KUALA LUMPUR, 16 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak perlu berbelanja sehingga RM80 juta untuk memastikan kenyataan yang menyifatkan beliau menggadai aqidah ditarik balik.
"Sebelum ini, Tan Sri Harussani (Zakaria) kata Najib menggadai 'aqidah kerana menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.
"Semalam, kita yakin tanpa sebarang bayaran, Mufti Perak itu juga yang menyatakan kehadiran Perdana Menteri pada sambutan Thaipusam itu tidak menyalahi hukum syarak pula.
"Perdana Menteri tidak perlu bayar RM80 juta untuk bersihkan imejnya di mata orang-orang yang mudah diperdayakan bahawa imej beliau telah dibersihkan," kata Mahfuz sinis sambil merujuk jumlah yang RM80 juta yang dibayar dengan wang rakyat kepada FBC Media Ltd yang ditugaskan untuk membersihkan imej buruk kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).
Sebelum ini, Najib mengakui di Parlimen bahawa kerajaan telah membayar 19.6 juta euro (RM80 juta) kepada FBC Media antara 2007 dan 2010 kononnya untuk meningkatkan imej Malaysia di mata dunia antarabangsa.
Mahfuz menyifatkan perbelanjaan itu sebagai lanjutan penyelewengan kepada penyelewengan tidak bertanggungjawab yang dilakukan sebelum itu oleh kerajaan Umno BN.
"Untuk menutup penyelewengan kerajaan Umno BN, buat satu lagi penyelewengan dengan menggasak RM80 juta duit rakyat untuk mengupah FBC buat dokumentari untuk cuba membersihkan imej buruk kerajaan Umno dan BN walaupun realiti yang berlaku tidak memungkinkan perkara itu terjadi.
"Buat lapan program dokumentari dengan harga RM80 juta dan selepas itu membazir begitu sahaja apabila kesilapan BBC (Perbadanan Penyiaran British) menyiarkan program tersebut memberikan imej yang sangat buruk dan hasilnya kosong kerana tidak mungkin sesiapa pun yang berakal boleh mempercayai program tajaan.
"Upah orang sampai RM80 juta supaya kata awak baik, siapa yang waras yang mahu percaya kata-kata orang upahan?" kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
BBC baru-baru ini telah memohon maaf kerana menyiarkan program hal ehwal semasa yang ditaja, termasuk lapan yang memaparkan Malaysia kerana tindakan itu melanggar peraturan dalaman yang bertujuan melindungi integriti editorialnya.
Sambil menuntut Najib serta Umno dan BN yang diketuainya membayar balik RM80 juta itu kepada rakyat, Mahfuz bersyukur kerana perbuatan Najib yang sebelum ini disifatkan menggadai 'aqidah oleh Harussani dibersihkan oleh Mufti Perak itu sendiri secara percuma.
"Nasib baik Mufti Perak yang sebelum ini menyifatkan Najib menggadai 'aqidah tidak bertindak seperti FBC yang menggasak hingga RM80 juta duit rakyat negara ini, walaupun sikap beliau yang dituduh flip flop itu menggadaikan nama dan penghormatan kepada kedudukan beliau sebagai mufti," kata Mahfuz.
Dalam tegurannya terhadap perbuatan Najib menyertai perayaan Thaipusam yang disifatkannya “menggadai akidah” itu, Harussani juga berkata, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun Perdana Menteri seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.
“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.
“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.
“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.
“Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya - harakah
http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/02/aqidah-tahniah-najib-tak-perlu-bayar.html
No comments:
Post a Comment