PETALING JAYA – Pelakon Abdul Razak Ahmad diperintah supaya membela diri oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan berkhalwat dengan isteri orang, lima tahun lepas.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili oleh Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli berjaya membuktikan elemen utama kes khalwat seperti dalam pertuduhan.
Menurut beliau, empat elemen utama yang menjadi beban bukti kepada pendakwaan adalah tarikh, masa, tempat kejadian dan perbuatan khalwat.“Ketika serbuan dilakukan Abdul Razak tidak berpakaian manakala pasangannya, Selamah Sahudin lengkap berpakaian,” katanya.
Dalam kes khalwat itu, seramai lima saksi pendakwaan memberikan keterangan termasuk suami kepada wanita terbabit.
Suami Selamah dalam keterangannya berkata, wanita itu masih isterinya yang sah dan seorang yang bukan mahram kepada Abdul Razak.
Abdul Razak, 44, didakwa berada bersama Selamah, 43, dalam keadaan yang menimbulkan syak di No. A-4-19, Blok A, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan di sini pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006.
Ketika pertama kali didakwa pada 14 September tahun yang sama, Abdul Razak memohon dibicarakan tetapi Selamah didenda RM2,850 atau penjara tujuh bulan selepas mengaku bersalah.
Jika sabit kesalahan, pelakon drama itu boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.
Wan Mahyuddin menetapkan 15 September ini sebagai tarikh untuk Abdul Razak yang diwakili peguam syarie, Mohd. Azman Karim membela dirinya. - mynewshub
No comments:
Post a Comment