Thursday, June 30, 2011

Impian Umno punah, peniaga dapat kunci Bazar esok

Usaha Umno menjadikan isu Bazar Tok Guru sebagai modal besar menjelang pilihan raya umum ke-13 kini punah apabila hampir kesemua peniaga menandatangani perjanjian memiliki lot niaga di situ.

Hampir kesemua 336 peniaga dari Pasar Lama MPKB dan Arked Uda telah menandatangani perjanjian pembelian lot kedai dan dokumen berkaitan urusan peguam.


Program menandatangani perjanjian itu diadakan mulai 27 Jun lalu dan dijangka berakhir esok.

Pengurus Pemasaran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Khalili Abdul Kadir berkata, esok peniaga terbabit akan diserah kunci lot kedai bagi membolehkan mereka memindahkan barang.

“Sehingga hari ini sebahagian besar daripada 336 peniaga sudah menandatangani perjanjian dengan PMBK untuk memiliki lot kedai di Bazar Tok Guru.

“Dijangka pada Jumaat ini mereka boleh membawa masuk barangan jualan masing-masing,” katanya di sini.

Sebelum ini Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB melemparkan pelbagai tuduhan kepada kerajaan negeri berkaitan isu Bazar Tok Guru.

Malah berdasar kepada laporan media persatuan itu juga mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno Kelantan termasuk pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ahli persatuan juga dilapor membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penjualan Pasar Lama MPKB, namun tiada sebarang penyelewengan ditemui.

Isu perpindahan peniaga Pasar Lama MPKB dan peniaga Arked Uda juga dimuatkan dalam akhbar Umno, Khabar yang disebar secara percuma di kaki lima masjid April lepas.

Biar pun dikecam hebat persatuan, kerajaan negeri tetap berusaha menyelesaikan bagi kebajikan peniaga termasuk menawar lot di Bazar Tok Guru secara percuma selama setahun di tingkat bawah dan dua tahun di tingkat satu.

Selain itu mengurangkan harga setiap lot sebanyak RM25,000 menjadikan harga ditawarkan RM63,000 jauh lebih rendah berbanding harga asal RM88,000.

Tawaran memiliki lot di tingkat bawah dan tingkat satu dengan harga RM63,000 hanya sah sehingga 31 Mei lalu.

Dan selepas 31 Mei sehingga akhir Jun harga setiap lot ditawarkan sebanyak RM70,000 dan setiap peniaga perlu mengurus sendiri pinjaman bank.

Daftar awal boleh pilih

PMBK juga memberi peluang mana-mana peniaga yang mendaftar awal boleh memilih lot dan pendaftaran lewat akan diberi lot secara pengundian.

Selain itu PMBK memperluaskan lorong di bahagian belakang di mana 29 lot kedai diroboh.

Khalili berkata, 29 lot diroboh bagi memberi keselesaan kepada peniaga biar pun PMBK kehilangan pendapatan lebih RM2 juta, di mana setiap lot bernilai RM88,000 pada harga semasa.

“Jumlah RM2 juta yang dimaksudkan hanya kehilangan pendapatan ekoran 29 lot kedai diroboh,” katanya.

Beliau juga berkata, 96 peniaga yang mendaftar awal diberi peluang memilih sendiri lot tanpa perlu mengundi berdasarkan kepada polisi ditetapkan daftar dahulu dapat awal.

Bazar Tok Guru yang terletak di Jalan Sultan Ibrahim setinggi tiga tingkat mempunyai 860 lot. Lot di tingkat satu dan dua ditawar kepada orang ramai yang berminat berharga antara RM84,000 hingga RM92,000.

Lebih separuh lagi lot di tingkat satu dan dua dibuka tawaran kepada orang ramai yang berminat.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Bahagian Jualan PMBK di talian 747 4545 atau 013 907 3209 (Norin) atau 014 507 9001 (Izziani) - kedahla


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular