
Sejak ditubuhkan pada tahun 1997, PTPTN telah mengagihkan dana pinjaman sejumlah RM48 bilion kepada 1.8 juta peminjam, menurut Abdul Malik Hakim. Dana pinjaman ini sungguhpun membantu siswa-siswi untuk menampung yuran pengajian dan membiayai sebahagian kos hidup ketika menuntut di kolej dan universiti, namun terus menjadi beban hutang sebaik sahaja pengajian ditamatkan. Lebih-lebih lagi, dengan gaji RM2,000, sejauh manakah kemampuan graduan universiti yang hidup di bandar untuk menjelaskan hutang sebanyak ratusan ringgit setiap bulan?
Forum "PTPTN: Beban Anak Muda", anjuran Kelab Mangsa PTPTN dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), di bilik auditorim Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam, telah menarik kehadiran kira-kira 50 orang. Mandeep Singh yang mendakwa diri sebagai mangsa PTPTN, tampil bersama peguamnya Abdul Malik Hakim sebagai panelis, selain aktivis pelajar, Ahmad Syukri Razab dan bekas Ketua Pemuda Sosialis, Karthig, sementara Setiausaha Agung PSM, S. Arutchelvan sebagai moderator.
PTPTN=Institusi kewangan
Mandeep Singh mengisahkan bagaimana dirinya ditahan di LCCT pada 6 Julai 2011, meskipun beliau telah menjelaskan jumlah hutang sebagaimana yang ditetapkan PTPTN pada 8 Jun 2011. Penerbangan Mandeep ke China digagalkan, lantas beliau yang kemarahan mencari khidmat guaman daripada Abdul Malik Hakim, dan akhirnya mengheret kes ini ke mahkamah pada September 2011.

Menurut Abdul Malik, sebelum wujudnya PTPTN, seseorang anak muda hanya mempunyai tiga sumber kewangan untuk membiayai pengajian ijazahnya, iaitu biasiswa sama ada dari kerajaan atau badan bebas yang lain, pinjaman dari institusi kewangan seperti bank, dan biasiswa FAMA, father and mother - ditanggung ibu bapa.
Jelas, anak muda pada usia 18 hingga 25 tahun tidak mempunyai banyak pilihan pada ketika itu, kecuali untuk menerima pinjaman PTPTN. Abdul Malik melontarkan soalan, misalnya berapa orang di kalangan peminjam yang betul-betul meneliti kandungan perjanjian dengan PTPTN, atau sesiapa yang mendapatkan nasihat peguam, sebelum perjanjian itu ditandatangani? Malah, pada usia begitu, apakah peminjam menyedari hak-hak mereka sebagai peminjam?
Syukri: Anak muda tersepit
Ahmad Syukri Razab juga bersetuju dengan pandangan Abdul Malik, mengisahkan pengalaman dirinya, yang pada mulanya cuba untuk tidak mengambil pinjaman PTPTN. Namun demikian, dengan yuran kira-kira RM8,000 atau RM7,000 satu semester, beliau akhirnya akur dan menerima pinjaman PTPTN pada semester ketiga. Untuk beliau, inilah peluang yang digunakan oleh PTPTN untuk mengerah wang dari anak muda yang tersepit.
Mandeep juga menambah, mungkin ramai yang mempunyai tanggapan bahawa seseorang graduan akan memulakan hidupnya yang baru sebaik sahaja tamat pengajian, tetapi padahal graduan memikul beban hutang yang amat berat dari PTPTN.
Ketika berucap, Abdul Malik mengingatkan bahawa peminjam sebenarnya sedang berurusan dengan satu institusi kewangan, seperti mana seseorang peminjam dana untuk membeli rumah. Beliau mengajak hadirin untuk melihat isu PTPTN dalam sistem ekonomi yang sedia ada, malah sambil berseloroh menyamakan Mandeep Singh sebagai Mohammed Abou Aziz di Malaysia, anak muda Tunisia yang membakar diri, lantas mencetuskan revolusi di tanah Arab.
Perbincangan berlanjutan kepada isu sama ada pendidikan percuma harus disediakan di Malaysia. Arutchelvan menolak tanggapan bahawa pendidikan percuma sebagai cadangan yang tidak berpijak pada tanah, membandingkan angka RM1.34 bilion untuk PTPTN setahun, dengan perbelanjaan kerajaan sejumlah RM9.5 bilion setahun, malah mengambil statistik laporan bahawa ketirisan yang disebabkan rasuah mencatat RM30 bilion di Malaysia.
"Pendidikan percuma bukan sesuatu dari bulan, tak ada. Ia sesuatu yang memang boleh dicapai. Tetapi, masalahnya kita sekarang berlawan dengan satu sistem yang nak buat keuntungan dari semua benda. Pendidikan, kesihatan...," kata Arutchelvan.

Perbincangan mereka membawa kepada kesimpulan, bahawa cara yang paling relevan adalah untuk membubarkan PTPTN. Ahmad Syukri memetik EXCO kerajaan negeri Kelantan, Husam Musa yang berjanji untuk membayar PTPTN untuk anak Kelantan, atau menaja pendidikan seluruh anak Kelantan - seandainya diberi royalti minyak kepada negeri itu. Ahmad Syukri berkata, penentunya adalah iltizam politik, dan bukan sama ada negara kita mampu atau tidak untuk menyediakan pendidikan percuma.

"Sama ada Najib kata (Abdullah Ahmad) Badawi tipu, atau dia tak tahu..." sindir Karthig. Karthig bagaimanapun menunjukkan resit yuran sekolah menengah kebangsaan yang diwajibkan untuk dibayar ibu bapa murid, mempertikaikan maksud "pendidikan percuma" yang didakwa kerajaan BN.
* MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia.
http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/02/ptptn-ah-long-berlesen-najib-kata.html
No comments:
Post a Comment