Thursday, February 16, 2012

Anwar dan Pluralisme: Menjawab Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady

Pendahuluan
Saya maklum bahawa tulisan Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady bertajuk Pluralisme Agama Dan Anwar: Beberapa Persoalan dilihat dari pandangan Arusperdana Islam telah lama disiarkan. Tulisan Dr. Uthman itu merupakan penelitian beliau terhadap satu ucapan bertajuk Religion and Pluralism in a Divided World yang disampaikan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim di London School of Economics pada 18 Mac 2010. Dalam tulisan yang dikemukakan, Dr. Uthman menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya 12 kesalahan Dato’ Seri Anwar dalam ucapan tersebut.


Saya akan mengemukakan semula semua hujahan beliau dan memberi komentar bersesuaian tentangnya.

Hujah 1: Persoalan Ekslusif Agama (Religious Exclusivism) – hanya satu agama sahaja yang benar, manakala agama lain adalah salah.

Dr. Uthman memuatkan kenyataan yang didakwanya diucapkan Dato’ Seri Anwar: Golongan-golongan agama tertentu yang menganggap hanya satu ajaran asasi tertentu (fundamental doctrines) sahaja yang membawa ke jalan keselamatan/syurga (salvation) adalah pandangan yang silap dan tertutup. Agama-agama lain juga benar. Maka Pluralisme Agama adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengelakkan perpecahan tersebut.

Dalam komentarnya beliau menulis: Pluralisme yang mengajar penganutnya tentang tidak ada kebenaran mutlak dan tidak ada ajaran asasi yang menjamin keselamatan/kebahagian/syurga, tidak boleh diterima, malah ditolak dalam agama Islam. Sekiranya diterima anjuran Pluralisme itu maka tiada ertinya firman-firman Al Quran yang menyebut bahawa ia datang membawa al-haq (kebenaran) dan dengan itu kebatilan akan hilang.

Apa yang tidak dijelaskan, dan perlu saya nyatakan di sini ialah:

(1) Ucapan sebenar Dato’ Seri Anwar ialah: But I say bear it we must for indeed, it is a stark reality of our world that certain religious groups hold that only certain fundamental doctrines may lead to salvation. This exclusivist outlook unfortunately cuts across the board as between religions as well as within the denominations. (Terjemahan: Bagaimapun kita terpaksa menerimanya, kerana jelas dalam realiti kehidupan bahawa terdapat sesetengah kumpulan agama berpandangan bahawa doktrin asas tertentu sahaja membawa kepada jalan keselamatan. Sayangnya, pandangan luar yang eksklusif ini merentas semua pihak, sama ada antara agama dan sesama agama.)

(2) Ucapan Dato’ Seri Anwar itu dibuat selepas beliau memulakannya dengan kutipan baris tulis T.S. Eliot dalam karyanya “Burnt Norton”: “Go, go, go, said the bird: Human kind cannot bear very much reality.” (Terjemahan: Pergi, pergi, pergi, kata burung itu: Manusia tidak dapat menerima realiti yang banyak). Selepas kenyataan (1), Dato’ Seri Anwar langsung membawakan dua contoh iaitu dalam pengalaman penganut Kristian di mana perpecahan dan kesan kebangkitan daripada sikap eksklusif ini dan juga di kalangan muslim – Sunni, Syiah dan Sufi yang berterusan hingga kini dengan senario keganasan dan tumpah darah.

(3) Seterusnya beliau mengemukakan bagaimana hubungan muslim dengan dunia Barat semakin sukar selepas peristiwa 9/11 dan 7/7 apabila kumpulan tertentu dalam politik mengambil kesempatan untuk mengenakan tekanan kepada muslim misalnya dalam kes pengharaman pemakaian tudung di Perancis.

Berdasarkan konteks ini, saya fikir Dr. Uthman telah bersikap cuai dalam penelitian beliau apabila mencabut pengertian sebenar ungkapan Dato’ Seri Anwar dan makna ungkapan yang lebih cocok dengan baris-baris ayat tersebut.

Untuk saya, Dato’ Seri Anwar telah cuba menunjukkan bagaimana manusia berdepan kesukaran menerima realiti kepelbagaian sehingga burung (dalam karya T.S. Eliot) menggesa mereka pergi tetapi Dato’ Seri dalam memulakan ucapannya mengambil pendirian agar manusia perlu menanganinya, bukan lari dari masalah realiti, sambil memberi pengakuan bahawa ada sebahagian kumpulan agama (bukan agama itu sendiri!) bersikap eksklusif dalam doktrin asas masing-masing yang mendorong kepada perpecahan dan keganasan serta pertumpahan darah.

Kebenaran eksklusif di sini tidak dipertikaikan oleh Dato’ Seri Anwar secara khusus tetapi dengan membawa contoh yang tidak sepatutnya berlaku. Saya fikir, kebenaran eksklusif yang didakwa oleh mana-mana agama itu adalah satu kebenaran realiti. Sebab itulah ia dinamakan agama. Kurang cerdiklah kepada mana-mana pihak yang menafikan kewujudan kebenaran realiti itu. Menganggap kebenaran realiti itu wujud tidak semestinya bermaksud automatiknya seseorang itu mempercayai doktrin yang berbeza-beza itu. Cuma yang pasti, sikap eksklusif mana-mana agama yang mendakwa kebenaran dan jalan keselamatan itu adalah milik mereka tidak harus membiarkan perpecahan manusia (atas faktor agama) dan juga keganasan serta pertumpahan darah.

Sekarang mari kita pergi kepada hujah kedua beliau.

Hujah 2: Persoalan pendapat ahli sufi, Jalaluddin al-Rumi

Dr. Uthman mendakwa kenyataan Dato’ Seri Anwar: Pluralisme Agama dianjurkan sejak dari abad ke-13 lagi. Buktinya kata-kata oleh penyair sufi, Jalaluddin al-Rumi yang menyebut; “Lampu-lampunya berlainan, tetapi Cahaya itu sama, ia datang dari seberang sana; kalau anda terus menerus melihat pada lampu, kamu tersesat; kerana dari sana timbul rupa lahir pada bilangan dan kemajmukan” (The lamps are different but the Light is the same, it comes from Beyond; If thou keep looking at the lamp, thou art lost; for thence arises the appearance of number and plurality).

Beliau seterusnya mengulas: Pandangan ini tidak benar kerana Jalaluddin al-Rumi adalah seorang Muslim, Sunni, bermazhab Hanafi yang bersyair dalam konteks kerangka Islam dan bukannya di luar konteks Islam. Bukannya antara agama Islam dengan agama-agama lain. Tentang simbolik ‘cahaya’ dan ‘lampu’ itu perlu dilihat dari segi amalannya sebagai seorang sufi yang bersyair dalam kerangka Islam. Ia berbicara tentang manusia yang perlu ‘menyeberangi’ sebelah sana bentuk rupa dalam syariat, menuju ke alam hakikat. Namun begitu, mesti berpegang kepada syariat dan bukan meninggalkannya.

Sekali lagi, Dr. Uthman tersasar kerana bait puisi Rumi itu beliau baca dalam kerangka penolakan awalnya (lihat Hujah 1). Sebagaimana diulas dalam jawapan balas saya di hujah 1, sikap eksklusif mana-mana agama yang mendakwa kebenaran dan jalan keselamatan itu adalah milik mereka tidak harus membiarkan perpecahan manusia (atas faktor agama) dan juga keganasan serta pertumpahan darah. Pandangan ini boleh disesuaikan dengan puisi Rumi itu. Perbezaan antara agama itu tidak seharusnya menjadikan kebaikan itu hilang dan diganti dengan kebencian dan persengketaan – baik antara agama atau sesama agama. Sesungguhnya kebaikan itu adalah perintah Allah s.w.t. kepada semua manusia. Jika mengambil konteks ucapan Dato’ Seri Anwar itu, saya melihat kebaikan yang cuba disampaikan ialah meskipun perbezaan itu jelas ada, dan masing-masing mengaku membawa jalan keselamatan, maka ia tidak harus diterjemahkan dalam bentuk perpecahan (antara agama) dan keganasan serta pertumpahan darah.

Hujah 3: Persoalan konsep agama adalah universal

Dato’ Seri Anwar didakwa mengatakan: Semua agama mempunyai pertanyaan yang sama iaitu dari mana datangnya manusia? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku bila ia meninggal dunia? yang bermaksud persamaan universal (universal concepts) antara semua agama untuk mencari kebenaran, keadilan dan sifat keunggulan.

Ia diulas oleh Dr. Uthman dengan kata: Konsep ini berlawanan dengan anjuran Al Quran. Kebenaran Islam adalah satu. Yang benar adalah apa yang Allah utuskan kepada Nabi dan Rasul terakhir, Nabi Muhammad SAW.

Kritikan ketiga ini tidak lebih daripada sekadar satu sikap mencari-cari hal kecil untuk dibesarkan dan kurang usaha memahami. Saya fikir Dr. Uthman perlu memahami kebenaran realiti yang dinyatakan sebelum ini. Ketika Dato’ Seri Anwar menjelaskan konsep universal itu, beliau tidak pun menyatakan bahawa semua agama itu sama benar tetapi beliau membawa persoalan-persoalan asas yang sama dalam semua agama dan kepercayaan (bahkan mungkin juga kepada atheis!).

Ayat sebenar yang digunakan oleh Dato’ Seri Anwar ialah: Those verses couldn’t be more relevant for us today. Despite rancorous debates linking religion to conflict and discrimination, it remains a fact that at a personal level religious experience boils down to certain universal concepts. Where does man come from? What is his purpose? What happens when he dies? The spiritual path subscribes us to a universal quest for truth and the pursuit of justice and virtue. (Terjemahan: Bait-bait tersebut (merujuk kepada puisi Rumi yang dipetik) sangat relevan dengan kita kini. Meskipun perdebatan penuh rasa tidak puas hati mengaitkan agama dengan konflik dan diskriminasi, hakikatnya kekal bahawa pengalaman beragama di peringkat individu adalah pada konsep universal tertentu. Dari mana manusia datang? Apakah tujuannya? Apa yang terjadi selepas kematiannya? Jalan kerohanian yang membawa kita semua kepada pencarian kebenaran dan usaha mendapatkan keadilan serta kebijaksanaan).

Serta: We rejoice in beauty, both within ourselves and in what surrounds us. We long for knowledge, peace and security amid the mysteries and uncertainties of the universe. In our disjointed world filled with ugliness, violence and injustice, religion gives all of mankind an opportunity to realize values which unify humanity, despite the great diversity of climes and cultures. (Terjemahan: kita meraikan keindahan, sama ada dalam diri sendiri atau persekitaran kita. Kita mencari pengetahuan, keamanan dan keselamatan meskipun banyak misteri dan juga ketidakpastian tentang alam ini. Dalam dunia kita yang terpisah-pisah dan penuh dengan keburukan, keganasan dan kezaliman, agama memberikan manusia peluang menterjemahkan nilai yang menyatukan kemanusiaan, meskipun wujud kepelbagaian sempadan kawasan dan budaya).

Jelas juga melalui ayat sebenar Dato’ Seri Anwar ini kita dapat melihat pengakuan tentang apa ciri yang sama boleh dikongsi oleh semua agama tanpa menghilangkan eksklusiviti pada doktrin agama.

Hujah 4: Persoalan pendapat Dante, penyair Kristian pada abad ke-14.

Dato’ Seri Anwar didakwa berkata: Dante, penyair Kristian di Itali pada abad ke-14 menganjurkan untuk mencapai kebahagian di dunia dan akhirat bukan semata-mata dengan ‘Kuasa’ tetapi juga dengan ‘Akal’. Visi Dante ini sama dan boleh dihubungan dengan visi tokoh-tokoh Islam termasuk al Farabi dan Ibn Rushd.

Dr. Uthman mengulas: Dante tidak menganjurkan pluralisme agama. Beliau hanya menerima agamanya (Kristian) dan menolak agama lain. Dalam epik puisi ‘The Divine Comedy’, karya Dante, beliau meletakkan Nabi Muhammad SAW dan Saidina Ali r.a. ke dalam neraka. Dalam ajaran Islam, setelah turunnya al Quran maka mansuhlah semua sistem kepercayaan lain, dan ajaran Quran adalah universal. Dalam Islam, ‘Akal’ semata-mata bukan penentu kepada kesejahteraan tetapi juga bergantung kepada kepercayaan ‘Wahyu’ dan ‘Syariat’. Sebab itu al Farabi dan Ibn Rushd tidak bergantung kepada ‘Akal’ tetapi beriman kepada ‘Wahyu’ Al Quran dan Syariat Nabi Muhammad SAW.

Saya fikir Dr. Uthman membuat komentar yang tidak perlu. Ketika memetik Dante, Dato’ Seri Anwar tidak mengemukakan pandangannya tentang The Divine Comedy. Untuk saya, membawa isu yang tidak berkaitan dan cuba membayangkan persetujuan tentang satu idea sebagai persetujuan dengan semua idea mana-mana pihak – baik institusi atau individu – adalah generalisasi yang cetek.

Dalam ucapan sebenarnya, Dato’ Seri Anwar mengemukakan pandangannya tentang isu pemecahan masyarakat yang disandarkan kepada faktor agama. Beliau menunjukkan bahawa Dante, seorang pemuisi besar dalam tradisi Kristian juga pernah berdepan dengan isu tersebut yang menunjukkan pelbagai kerosakan. Dante mengemukakan visi keamanan sejagat dengan penegasan bahawa manusia mahu hidup gembira di dunia dan di akhirat.

Dato’ Seri Anwar kemudian menjelaskan bahawa visi Dante boleh dicapai jika dunia bersatu di bawah kepimpinan yang tidak terpisah. Beliau juga menyebut bahawa hasrat itu tentulah satu utopia (tidak mungkin berlaku) namun hakikat kewujudan Eropah (maksudnya wujud kemungkinan kerjasama antara negara yang rapat) bukanlah melalui imperialisme. Bahkan beliau turut menjelaskan bahawa Dante juga tidak memikirkan tentang peluasan (pengaruh) gereja.

Dato’ Seri Anwar menyebut penyatuan ini boleh dicapai melalui penggunaan akal-fikir semua manusia dengan mengambil contoh al-Farabi dan Ibnu Rushd yang pengaruhnya melebar ke dunia Barat. Seterusnya dijelaskan bahawa keteraturan baru dunia tidak pernah berlaku malah sistem empayar dan dinasti telah beralih kepada kewujudan negara-negara kecil yang bersaing antara satu sama lain. Kesannya, banyak pertumpahan darah berlaku.

Dalam tambahan kenyataannya, beliau mengungkapkan bahawa meskipun terdapat usaha sesetengah pihak ‘melindungi’ (Dato’ Seri Anwar menggunakan kata purify yang boleh diterjemah terus sebagai menyucikan, tetapi saya membaca konteks ayatnya lebih tepat jika diterjemahkan sebagai melindungi), semua sempadan yang memisahkan negara-negara kecil itu menjadi samar dengan perkembangan pengangkutan moden dan komunikasi.

Dunia hari ini mungkin lebih rencam dan berintegrasi berbanding zaman emas Muslim Sepanyol di mana Kristian, Yahudi dan Muslim tinggal bersama secara aman harmoni. Namun, kerencaman dan integrasi dalam perhubungan bentuk baru yang lebih baik itu masih tidak menatijahkan cita-cita kehidupan aman harmoni.

Apabila saya membaca tulisan Dr. Uthman, saya tertanya-tanya apa perlunya beliau berusaha mengaitkannya bahagian ini dengan pandangan John Hick? Bukankah itu satu percubaan untuk menyatakan sesuatu yang sebenarnya tidak dinyatakan oleh Dato’ Seri Anwar? Saya fikir, beliau hanya mahu memuaskan hati sendiri kerana sudut pandang yang diambilnya seperti yang diterangkan dalam Hujah 1. Saya melihat cubaan membawa hal tak berkaitan mengenai Dante dan John Hick ini sebagai falasi (kesalahan berfikir dan berhujah). Falasi yang dimaksudkan ialah sikap menyalahkan seseorang berdasarkan perkaitan (Guilty by Association).

Hujah 5: Persoalan konsep kebebasan beragama vs pluralisme agama

Dato’ Seri Anwar didakwa berkata: Pada hari ini wujud kebebasan beragama (freedom of religion) tetapi mengenepikan Pluralisme Agama (Religious Pluralism) yang sepatutnya kedua-duanya diperteguhkan sebagai konsep kebebasan di negara-negara yang mengamalkan demokrasi. Memihak kepada satu agama dan mengenepikan agama-agama lain adalah bertentangan dengan semangat Pluralisme Agama. Perkara ini lebih ketara di Timur Tengah dan Asia Tenggara.

Dr. Uthman mengulas: Jika negara-negara Islam, adalah wajar kerajaannya berpihak kepada Islam dan memelihara syariat-syariatnya. Dalam Islam, kerajaan tidak boleh menganggap bahawa tidak ada kebenaran yang mutlak, kerana kebenaran itu tetap ada, dan negara itu mesti berpegang kepada kebenaran tersebut. Sebab itu, al-Mawardi di Baghdad pada zamannya memastikan pihak kerajaan memperbetulkan kesilapan-kesilapan orang ramai apabila berlaku penyelewengan akidah ajaran Islam. Tetapi pihak kerajaan tidak boleh menganiayai pihak yang bukan Islam, mereka tetap diberi hak untuk mengamalkan agama mereka.

Dalam teks sebenar, Dato’ Seri Anwar mengungkapkan isu kebebasan beragama yang dijamin di dalam perlembagaan di mana-mana negara demokrasi. Maka, sikap memihak oleh kerajaan terhadap mana-mana agama sehingga menafikan hak agama dan kepercayaan lain dilihat bertentangan dengan semangat kepelbagaian agama (pluralisme agama).

Dato’ Seri Anwar menjelaskan kes di atas berlaku di sesetengah negara demokrasi yang maju di Eropah (kita boleh mengambil contoh pengharaman tudung di Perancis) sementara di negara-negara Timur Tengah dan Asia Tenggara isu ini masih dianggap mudah dan tidak penting. Justeru, beliau menegaskan bahawa wacana tentang kepelbagaian agama perlu menguruskan persoalan asas tentang kebebasan beragama yang terkait juga dengan kebebasan berkeyakinan.

Persoalan yang diajukan oleh Dato’ Seri Anwar ialah apakah kepelbagaian agama itu menjadikan dunia yang terpisah itu semakin terpisah atau penafian kebebasan beragama yang menjadi puncanya? Beliau mengatakan kepelbagaian agama boleh berlaku dengan aman jika kita mengelakkan daripada membuat kenyataan tidak bermoral kepada penganut fahaman yang berbeza sebagai salah dan kita adalah benar.

Kenyataan Dato’ Seri Anwar yang terakhir itu sekali lagi boleh dibaca di luar konteks. Bagi pembaca yang mahu berfikir lebih sedikit, sudah tentulah ketika seseorang menganut agama tertentu, katakan Islam, maka itu beerti mereka meyakini kebenaran yang dibawa oleh agama tersebut. Begitu pula realitinya apabila seseorang itu memilih untuk menganut agama lain.

Saya memahami kenyataan “saya benar dan anda salah” sebagai satu kenyataan tidak bermoral seperti yang diucapkan Dato’ Seri Anwar dalam konteks jaminan kerajaan terhadap kebebasan beragama dan berkeyakinan. Maksudnya, kerajaan tidak boleh memihak dalam isu kebebasan beragama dan berkeyakinan ini meskipun sudah tentu di peringkat individu itu ada pegangan tersendiri.

Dalam hal ini, saya tahu ada perdebatan di kalangan sarjana, aktivis dan umat Islam sendiri. Ia tidak secara automatiknya menjadikan mana-mana pihak salah. Contoh peristiwa yang kita boleh ambil sebagai sokongan ialah ketika Nabi s.a.w. menangani isu keadilan hukum dan realiti beliau sebagai pemimpin kerajaan. Dalam satu hadis riwayat Imam Abu Daud, an-Nasa’ie, Ibnu Majah, Ahmad bin Hambal, al-Baihaqi, al-Hakim Naisaburi, Ibn Abi Syaibah rahimahullah dan ulama’ hadis yang lain maksudnya: Diriwayatkan daripada Saidina Abdul Humaid bin Salamah r.a. bahawa datuknya telah memeluk Islam pada zaman Baginda s.a.w. tetapi neneknya enggan. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak. Mereka berdua datang mengadu kepada Baginda s.a.w. (berkenaan hak penjagaan kepada anak tersebut). Sabda Baginda s.a.w. kepada mereka berdua: “Jika kamu berdua mahu, budak tersebut akan diberikan pilihan untuk memilih (antara) kamu berdua. Kata Abdul Humaid bin Salamah: Si ayah diletakkan di satu sudut, dan si ibu juga di satu sudut (yang lain) dan budak tadi diberi pilihan. Didapati budak itu bergerak ke arah ibunya. Maka Baginda s.a.w. berdoa: “Ya Allah, berikanlah hidayah kepadanya. Kata Abdul Humaid bin Salamah: Maka budak itu kembali kepada ayahnya.

Untuk saya, contoh ini jelas menunjukkan bagaimana Rasulullah s.a.w. yang tentulah insan paling gigih mengajak manusia kepada Iman dan Islam tetapi mengambil posisi yang neutral dalam kedudukannya sebagai seorang hakim. Jika diikutkan logik melindungi agama, tentulah beliau sebagai hakim dalam kes tersebut boleh sahaja memutuskan terus bahawa anak kecil itu harus diserahkan kepada penjaganya yang muslim tetapi itu tidak berlaku. Sebaliknya apa yang dibuat beliau ialah memberi pilihan kepada anak kecil itu (yang tentulah boleh dihujah sebagai belum cukup akal) dan beliau juga menunjukkan sisi peribadinya yang mengharapkan anak kecil itu memilih Islam (ini boleh dilihat melalui doanya).

Sesuatu yang boleh dibincangkan lanjut ialah, penerimaan terhadap kebebasan beragama dan berkeyakinan itu tidak pernah sama sekali bermaksud seorang muslim mengalukan dan berasa gembira apabila berlakunya murtad. Apa yang mungkin menjadi persoalan ialah konsistensi dalam mengambil sikap. Ini tentulah sesuatu yang mencabar dalam wacana muslim.

Ketika Rasulullah s.a.w. mengizinkan agama lain wujud pada zaman pemerintahannya, ia tak pernah bermaksud beliau meyakini agama tersebut. Malah, dalam surat Nabi s.a.w. kepada Gereja St. Catherine ketika mereka meminta perlindungan, kenyataannya lebih mengejutkan:

“Ini adalah mesej daripada Muhammad bin Abdullah, sebagai perjanjian kepada orang-orang yang mengamalkan agama Kristian, dekat dan jauh, bahawa kami bersama mereka.

Sesungguhnya, hamba-hamba, pembantu dan pengikut saya akan mempertahankan, kerana Kristian ialah warganegara di bawah perlindungan saya dan Allah s.w.t.! Saya menolak perkara yang tidak menyenangkan mereka.

Tiada paksaan terhadap mereka. Tidak ada mana-mana hakim di kalangan mereka akan dilucutkan pekerjaan mereka begitu juga paderi dari gereja mereka. Tiada siapa dibenarkan memusnahkan rumah agama mereka, merosakkannya atau mengambil darinya ke rumah orang Islam. Jika ada sesiapa berbuat demikian, mereka telah merosakkan perjanjian Allah s.w.t. dan menderhaka kepada Rasulnya.

Sesungguhnya, mereka adalah rakan dan mempunyai piagam perlindungan dengan saya terhadap apa yang tidak disukai mereka. Tiada sesiapa boleh memaksa mereka berhijrah atau memaksa mereka berlawan. Orang-orang Islamlah yang akan berjuang melindungi mereka.

Seorang lelaki Muslim hanya boleh mengahwini wanita Kristian jika dipersetujui oleh mereka. Mereka tidak boleh dihalang untuk ke gereja untuk melakukan amalan keagamaan. Gereja-gereja mereka mesti dihormati. Jangan menghalang mereka untuk membaik pulih gereja, termasuk kesucian perjanjian mereka.

Tidak ada Muslim boleh melanggar perjanjian ini sehingga ke Hari Kiamat.”

Isu ini terkait dengan penghujahan keenam.

Hujah 6: Persoalan firman Allah s.w.t. “Tiada paksaan dalam agama” (Al-Quran, surah al-Baqarah ayat 256).

Dikatakan Dato’ Seri Anwar mendakwa: Al Quran sendiri menganjurkan Pluralisme Agama seperti dalam firman ‘tidak ada paksaan dalam agama’, maka perbuatan memaksakan kepercayaan seseorang ke atas orang lain bukan bersifat Islamik. Jika ayat ini ditolak maka kenyataan Al-Quran itu tidak mempunyai apa-apa erti.

Dr. Uthman mengulas: ‘Tidak ada paksaan dalam agama’ (2:256) dalam Islam bermaksud bahawa umat Islam tidak boleh memaksa bukan Islam supaya memeluk Islam. Ia terletak pada pilihannya. Tetapi apabila seseorang itu sudah Islam maka ia tertakluk kepada undang-undang Islam, termasuk berkenaan larangan murtad daripada agama Islam. Kita tidak menafsir kebebasan beragama itu bermakna kebebasan untuk murtad bagi orang Islam. Maka umat Islam tidak seharusnya mengikuti falsafah lain tentang kebebasan manusia dan agama apabila falsafah itu sendiri bercanggah dengan Quran. Dalam Islam kebebasan berkeyakinan bukannya kebebasan ala-Barat tetapi harus tunduk dengan akidah dan syarak Islam.

Subjek ini mempunyai khilaf di kalangan sarjana muslim. Dr. Sheikh Taha Jabir al-Alwani misalnya ada menulis buku Tiada Paksaan Dalam Agama dalam menghujahkan kebebasan beragama dan berkeyakinan.

Bagaimanapun, dalam konteks pembicaraan akademik berkaitan kenegaraan, saya ingin sekali mengemukakan pertanyaan: “Apakah Dr. Uthman boleh bersetuju misalnya sebuah negara mengisytiharkan agama rasminya Hindu, majoriti rakyat serta pimpinannya beragama Hindu dan mereka mengenakan syarat larangan keluar daripada agama Hindu. Jika beliau menerima hal itu berdasarkan konteks populasi dan agama rasmi, apakah beliau boleh menerima situasi seorang Hindu yang mahu memeluk Islam tetapi dihalang, bahkan dihukum?”

Saya tidak bermaksud mempertikai hukum agama meskipun saya percaya bahawa muslim tidak wajar membuat generalisasi penerimaan kebebasan beragama sebagai satu galakan bagi muslim untuk murtad. Apa yang saya kemukakan ini adalah persoalan kebenaran realiti. Saya difahamkan oleh seorang rakan yang asalnya beragama Hindu dan kemudian memeluk Islam: mengikut kepercayaan Hindu, jika mereka murtad (daripada agama Hindu), mereka boleh dibunuh (betulkan saya jika tersilap). Isunya di sini ialah konsistensi sikap kerajaan dan juga hubungan aman dalam kepelbagaian. Saya mohon pencerahan daripada Dr. Uthman sekiranya beliau mempunyai jawapan tuntas untuk persoalan ini.

Hujah 7 dan 8: Persoalan konsep menuju kepada Yang Satu dan Semua Kepercayaan adalah sama.

Dato’ Seri Anwar dipetik berkata: Guru Granth Sahib, Kitab Agama Sikh memberitahu kepada semua manusia bahawa seseorang yang mampu melihat semua jalan-jalan kerohanian (spiritual paths) akan membawa kepada Yang Satu dan akan menjadi bebas merdeka tetapi orang yang menyatakan kepalsuan akan turun ke dalam api neraka dan terbakar di dalamnya. Orang yang berbahagia ialah orang yang disucikan dan mereka akan berterusan tenggelam dalam nikmat Kebenaran.

Beliau menambah: Apa juga agama, sama ada Islam, Kristian, Yahudi, Sikh, Hindu dan banyak lagi, saya percaya bahawa kebenaran tertinggi itu melangkaui amalan dan ritual semuanya balik kepada Kebenaran yang Satu: dan ianya dari Tuhan kita datang dan kepadanya kita kembali.

Dr. Uthman menjawab: Dalam Islam konsep ‘Menuju Kepada Yang Satu’ perlu dilihat dalam konteks Quran. Tentang sistem kepercayaan lain yang menyebut semua jalan membawa kepada Yang Satu, kalau Yang Satu itu membawa kepada kekaburan, itu akan mengundang masalah. Penyembahan Berhala bukan Yang Satu, Penyembahan Tuhan yang bukan secara tauhid juga bukannya Yang Satu, begitu juga kepercayaan tentang sesuatu kuasa ghaib yang kabur, mengatasi yang lain, juga bukan Yang Satu dalam Al Quran.

Beliau menambah agar persoalan ini mesti dilihat dalam konteks al-Quran di mana kebenaran agama lain (muhaiminan ‘alaih) terputus apabila al-Quran diturunkan. Tidak ada yang benar melainkan ajaran al-Quran.

Saya tidak nampak di mana Dato’ Seri Anwar silap dalam hal ini. Memang, kenyataan Dr. Uthman itu benar bahawa jalan Islam itu tentu saja berbeza dengan agama dan kepercayaan lain. Namun, yang dinyatakan oleh Dato’ Seri Anwar ini bukan soal jalannya tetapi di mana akhirnya manusia. Spiritual path itu hanya kutipan dan bukan keyakinan Dato’ Seri Anwar yang dinyatakan kemudian. Apakah Dr. Uthman percaya akan kewujudan tuhan lain di mana manusia akan dikembalikan? Jika benar begitu, saya fikir kenyataan bermasalah itu akan berbalik kepada beliau semula.

Tidak ada ayat yang menggambarkan Dato’ Seri Anwar menyamakan semua agama. Malah, jika semua agama itu sama, apa perlunya pertukaran agama atau dakwaan sebagai muslim. Itu dari segi ritual. Dari segi kehidupan bersama sebagai masyarakat, saya yakin banyak perkara yang boleh dipersetujui bersama seperti menolak keganasan dan saling menghormati.

Hujah 9: Perintah-Perintah Eksklusif (Exclusivist Claims) (saya lebih cenderung untuk mentafsirkannya sebagai Dakwaan Eksklusif).

Dato’ Seri Anwar didakwa berkata: Hari ini, terdapat pemimpin-pemimpin agama-agama dunia tertentu yang terus menerus membuat Perintah-Perintah Eksklusif (exclusivist claims) tentang mereka memiliki kebenaran yang kekal abadi berbanding dengan penerimaan perkara-perkara yang disepakati bersama (commonality) yang mampu menghubungkan semua manusia. Kalaulah kita menerima hakikat bahawa memang terdapat kepelbagaian, maka Pluralisme Agama adalah jawapannya kerana mampu menyatukan. Itulah jalannya untuk membawa keluar daripada kegelapan kepada cahaya, daripada perang kepada damai, daripada kebencian dan kejahatan kepada kasih-sayang dan kebaikan.

Dr. Uthman menjawab: Adalah janggal sekiranya umat Islam menerima Bible dan kitab-kitab lain selain Al Quran sebagai ‘wahyu’. Teori John Hick yang mengatakan hanya Pluralisme Agama yang membawa kebahagian dan syurga tidak akan mempengaruhi umat Islam yang setia dengan wahyu Al Quran.

Sekali lagi, saya melihat Dr. Uthman memberi komentar berasaskan ketempangan definisi apa itu pluralisme. Memang ada kitab terdahulu yang mesti diimani oleh muslim. Bagaimanapun, tidak ada kenyataan Dato’ Seri Anwar yang menyebut tentang penerimaan Bible dan kitab-kitab lain sebagai wahyu. Ia hanya bayangan nakal Dr. Uthman yang boleh memesongkan tumpuan sebenar kepada kenyataan asal. Saya juga tertanya di baris mana Dato’ Seri Anwar mengutip pandangan John Hick? Agak janggal saya membaca komentar Dr. Uthman!

Hujah 10: Persoalan konsep kebebasan

Dato’ Seri Anwar didakwa berkata: kaum muslimin masih lagi berterusan berprejudis; menolak nilai kebebasan bersuara (free speech), kebebasan media (free press), demokrasi, dan kebebasan hati naluri (freedom of conscience). Mereka memandang budaya Pluralisme Agama sebagai satu bentuk konspirasi teragung oleh ‘pihak lain’, terutamanya Kristian, untuk mengembangkan ajarannya dan menjadikan muslimin memeluk agama Kristian. Pluralisme juga dilihat sebagai jerat untuk menyeluduk masuk demokrasi ala Barat melalui pintu belakang.

Tetapi sebenarnya ini merupakan suatu penyelewengan apabila dilihat menurut perlaksanaan hukum Islam. Di luar daripada kepentingan polisi awam, memang tidak ada kewajipan agama untuk orang Islam mengenakan undang-undang dan nilai-nilai umat Islam ke atas seluruh masyarakat.

Dari segi ideologi, sikap beku dalam pemikiran (rigidity) masih berupa penghalang kepada kemajuan dan islah. Muslimin hendaklah membebaskan diri daripada amalan-amalan lama menggunakan klise dan menjaja-jajanya (cliche-mongering) serta mengenakan label-label kepada orang, dan bergerak melewati kepentingan-kepentingan kelompok yang sempit. Penemuan semula garapan terhadap pluralisme yang asal dalam Islam sangat-sangat diperlukan.

Uthman El-Muhammady menyatakan: Tentang pengamatan demikian ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Antaranya ialah nilai-nilai kebebasan bersuara, kebebasan media dan yang sepertinya tentang demokrasi dan kebebasan hati naluri (freedom of conscience), pada muslimin adalah perkara-perkara yang mesti tunduk kepada orientasi Syara’: Kalau kebebasan itu tidak bertentangan dengan Syara’, maka kebebasan itu dialu-alukan, tetapi sekiranya kebebasan itu bertentangan dengan Syara’ maka ia perlu dijauhi.

Sudah tentu bagi Muslimin, Syara’ mengatasi bahan pemikiran para pemikir semata-mata. Kalau diletakkan pemikiran-pemikiran dari para pemikir mengatasi Syara’ dan ijma’, itu adalah malapetaka intelektual dan rohaniah. Pihak yang berbicara tentang nilai kebebasan manusia sejagat perlu juga menghormati manusia beragama dalam mengamalkan agamanya dan bukannya hendak membatalkan amalan pihak lain dan mempromosikan haknya semata-mata. Itu pun bercanggah dengan nilai hak-hak asasi manusia.

Pandangan saya: Komentar Dr. Uthman dalam hal ini hanyalah ‘nasi tambah’ memanjangkan tulisannya sahaja. Di mana Dato’ Seri Anwar ada menggesa pelanggaran Syara’? Apa yang ada ialah kompleksiti kepelbagaian itu sendiri untuk bergerak secara bebas. Tidak ada isu pembatalan atau mempromosi mana-mana hak secara eksklusif disuarakan oleh Dato’ Seri Anwar. Kebebasan tidak pernah menjamin tidak berlaku pertindihan hak, sebab itu ia mesti diuruskan.

Dato’ Seri Anwar memberi contoh yang berkaitan dalam pengalaman kerajaan Uthmaniyah dan Ibnu Qayyim pada tahun ke-8 Hijrah dalam komentar terhadap kelompok Zoroaster. Beliau menyatakan dengan jelas akan keperluan untuk bersikap terbuka dan contoh-contoh yang dipilih jelas menunjukkan bagaimana sikap tersebut diambil dalam hal dasar kepimpinan tanpa menselanjarkannya secara mudah sebagai penerimaan dalam bentuk akidah.

Hujah 11: Persoalan syariat Islam

Dato’ Seri Anwar dipetik berkata: Syariat itu bukannya hanya tertulis di atas batu, dan ia mengalami evolusi (perubahan) secara dinamik. Demi untuk mempertahankan moderat, maka unsur utama dalam metodologi Islam mesti dipandang dalam perspektif yang menyeluruh (holistic) yang akan menjadi lebih menarik, mengikut kaedah yang bersifat universal dan kekal abadi.

Dikatakan bahawa pluralisme dalam dunia yang terbahagi-bahagi ini akan menambah lagi perpecahan kepuakan yang membawa pula kepada suara yang diulang-ulang tentang ‘pertembungan tamadun’ yang telah dan masih meletihkan yang seperti ianya sama dengan pukulan ‘gendang purba’ itu. Bagaimanapun, sebagaimana yang dinyatakan oleh Eliot: Sejarah boleh berupa sebagai perhambaan, sejarah boleh pula berupa sebagai kebebasan.

Oleh itu, kita mesti membebas diri kita daripada penipuan konsep tentang pertembungan tamadun dan menumpukan semula perhatian kita kepada pertembungan yang menggelegak (bahaya) dalam umat Islam itu sendiri. Kita boleh melihat suatu pertembungan yang lebih merbahaya dan membimbangkan yang berlaku dalam tamadun yang sama (Islam), antara yang lama dan baharu (the old and the new), yang lemah dan kuat (the weak and the strong), moderat (liberal) dan fundamentalist (the moderates and the fundamentalists), dan antara modernis dan traditionalis (the modernists and the traditionalists).

Turki dan Indonesia dengan terang sedang merintis jalan demokrasi bagi umat Islam untuk ikutan mereka. Kemasukan Turki ke dalam Kesatuan Eropah yang segera akan berlaku juga berupa suatu kenyataan yang jelas tentang tahap demokrasi liberal dapat dicapai, walaupun, sayangnya, hambatan-hambatan yang dibentangkan di hadapannya oleh setengah negara-negara ahli itu sangat nyata memberi isyarat tentang Islamophobia yang ada. Di Asia Tenggara, Indonesia sudahpun mencapai garis penyudah [dalam amalan demokrasinya] manakala jiran-jirannya yang muslimin dalam negara masing-masing masih lagi terlekat dalam tahap permulaan jalannya.

Komentar Dr. Uthman: Kita perlu melihat kenyataan ini dalam suluhan ajaran Islam tentang ada bahagian-bahagian Syara’ yang kekal dan ada yang berubah-ubah, dan bukan semuanya berubah-ubah. Akidah Ahli Sunnah tidak berubah; perincian-perincian Syara’ berkenaan dengan perkara-perkara baru yang tidak ada dalam nas secara terang-nyata dari fatwa-fatwa zaman berzaman boleh berubah. Tetapi kalau perubahan itu melibatkan seperti menghalalkan persetubuhan haram, judi, zina, menghalalkan yang haram dalam ijma’, kerana terpengaruh dengan ‘penemuan-penemuan’ para pemikir, ini tidak dibolehkan.

Bagi saya, sama seperti komentar sebelum ini, ia hanya ulasan umum yang tidak bertujuan mengupas pandangan asal Dato’ Seri Anwar. Ia hanya kenyataan umum dengan bayangan liar seperti menghalalkan zina.

Hujah 12: Persoalan jihad

Akhirnya, Dato’ Seri Anwar didakwa berkata: Hari ini jihad dilaungkan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengesahkan perbuatan-perbuatan keganasan dalam pelbagai bentuk dan rupanya, tetapi akhirnya menjadi kabur antara garis jihad dan keganasan. Mujurlah adanya pentadbiran Obama, maka kita telah melihat sesetengah perubahan berbanding polisi Bush yang mengamalkan sifat percanggahan dan memilih bulu, dalam memerangi keganasan, dengan memberi sokongan kepada para autokrat (penguasa kuku besi) di dunia Islam di satu pihaknya, dan menjadi jaguh kebebasan dan demokrasi di satu pihak lain pula. Walaupun selepas lebih setahun semenjak pentadbirannya (Obama) itu, kita masih lagi menanti untuk melihat perubahan-perubahan yang penting (substantive) dalam isi (substance) polisi luar negara Amerika dalam hubungan dengan Dunia Islam.

Dr. Uthman memberi komentar: Kalau dalam suasana semasa ada penafsiran jihad yang tersasul dalam setengah umat Islam (kerana faktor-faktor sejarah yang mendesak dan tidak patut diremehkan) itu tidak boleh dijadikan dalil untuk penafsiran yang menyeluruh mewakili arus perdana umat Islam. Bagaimanapun, ini juga perlu dilihat dalam konteks pihak-pihak lepas, mahupun sekarang, memanipulasikan maklumat untuk kepentingan hegemoninya.

Sekali lagi, Dr. Uthman cuba membuka topik jihad yang tidak perlu. Dato’ Seri Anwar jelas menunjukkan bahawa memang ada keganasan yang dibuat atas nama jihad. Bagaimanapun, beliau mengaitkannya terus dengan dasar luar Amerika yang perlu diubah di mana sebagai pembaca saya dapat melihat mesej Dato’ Seri Anwar jelas menegaskan adanya ketempangan di pihak yang membayangkan masalah keganasan atas nama jihad itu adalah masalah sepihak. Dan akhirnya, Dato’ Seri Anwar menutup ucapan dengan menjelaskan semula pandangan beliau akan keserasian Islam dengan bentuk politik moden antaranya berkaitan isu kebebasan, melawan kezaliman penguasa dan penegasan hak pemilikan. Ini dibayangkan sebagai proses berterusan melalui ungkapan T.S. Eliot yang dikutip pada akhir ucapan tersebut.

Kesimpulan

Saya fikir itu sahaja pandangan yang mahu dikemukakan terhadap tulisan Dr. Uthman dalam isu ini. Saya telah menunjukkan bagaimana tafsiran yang berbeza telah dijadikan asas untuk mengkritik Dato’ Seri Anwar dalam hal ini. Selain itu, saya juga mengkritik hal-hal yang tidak perlu tetapi dimuatkan bersama di samping sejumlah kupasan yang sebenarnya masih terbuka dalam wacana bijak pandai agama.

Sambil menghargai proses perbezaan pendapat dalam isu kepentingan ramai, saya fikir sikap berlebihan dan galak sesetengah pihak membuat penilaian dan menghukum Dato’ Seri Anwar perlu dikendurkan. Semoga tulisan ini dapat memberi satu sisi lain daripada penilaian oleh Dr. Uthman sebelum ini.

Sekian, terima kasih.

Nota:

Surat Nabi s.a.w. kepada Gereja St. Catherine ini pertama kali saya temukan daripada tulisan Dr. Muqtedar Khan, Pengarah Pengajian Islam di Universiti Delaware. Terjemahan surat itu boleh dibaca di sini.

Amin Ahmad, 30 juga boleh dibaca tulisannya di aminahmad.com.


SUMBER


http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/02/anwar-dan-pluralisme-menjawab-dr.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular