Friday, July 1, 2011

Tarik balik kenyataan atau letak jawatan !!!


Pakatan gesa Wan Ahmad tarik balik kenyataan atau letak jawatan SPR

July 01, 2011
KUALA LUMPUR, 1 Julai — Pakatan Rakyat mahu Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar menarik balik kenyataan atau meletakkan jawatan sebagai timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ekoran dakwaannya bahawa Himpunan Bersih 2.0 diperalatkan oleh mereka bagi membolehkan perikatan itu menawan Putrajaya.

Sehubungan itu menurut Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, kenyataan yang dikeluarkan Wan Ahmad semalam secara tidak langsung menunjukkan  “kesetiaan” SPR kepada Umno.
Tegas beliau, Wan Ahmad sepatutnya meletakkan jawatan kerana dakwaan beliau telah menjejaskan kredibiliti SPR.
“Sehubungan dengan itu, PKR dengan ini menuntut supaya Timbalan Pengerusi SPR itu menarik balik kenyataan beliau atau meletakkan jawatan serta merta kerana telah menjejaskan kredibiliti SPR.
“Saya juga mencabar beliau supaya masuk dalam gelanggang politik Umno dan menyertai pilihan raya umum ke-13,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam,  Wan Ahmad pada forum Tuntutan Bersih — Apa Penjelasan SPR? mendakwa Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan telah diperalatkan oleh pemimpin politik dalam Himpunan Bersih 2.0 kerana ingin meneruskan perhimpunan pada 9 Julai.
“Saya rasa Datuk Ambiga dah terikat benar, dia dah tak boleh tarik diri lagi, dia dah diperalatkan.
“Bersih sekarang bukan Bersih yang saya kenal dulu. Bersih sekarang sudah berubah, dah jadi begitu kusut, saya rasa dah tak bersih lagi,” katanya.
Wan Ahmad berkata, Bersih perlu fokus dalam perjuangan mereka sama ada mahu membantu menambah baik sistem demokrasi di negara ini atau menjadi alat kepada pihak lain menjelang pilihan raya umum ke-13.
Ujarnya, dalam suasana sekarang, pihak pembangkang sentiasa mencari peluang untuk mempengaruhi rakyat termasuk mengambil contoh kebangkitan rakyat di Mesir, Yemen dan Syria menumbangkan kerajaan sedia ada walaupun perbandingan itu jelas tidak betul.
“Bagi SPR, apa yang berlaku di negara ini termasuk perhimpunan Bersih 2, semuanya adalah agenda politik.
“Pada tahun 2007, Bersih (yang pertama) telah diadakan. Seramai 50,000 orang keluar ke jalan raya menyokong perhimpunan itu. Mereka putar belitkan isu. Hasilnya mereka menang 82 kerusi dan berjaya takluk lima negeri pada pilihan raya yang diadakan pada tahun berikutnya,” katanya lagi.
Wan Ahmad berkata, hakikatnya perhimpunan haram yang dirancang pada 9 Julai ini menjadi landasan kepada parti-parti pembangkang untuk menunjukkan usaha mereka menawan Putrajaya.
Dalam kenyataannya, Azmin juga berkata, kenyataan yang dikeluarkan Wan Ahmad selaku pegawai kerajaan dalam SPR adalah tidak bertanggungjawab.
Selain itu, tambah Ahli Parlimen Gombak ini, ia juga menunjukkan watak sebenar Wan Ahmad sebagai alat kepada pemimpin Umno dan sistem pilihan raya yang rosak.
“Kenyataan sebegini tidak mengambarkan sikap profesional seorang pegawai yang memegang amanah dan tanggungjawab untuk menjamin institusi SPR kekal sebagai badan yang bebas.
“Ketaatan membuta tuli beliau kepada Umno jelas membuktikan beliau gagal membezakan keperluan untuk setia kepada kerajaan sedia ada dengan taat kepada parti,” katanya.
Justeru beliau menasihatkan Wan Ahmad agar memahami peranan SPR yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Di mana SPR merupakan sebuah suruhanjaya yang bertanggungjawab bagi menyelia dan mengelola pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia.
“Wan Ahmad juga sewajarnya mengetahui bahawa SPR sama sekali tidak boleh berpihak atau mencampuri urusan mana-mana pertubuhan sama ada pertubuhan yang berkaitan dengan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih,” katanya.
Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata kenyataan yang dikeluarkan Wan Ahmad itu tidak selari dengan kehendak sebagai seorang pegawai dalam SPR.
Selain itu, tegas Lim, kenyataan yang dikeluarkan Wan Ahmad itu juga menunjukkan warna sebenar SPR yang sepatutnya menjadi badan bebas, adil dan berintegriti seperti mana yang termaktub dalan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Jika SPR benar-benar bebas maka panel SPR perlu mengadakan mesyuarat tergempar untuk meminta Wan Ahmad meletakkan jawatan.
“Apa yang dikatakan Wan Ahmad mengesahkan persepsi rakyat bahawa SPR adalah alat kepad Barisan Nasional (BN),” kata Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.
Ambiga sebelum ini turut menegaskan Himpunan Bersih 2.0 adalah gerakan NGO bukan parti politik.
Beliau juga berkata Bersih akan mengetuai perhimpunan aman itu dan bukan pemimpin Pakatan Rakyat. TMI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular