Tuesday, February 14, 2012

Ayam den lapeh..“sedap hingga menjilat jari” + Video

14 FEBRUARI – Kisah yang berlaku di sebuah restoran KFC baru-baru ini menunjukkan betapa terdapat segelintir segmen masyarakat Malaysia yang masih tidak dapat melihat sesuatu melangkaui warna kulit seseorang.

Sememangnya tragedi pergaduhan kecil yang malang tersebut “sedap hingga menjilat jari” di skrin internet, khususnya YouTube yang menyemarakkan api perkauman dan bibit prejudis di kalangan masyarakat.

Namun persoalannya adalah, mengapa pula ia menjadi isu perkauman?

Melalui klip video [ SINI ], apa yang dilihat oleh segelintir masyarakat yang perkauman adalah seorang Cina hilang sabar kerana terlalu lama menunggu ayam goring yang dipesannya telah memarahi staf Melayu. Orang Melayu itu pula bertindak balas dengan memukul orang Cina tersebut.

Cuba kita ubah ayat tersebut dan tidak menyebut apa-apa tentang kaum yang terlibat. Tentunya, ia berbunyi: “Seorang lelaki telah menunggu hampir sejam untuk pesanan ayam gorengnya tidak dapat menahan sabar dan telah meninggikan suara terhadap staf yang bertugas kerana menganggap pengurusan dan layanan khidmat pelanggan amat lemah. Orang itu pula diserang dan dipukul pula oleh staf KFC yang tidak tahan dengan tekanan tersebut.”

Mengapa diperkauman isu

Tanpa melihat kepada keturunan seseorang itu, segalanya adalah lebih jelas, adil dan tanpa prejudis. Mengapa hendak diperkaumkan isu itu? Seperti biasa, dengan agenda politik perkauman yang sempit, ada pihak membangkitkannya dari sudut kaum semata-mata kerana adanya seorang Ahli Parlimen DAP yang berketurunan Cina cuba untuk membantu lelaki yang dipukul itu. [ SINI ] 

Malah, lelaki yang dipukul itu mengadakan sidang akhbar bersama Ahli Parlimen DAP tersebut untuk menjelaskan bahawa ia bukan soal perkauman.

Adakah ia akan menjadi isu perkauman jika staf tersebut yang bertindak kasar itu juga dari kaum Cina? Bagaimana pula jika mangsa serta staf dan Ahli Parlimen yang cuba membantu itu semuanya dari kalangan Melayu?

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, jika orang mengenalinya, adalah orang yang mudah didekati dan rajin berkerja. Setiap tweet di Twitter akan dibalasnya; jika memerlukan pertolongan sekecil mana pun, beliau sedia untuk membantu. Itulah beliau, seorang wakil rakyat yang sentiasa mengambil berat tentang permasalahan orang ramai.

Jika saya dipukul oleh mana-mana staf kedai atau restoran, saya akan berasa amat gembira dan lega jika wakil rakyat saya, tanpa mengira mana-mana parti, boleh membantu saya dari apa-apa aspek sekali pun.

Maklumlah kita sebagai rakyat adalah insan kecil berbanding syarikat gergasi antarabangsa seperti KFC yang sudah pasti mempunyai pasukan perundangan yang kuat juga pengaruh yang kuat.

Hanya masalah ayam tak cukup

Yang jelas, isu ini bukanlah isu politik mahu pun perkauman. Ia adalah isu ayam tidak cukup akibat pengurusan yang lemah kerana gagal memberi khidmat layanan yang baik kepada pelanggan.

Walau dilihat dari sudut mana pun, dalam kes ini, pengurusan KFC tetap bersalah. Sama ada ayam tak cukup, staf tidak bersopan atau bersikap kurang ajar serta ganas, pengurusan berdiam diri atau apa sahaja alasan, pelanggan tidak boleh dilayan seperti sampah.

KFC bukan kedai di ceruk lorong gelap. Ia gergasi korporat dengan slogan terbarunya “SoGood” (Sangat Baik). Di Malaysia, ia mempunyai lebih 500 restoran. Tak kan kerana nila setitik, mahu dibiarkan susu setempayan rosak.

Sesungguhnya hala tuju negara ini semakin terbabas kerana perkauman. Ini termasuk isu-isu sosial, ekonomi dan politik. Selama ini, masyarakat sering diajak ke kancah perkauman kerana kerajaan yang ada hari ini takut untuk berhadapan dengan rakyat dengan fakta, maklumat dan kebenaran.

Rasuah, nepotisme, kroninisme dan segala-gala yang merugikan rakyat dihalalkan atas nama perkauman dan bangsa. Tender-tender tertutup untuk kroni, penyelewengan dan ketidakcekapan sudah lama dibiarkan atas nama kaum.

Akhirnya, golongan elit minoriti yang meragut kekayaan negara atas nama kaum. Yang amat sedih sekali, kaum yang dipergunakan namanya itu masih ketinggalan dan tertanam pemikiran lemah yang diserapkan dalam hati mereka oleh pemerintah yang kononnya berjuang untuk kepentingan kaum tersebut.

Memang parah keadaannya kerana ayam goreng tak cukup pun cuba mereka jadikan isu perkauman. – Roketkini.com


http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/02/ayam-den-lapehsedap-hingga-menjilat.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular