Tindakan Putrajaya usir kolumnis Saudi kejam, kata Surendran
KUALA LUMPUR, 12 Feb - Naib Presiden PKR N. Surendran mengecam tindakan Putrajaya menghantar pulang kolumnis akhbar Arab Saudi Mohammad Najeeb A. Kashgari yang akan berdepan hukuman berat selepas didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad.
Mohammad Najeeb, atau Hamza Kashgari, yang melarikan diri dari Arab Saudi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lalu sebelum ditahan pihak berkuasa Malaysia.
Hamza mencetuskan kontroversi selepas mengeluarkan satu kenyataan yang menghina Islam dan Nabi Muhammad melalui Twitter, yang menyebabkan kemarahan rakyat negara itu.
“Hari ini Hamza Kashgari telah dihantar pulang ke Arab Saudi oleh kerajaan Malaysia di mana dia bakal berdepan hukuman mati. Kami mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara kerana menghantarnya pulang untuk berdepan hukuman mati berdasarkan komen di Twitter.
“Penghantaran pulang itu menyalahi undang-undang, tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan satu tindakan kejam. Tindakan itu terlalu tergesa-gesa seperti mahu mengelak daripada proses undang-undang Malaysia,” kata Surendran dalam satu kenyataan.
Beliau menambah Mahkamah Tinggi juga telah mengeluarkan perintah sementara untuk menyekat penghantaran pulang Hamza yang berusia 23 tahun.
“Perintah itu bermakna hakim Mahkamah Tinggi telah menemui asas aduan Hamza tentang penahanan tidak sah oleh pihak berkuasa Malaysia dan penghantaran pulang juga menyalahi undang-undang. Apa alasan kerajaan untuk menghantar pulang Hamza?
“Tiada perjanjian ekstradisi antara Malaysia dan Arab Saudi dan kesalahan yang dilakukan Hamza bukan satu kesalahan yang boleh membawa hukuman bunuh di Malaysia. Tindakan itu tidak mengikut lunas-lunas perundangan dan perlembagaan,” katanya menambah ia juga bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia termasuk Deklarasi Hak-Hak Asasi Manusia Sedunia.
Terdahulu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata penahanan Hamza dibuat atas permintaan pihak berkuasa Arab Saudi.
Beliau berkata penghantaran pulang lelaki itu dibuat berdasarkan perjanjanjian yang membolehkan mana-mana individu yang dikehendaki oleh sesebuah negara dihantar pulang ke negara masing-masing.
Tegas Surendran, tindakan Kementerian Dalam Negeri dan polis yang tidak memberikan maklumat tepat tentang status Hamza kepada peguam dan rakannya bertentangan dengan undang-undang.
“Maklumat penting yang dirahsiakan ini menyalahi undang-undang dan membuktikan penghantaran pulang ini telah dirancang.
“Adakah ini contoh amalan demokrasi bertaraf dunia (Datuk Seri) Najib (Razak)? Perdana Menteri mesti bertanggungjawab di atas tindakan yang menyalahi undang-undang dilakukan kerajaan dan harus menjawab persoalan ini,” katanya.
Menurut laporan media Arab Saudi, Hamza mengeluarkan laporan itu pada hari sambutan Maulidur Rasul minggu lepas dengan membayangkan seolah-olah dirinya berinteraksi dengan Nabi Muhammad dan seolah-olah kedua-dua mereka adalah sama taraf.
Hamza turut menyatakan ada sifat Nabi Muhammad yang disukai dan tidak disukainya.
Media negara itu melaporkan susulan tulisan lelaki itu, sebanyak 30,000 entri Twitter yang marah dengan laporannya dibuat dalam tempoh kurang 24 jam.
Sementara itu peguam hak asasi Fadiah Nadwa Fikri dalam tulisan di Twitter berkata Hamza telah dihantar pulang ke Arab Saudi menaiki penerbangan pukul 10 pagi tadi.
“Pegawai Baharuddin mengesahkan Hamza telah dihantar pulang pukul 10 pagi ditemani Timbalan Ketua Polis Negara.
“Pegawai Imigresen KLIA memaklumkan Hamza dihantar pulang tanpa diambil keterangan,” katanya.
Beliau menambah pihak berkuasa melakukan pembohongan dengan memberitahu peguam tengahari tadi bahawa Hamza masih berada di ibu pejabat polis. MI
Isu Pengusiran Wartawan Arab: Jangan Sibuk Surendran, Wartawan Hina Nabi Orang Islam, Bukan Tuhan/Dewa Agama Lain
Wartawan Mohammad Najeeb A. Kashgari dilaporkan menghina Nabi Muhammad di akaun Twitternya. Berikutan tindakannya, dia telah melarikan diri dan kemudiannya ditangkap di pintu masuk negara ini atas permintaan kerajaan Arab Saudi.
Logiknya, apabila seseorang melakukan kesalahan, maka dia perlu bertanggungjawab terhadap perbuatannya. Dalam Islam, perbuatan menghina agama dan nabi adalah sesuatu yang amat terkutuk. Jika dia berani bertindak biadap, maka dia perlu berhadapan dengan hukuman yang ditetapkan. Apa masalahnya? Cuba fikir, jika seseorang tergamak membunuh seseorang, maka orang itu perlu berhadapan dengan hukuman yang ditetapkan. Apa masalah dengan hal itu? Jika mangsa bunuh itu ada hak asasinya, maka nabi dan agama juga ada hak di sisi agama. Wartawan itu juga tahu hukuman yang bakal diterima jika berbuat demikian. Apa masalah dengan hal itu?
Tindakan Surendran yang hanya memikirkan hak asasi manusia walaupun tindakan wartawan tersebut terbukti menghina Nabi dan agamanya tidak sepatutnya berlaku. Hal ini bukan sahaja akan dipersoalkan oleh orang Islam yang berang dengan tindakan wartawan itu, malah tindakan itu akan dijadikan modal politik pencacai BN/UMNO. Walaupun kita tahu gelagat mereka jauh lebih teruk, namun atas kepentingan politik, isu yang tidak sepatutnya disentuh oleh PKR atau Surendran ini akan dijadikan modal pencacai untuk menagih undi PRU 13. Seperti yang anda maklum, kebanyakan orang Melayu amat sensisitf tentang soal agama dan bangsanya walaupun isu-isu tersebut dibangkitkan hasil manipulasi pihak tertentu. Oleh itu, tidak hairan ada pemimpin Melayu hari ini sanggup menjual agama dan bangsa demi kepentingan politik.
Seperkara lagi, jangan mudah melabelkan Islam sebagai agama yang kejam, keras, dan sebagainya. Kita harus maklum bahawa wartawan yang menghina Nabi itu berpeluang meminta maaf dan bertaubat. Dia juga akan diadili dengan seadil-adilnya. Jangan semata-mata kerana Arab Saudi menjalankan hukuman syariah, maka penguasa di negara itu akan bertindak tanpa mengikut hukum dan undang-undang.
DCM bersetuju dengan tindakan kerajaan Malaysia menghantar wartawan itu ke negara asalnya untuk berhadapan dengan hukuman. Berdosa besar bagi orang Islam bersubahat dengan orang yang terbukti menghina agama dan nabi.
P/s: Jangan menjadi hero tidak tentu fasal. Pencacai akan menggunakan isu ini dalam jerayawara mereka di serata pelosok Selangor dan kawasan sasaran. PKR perlu menasihati pemimpin bukan Islamnya agar tidak sesuka hati mengeluarkan kenyataan yang jelas mencampuri urusan agama Islam. Jika DSAI terpaksa bertungkus lumus menangkis serangan isu Israel, janganlah pula menambah beban dengan tindakan pemimpin mereka yang suka menjaga tepi kain orang tanpa usul periksa.
No comments:
Post a Comment