Monday, February 13, 2012 Mengapa Yayasan Taqwa menerima wang zakat RM4 juta dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tahun lalu sedangkan ia hanya meminta RM1 juta?
Soalan itu dikemukakan hari ini oleh Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan kepada Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berkata keadaan itu cukup mengelirukan.
“Pada 17 September 2011 Yayasan Taqwa pohon RM1 juta kepada MAIWP tetapi pada 12 November 2011 jawatankuasa Baitulmal MAIWP melulus RM4 juta.
“Jumlah itu bukan sahaja mencurigakan, apatah lagi Pengerusi MAIWP dan Pemegang Amanah Yayasan Taqwa itu adalah orang yang sama,” kata Nasrudin pada sidang akhbar di Kuala Lumpur pagi ini.
Katanya, Jamil Khir bertanggungjawab terhadap kedua-dua badan itu.
“Erti kata lain macam Jamil Khir minta pada Jamil Khir, Jamil Khir lulus pada Jamil Khir,” katanya sambil menambah keadaan itu menimbulkan banyak tanda tanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad, berkata peranan Yayasan Taqwa pada asasnya yang serupa dengan MAIWP.
"Tugas Yayasan Taqwa adalah untuk mengagihkan zakat, tetapi MAIWP juga menjalankan tugas itu. Jadi mengapa perlu orang tengah?" soal beliau.
Rabu lalu, Pemuda PAS menuntut supaya satu badan bebas dilantik untuk mengaudit Yayasan Taqwa kerana mendakwa banyak perjalanan badan penyalur bantuan zakat itu yang diragui.
Antaranya, yang didakwa itu ialah perbelanjaan sehingga RM2 juta yang direkodkan yayasan itu, sepertimana dalam laporan tahunan 2010 MAIWP.
Laporan itu pula tidak menunjukkan siapakah penerima wang zakat tersebut tetapi hanya jumlah kutipan dan juga agihan wang zakat. Mkini
No comments:
Post a Comment