Bahawa orang-orang Quraisy digelisahkan oleh perkara seorang wanita Makhzum yang mencuri. Mereka berkata: Siapakah yang berani membicarakan masalah ini kepada Rasulullah s.a.w.? Mereka menjawab: Siapa lagi yang berani selain Usamah, pemuda kesayangan Rasulullah s.a.w. Maka berbicaralah Usamah kepada Rasulullah s.a.w. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Apakah kamu meminta syafaat dalam hudud Allah?"
Kemudian baginda berdiri dan berpidato:
"Wahai manusia! Sesungguhnya yang membinasakan umat-umat sebelum kamu adalah apabila seorang yang terhormat di antara mereka mencuri, maka mereka membiarkannya. Namun bila seorang yang lemah di antara mereka mencuri, maka mereka akan melaksanakan hukum hudud atas dirinya. Demi Allah, sekiranya Fatimah puteri Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya." (hadis riwayat Muslim)
Ketika berkunjung ke pejabatnya pada suatu hari di tahun 1995, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Megat Junid Megat Ayub (Allahyarham) pernah menceritakan kisah seorang polis trafik berpangkat sarjan yang dibuang kerja tiga bulan sebelum bersara.
Kesalahannya kerana menerima wang rasuah bernilai RM50 daripada seorang pemandu lori.
Kita juga pernah mendengar kes pecah amanah membabitkan bekas Pengurus Cawangan Pejabat Pos Putrajaya melibatkan wang berjumlah RM95,500. Tindakannya itu didorong oleh desakan kewangan bagi membiayai belanja perubatan beliau yang menghidap penyakit barah rahim.
Banyak lagi cerita-cerita rakyat marhain yang dihukum mahkamah kerana kesalahan rasuah dan pecah amanah. Bila rasuah makin membarah, tentunya yang menjadi mangsa adalah rakyat dan negara.
Buku Jingga yang menggariskan dasar dan program Pakatan Rakyat turut memaparkan krisis yang dihadapi negara ekoran budaya rasuah dan penyelewengan ini. Walaupun dibakulsampahkan seorang Timbalan Menteri Kerajaan BN [ SINI ] dalam program penerangan membabitkan wakil-wakil rancangan Felda seluruh negara baru-baru ini, fakta-fakta berhubung gejala rasuah yang dimuatkan dalam buku itu gagal dinafikan kerajaan BN yang menguasai Putrajaya.
Sebagai contoh, Malaysia jatub 26 anak tangga dalam indeks integriti institusi awam dalam laporan Daya Saing Global oleh Forum Ekonomi Dunia dari tahun 2007 ke 2009.
Sejumlah RM28 bilion kerugian ditanggung negara setiap tahun akibat ketirisan, penyelewengan perolehan dan rasuah yang berleluasa; tiga kali ganda hasil negara hilang melalui rasuah berbanding yang dibelanjakan untuk subsidi minyak rakyat.
Persepsi rakyat tentang rasuah negara juga teruk. Sejumlah 46% rakyat yang ditinjau Transparency International menyatakan bahawa gejala rasuah semakin berleluasa dalam tahun 2010 berbanding 2009.
Paling akhir adalah skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC) membabitkan pinjaman mudah kerajaan berjumlah RM250 juta yang dianugerahkan kepada syarikat anak beranak Menteri Pembangunan Masyarakat, Wanita dan Keluarga, Dato' Seri Shahrizat Jalil yang juga Ketua Wanita Umno.
Skandal ini mula menarik perhatian umum apabila kegagalan NFC didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011. Maklumat dalaman yang diterima KeADILan menunjukkan bagaimana di sebalik kegagalan itu, NFC didapati berbelanja mewah menggunakan dana diperolehi dari kerajaan.
Ini termasuk pembelian dua unit kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur, tiga lagi unit kondominium mewah di Singapura, dua bidang tanah di Putrajaya, pembelian kereta mewah serta pakej percutian untuk keluarga Shahrizat, tidak terkecuali belanja untuk melakukan ibadah umrah!
Walaupun dikecam hebat oleh pihak luar dan dalam parti, Shahrizat masih bertegas mengatakan dirinya tidak bersalah. Dengan menyingsing lengan, beliau mencabar dua pemimpin KeADILan yang mendedahkan skandal lembu fidlot itu sambil menerima sorakan sokongan para perwakilan Wanita Umno, November tahun lalu.
Beliau akhirnya mengambil keputusan untuk bercuti selama tiga minggu dan terbang ke Makkah untuk menunaikan umrah; satu lagi amalan biasa ahli politik Umno yang ditimpa masalah.
Sekembalinya daripada bercuti, Shahrizat dipanggil memberi keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan disoalsiasat selama dua jam di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
Namun dia terus berpendirian bahawa NFC adalah urusan suami dan anak-anaknya dan tiada kaitan langsung dengan dirinya.
Bagaimanapun silat pencak Shahrizat mengelak diri daripada skandal penyelewengan NFC itu dipayahkan lagi oleh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Abd Aziz. [ SINI ]
Nazri menasihatkan ahli keluarga rakan kabinetnya itu supaya membayar balik RM250 juta yang dipinjamkan kerajaan jika tidak mahu isu ini berlarutan.
Tindakan itu adalah penyelesaian terbaik bagi masalah berkenaan tanpa perlu Shahrizat meletak jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Beliau (Shahrizat) tak perlu letak jawatan. Apa yang paling utama, kembalikan semula wang itu kepada kerajaan," katanya dipetik akhbar Sinar Harian, 13 Fabruari lalu.
Nampaknya dengan syarat mengembalikan wang RM250 juta kepada kerajaan, Shahrizat dan keluarganya diberi jaminan oleh menteri yang menjaga SPRM akan bebas daripada segala dakwaan penyelewengan, pecah amanah dan salah guna kuasa.
Maksudnya, yang penting bagi Nazri adalah duit dan bukannya intergriti, kredibiliti, sikap amanah dan kejujuran menteri terbabit dan ahli keluarganya.
Sifir Nazri ini juga mungkin boleh digunakan kepada sarjan polis dan bekas Pengurus Cawangan Pejabat Pos yang dinyatakan di atas.
Tapi adakah pelawaan Nazri itu turut terpakai kepada para penerima rasuah berskala kecil yang berita pendakwaan mereka menghiasi dada-dada akhbar saban hari dan saban minggu.
Atau ia hanya terpakai kepada Shahrizat kerana statusnya umpama wanita Bani Makhzum yang dinyatakan dalam hadis riwayat Muslim di atas. Jika Nazri boleh diibaratkan wakil Bani Quraisy untuk bertemu Rasulullah s.a.w. bagi meminta hukuman hudud tidak dilaksanakan, masih adakah pemimpin Umno yang akan bangun mencontohi sabda Rasullah s.a.w. yang bermaksud; "Demi Allah, sekiranya Fatimah puteri Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya." -Harakahdaily
http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/02/shahrizat-wanita-bani-makhzum-nazri.html
No comments:
Post a Comment