Thursday, February 16, 2012

Ghani Othman akui JOHOR bukan "Deposit Tetap" UMNO/BN

Abdul Ghani bersama kepimpinan MCA pada majlis sambutan Tahun Baru Cina.
16 Februari 2012 SKUDAI - Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menegaskan bahawa negeri itu bukanlah deposit tetap Barisan Nasional (BN) dan Umno, namun beliau yakin ia akan kekal sebagai kubu kuat parti tersebut.

Menurutnya, walaupun sebelum ini pakatan pembangkang mengisytiharkan Johor sebagai ‘barisan depan' keutamaan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), beliau yakin rakyat negeri ini, terutamanya kaum Cina tidak akan terpengaruh dengan janji-janji kosong mereka.
"Walaupun meletakkan bekas Menteri Kesihatan sebagai pemimpin tertinggi, namun 'kehadiran' pembangkang bagaikan tidak dirasai di negeri ini.

”Pemimpin mereka (pembangkang) hanya berjuang secara bersendirian kerana parti mereka lemah, tidak mempunyai kualiti kepimpinan dan tidak dapat sokongan daripada rakyat Johor yang merupakan asas untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat.

"Oleh itu saya yakin Johor akan kekal sebagai kubu kuat BN," katanya ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Johor MCA di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pu Sze di sini, kelmarin.

Turut hadir pemimpin MCA termasuk Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Ketua Pemuda, Datuk Dr Wee Ka Siong; Setiausaha Penganjur Kebangsaan, Datuk Tee Siew Kiong dan Ketua MCA Labis, Tan Kok Hong.

Menurutnya, keputusan Pas meletakkan calon mereka bertanding dalam PRU-13 di Johor dan menjadi Menteri Besar juga adalah bersandarkan keyakinan palsu bahawa masyarakat Cina akan menyokong mereka.

"Oleh itu saya menegaskan agar masyarakat Cina tidak menyokong DAP kerana ia sama seperti memberi kuasa kepada Pas," katanya.

Abdul Ghani berkata, beliau yakin, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia akan terus berdaya maju untuk mencapai status masyarakat berpendapatan tinggi dan stabil dari segi ekonomi.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, Soi Lek meminta masyarakat Cina berhati-hati agar tidak terpedaya dengan janji manis pakatan pembangkang terutamanya DAP.

Menurutnya, DAP kini dilihat sering mengalah kepada Pas biarpun parti itu memenangi banyak kerusi pada pilihan raya umum lalu.

"Terbaru, Pas bakal meletakkan Ahli Parlimen dari Kelantan untuk menjadi Menteri Besar jika pakatan pembangkang menang dalam PRU-13.

"Keadaan yang sama dapat dilihat di Kedah dan Perak yang mana DAP berjaya menakluki banyak kerusi, tetapi jawatan Menteri Besar diberikan kepada Pas," katanya.

Soi Lek berkata, apa yang dibimbangkannya ialah pembangunan ekonomi di negeri ini akan terjejas jika ditadbir pembangkang.

“Jika Pas berkuasa, projek besar seperi Iskandar Malaysia juga berisiko gagal dan pembangunan akan terbantut termasuklah kemasukan pelaburan dan pelancong asing.

“Kerajaan Barisan Nasional memang tidak sempurna, tetapi komited dalam melakukan pelbagai transformasi baik dari segi politik, pendidikan dan ekonomi. Malah kadar jenayah juga menurun,” katanya. SH

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/02/ghani-othman-akui-johor-bukan-deposit.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular