Min Young Song, warga Korea Selatan yang kini dalam Pusat Tahanan Sementara Bukit Jalil bukannya seorang ejen perisik CIA tetapi hanyalah seorang pelajar praktikal yang sedang membuat projek penyelidikan tentang proses pilihan raya di Malaysia.
Demikian reaksi Setiausaha Agung Institut Nasional Integriti Demokrasi dan Pilihanraya (NIEI) Amin Iskandar terhadap tuduhan laporan akhbar Utusan Malaysia semalam yang mengaitkan Song dengan ancaman komunis terhadap keselamatan negara, dipercayai dikaitkan dengan perhimpunan Bersih 9 Julai depan.
Membidas laporan tersebut, Amin sebaliknya berkata Song, 24, seorang pelajar tahun tiga jurusan Kejuruteraan di Universiti Kebangsaan Chonnam di Korea Selatan, sebenarnya menjalani latihan praktikal dengan NIEI sejak Mac lalu.
“Memantau proses demokrasi dan pilihan raya di Malaysia merupakan sebahagian kerja NIEI dan Song ketika itu sedang melakukan tugasnya sebagai seorang pemerhati.
“Beliau juga membantu NIEI membuat satu kajian bertajuk ‘Election in Malaysia: Comparison studies between Malaysia and South Korea’ yang memerlukannya berkomunikasi dengan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.
“Penahanan Song di Johor minggu lalu adalah kerana melakukan tugasnya memerhatikan perjalanan politik PSM.
“Kami mahu Utusan membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Song,”katanya ketika ditemui pemberita diperkarangan luar Balai Polis Bukit Jalil di sini hari ini. -FreeMalaysiaToday
No comments:
Post a Comment