KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Tian Chua mengibaratkan tindakan polis menahan Senator Ezam Mohd Noor sebagai ‘bermain wayang’ dengan tujuan mengelirukan persepsi rakyat.
Dalam satu ceramah di Kampung Pandan Dalam dekat sini malam tadi, Tian berkata beliau yakin tangkapan itu hanya sebahagian dari sandiwara Barisan Nasional (BN) untuk mengelabui mata rakyat.
Semalam, Ezam dan tujuh yang lain ditahan polis ekoran mengadakan perhimpunan bersama 300 anggota dari pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) di hadapan ibu pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di Georgetown.
“Ibrahim Ali (Presiden Perkasa) boleh duduk dan dilayan baik dalam lokap, selepas 24 jam dilepaskan. Orang lain duduk dalam ISA, 12 tahun,” katanya dengan nada sinis.
Reformasi 1998
Menurut Tian, ketika zaman reformasi pada 1998, tiada keganasan berlaku walaupun berpuluh ribu rakyat turun membantah fitnah dan pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ujar Tian, adalah menjadi hak orang ramai untuk berhimpun bagi memastikan pilihan raya adil seperti mana lapan perkara yang dituntut dalam perhimpunan Bersih nanti.
“Tun Mahathir Mohamad (mantan perdana menteri) kata jangan berhimpun, tubuh parti dan bertanding dalam pilihan raya. Sekarang kita dah ada parti dan menjadi hak kita untuk berhimpun.
“Sama ada parti masuk hutan ke, parti guna jalan raya ke, parti-parti ini tetap menang. Bersih agenda kita. Memang betul ahli-ahli PAS, DAP, PKR perlu hadir, bukan kerana nak berkuasa tetapi atas hak sebagai warganegara yang cintakan negara,” katanya.
Turut hadir dalam ceramah itu termasuklah Ketua Wanita PKR dan juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamarudin; Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Caves, Amirudin Shari dan aktivis sosial Hishamuddin Rais. - FMT
No comments:
Post a Comment