Friday, July 1, 2011

BERSIH - PISAU DAN TIMUN DI TANGAN POLIS


NAJIB berucap di TV malam tadi menyebut bahawa Umno/Bn boleh himpunkan sehingga 3 juta rakyat memenuhi bandar Kuala Lumpur jika mahu. Namun, Umno tidak mahu berbuat demikian sebalik mengapa BERSIH mahu menghimpunkan hampir 1 juta pada 09 Jul nanti.

Kita tidak peduli samada Najib mahu himpun 3 juta atau pun berupaya menghimpunkan 10 juta sekali pun. 


Apa yang kita mahu cabar beliau agar buat sahaja perhimpunan puluhan juta sekali pun jika beliau benar, tetapi jangan sengaja mahu mencari tarikh serta lokasi yang sama dengan cadangan BERSIH untuk berhimpun. Apa tujuan mencari tarikh dan lokasi yang sama?

Jika beliau ada akal dan waras, beliau boleh membenarkan hak untuk berhimpun secara aman oleh BERSIH ini pada tarikh yang dirancang oleh pertubuhan tersebut, kemudiannya Najib boleh angkut atau upah beribu-ribu bas untuk membawa puluhan juta berhimpun pada tarikh yang lain. Apa masalahnya? Kita pun tidak akan mengganggu perhimpunan mereka bahkan kita teramat ingin melihat dari kaca TV betulkah Najib boleh mengumpulkan sejumlah itu?

Adab orang kampong, jika terdapat satu keluarga ingin mengadakan kenduri kahwin mereka akan tentukan tarikh kenduri mereka tidak akan sama dengan tarikh kenduri orang lain. Ini adalah bertujuan untuk menjaga adab dan keharmonian masyarakat kampong tersebut. Mereka akan berbincang dan berpakat agar kenduri yang mereka rancang akan berjalan dengan baik dan tidak menyusahkan masyarakat kampong. Jika ada satu keluarga dengan sengaja mengadakan kenduri yang sama pada tarikh orang lain ingin adakan kenduri, ini menunjukkan ada sesuatu niat yang tidak baik atau perasaan busuk hati.

Di dalam isu perhimpunan ini, BERSIH telah pun merancang lebih awal untuk mengadakan perhimpunan aman pada 09 Jul nanti. Secara tiba-tiba PERKASA dan PATRIOT pula mencari tarikh yang sama dan lokasi yang hampir sama untuk berhimpun. Di sini, siapa yang busuk hati?

Pengerusi BERSIH, Ambiga telah pun menemui KPN untuk memohon agar PDRM sendiri menunjukkan jalan yang sesuai untuk BERSIH lalui di dalam perhimpunan itu nanti. Ianya bertujuan untuk memudahkan kerja Polis mengawal perhimpunan tersebut. Justeru itu, pendapat yang menuduh BERSIH bertujuan tidak baik untuk berhimpun ternyata silap. Kini, pisau dan timun di tangan Polis. KPN patut menggunakan kebijaksanaan agar Polis dapat menentukan amalan demokrasi dan kedaulatan Perlembagaan dalam aspek hak asasi bersuara dapat direalisasikan dengan baik.

Bukan tugas Polis untuk memberi tafsiran sendiri dengan tujuan sesuatu perhimpunan. Apakah selama ini tafsiran Polis semuanya tepat belaka? Sejarah lampau banyak membuktikan tafsiran Polis selalunya silap. Oleh yang demikian, wajar pihak Polis mengambilkira permohonan BERSIH untuk mendapatkan kerjasama dari Polis bagi memastikan perhimpunan itu nanti benar-benar berjalan dengan baik dan tertib. Jika mereka tidak berupaya, jelas kepada kita sikap Polis di dalam isu ini seiring dengan sikap pemimpin Umno./wfauzdin.blogspot.com 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular