkan Malaysia dua puluh tahun ke belakang dari usaha kerajaan untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020.

Di samping itu, perbuatan tersebut seolah-olah merupakan penghinaan secara tidak langsung kepada sistem pendidikan negara ini semenjak merdeka yang gagal melahirkan para pemimpin dan menteri yang bertamadun, bertata susila dan bermoral.

Sekali lagi saya tegaskan, perbuatan tidak bertamadun itu juga telah memperlekeh mentaliti warga Felda, seolah-olah warga Felda hanya layak memahami bahasa bakul sampah dan bukannya bahasa dialog dan hujah.

Anugerah penyapu

Perbuatan Datuk itu di sudut yang lain pula telah mencemarkan sikap kesopanan warga Felda dengan memaksa mereka menyaksikan perbuatan di luar adab dan tatakesusilaan orang timur dan masyarakat Islam.

Di sudut yang lain, Datuk juga telah memberikan isyarat seolah-olah mereka tidak boleh berfikir sehinggakan Datuk tidak bersedia berdebat atau berdialog dengan pihak Pakatan dan ANAK di media terbuka di hadapan warga Felda unutk mereka berfikir dan membuat keputusan. Datuk tersilap di dalam hal ini.

Walaupun mungkin ramai yang terpaksa tersenyum di hadapan Datuk ketika Datuk beraksi, yakinlah di dalam hati mereka, mereka rasa terhina. Saya berkeyakinan tinggi bahawa warga Felda sudah matang, boleh berfikir dan mampu untuk menilai. Tolonglah berhadapan dengan mereka dengan memandang mereka setaraf dengan Datuk dan bukannya lebih rendah dari Datuk.

Saya yakin Datuk masih ingat insiden Datuk Seri Khir Toyo memberikan penyapu kepada pegawai kerajaan negeri Selangor. Secara umum, masyarakat, samada yang menyokong BN mahupun yang menyokong Pakatan melihat ianya merupakan satu penghinaan dan bertentangan dengan tatasusila dan adab orang timur, apatah lagi orang Islam. Maka hasilnya, Khir Toyo telah disapu dari takhtanya, dan kini sedang menantikan penentuan nasibnya di atas tuduhan rasuah.

Saya kira, Datuk juga tidak mahu hal yang sama menimpa diri Datuk pada PRU ke-13 nanti. Datuk pastinya tidak mahu diri Datuk dan juga parti Datuk dibakul sampahkan oleh rakyat yang telah matang dan mampu berfikir, sepertimana yang berlaku kepada Datuk Seri Khir Toyo.

Ahli politik bertamadun

Maka, di atas semangat warga yang sedar dan juga ahli akademik yang bertanggungjawab, saya menyeru agar Datuk bersikap dengan sikap ‘ahli politik bertamadun’ lantas bersedia untuk berdialog dengan wakil ANAK ataupun wakil Pakatan mengenai isu Felda.

Mungkin Datuk boleh mempelajari dari sikap berani pemimpin Umno yang lain seperti YB Khairy Jamaludin, YB Datuk Saifuddin Abdullah, YB Datuk Mashita dan juga Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak gentar untuk berada di atas pentas dialog dan debat bersama pihak lawan.

Seperti yang saya tegaskan di awal surat ini, bagi warga yang bertanggungjawab seperti saya, kami hanya mahukan yang terbaik untuk rakyat Malaysia. Saya yakin, warga Felda dan sekelian rakyat Malaysia akan sentiasa mengenang Datuk sebagai pemimpin politik yang berintegriti dan berdedikasi jika Datuk benar-benar boleh bersikap ‘gentleman’ dan berani untuk mengemukakan hujah yang bernas di hadapan pihak lawan di atas ‘level playing field’.

Jika Datuk beradab, berani dan bertamadun, Datuk akan terus dikenang sepanjang zaman bukan hanya oleh warga Felda, malah oleh seluruh rakyat Malaysia - Mkini

Penulis (Dr Maszlee Malik) adalah ahli akademik politik warga UIAM.


http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/02/surat-terbuka-kepada-datuk-ahmad-maslan.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular