Dakwaan kononnya pentadbiran Datuk Seri Najib Razak berjaya dan cemerlang dalam usaha memerangi indeks rasuah ternyata tidak benar dengan pendedahan kaji selidik terbaru Barometer Penyelewengan Global Transparency International.
Kajian badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa itu mendapati hanya 30 peratus daripada responden percaya usaha-usaha kerajaan memerangi rasuah berkesan, berbanding 49 peratus pada tahun 2011.
Daripada hasil kajian yang didedahkan itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kini semakin celik dan sedar bahawa di sebalik omongan indah berhubung Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), sebenarnya tidak banyak yang benar-benar berubah.
“Rakyat sedar terlalu sedikit tindakan yang dikenakan terhadap individu korup yang kaya, berkuasa dan mempunyai kepentingan politik sementara segala usaha digunakan untuk menyiasat ahli politik pembangkang dan individu yang berfikiran sivik,” tegas Tony Pua dalam satu kenyataan medianya.
Lebih mengecewakan, peruntukan tinggi yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak memberikan hasil seperti diharapkan berbanding peruntukan yang pernah dibelanjakan untuk Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedekad lalu.
Ujar Tony Pua lagi, pada tahun 2008, sebelum Tun Abdullah Badawi menyerahkan tampuk pemerintahan pada Najib, Malaysia berada di kedudukan ke-47 dunia dengan anggaran peruntukan sebanyak RM146.7 juta.
Ironinya, pada tahun 2012, setelah pembaharuan besar-besaran dilakukan terhadap SPRM dengan bajet meningkat sebanyak RM 211 juta, Malaysia kini berada di tangga ke-56 dunia.
“Ini seolah-olah menunjukkan lebih banyak peruntukan dan sumber yang diberikan kepada SPRM, lebih korup Malaysia jadinya,” ujarnya.
Sehubungan itu, Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mendesak agar Perdana Menteri bersedia untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terbukti bersalah melakukan penyelewengan.
Desakan Tony Pua dilihat merujuk kepada skandal National Feedlot Center (NFC) bernilai RM250 juta yang sebelum ini diberikan kepada keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Kabinet.
Kerajaan Pusat baru-baru ini membuat keputusan untuk melantik pihak ketiga bagi menguruskan projek yang sebelum ini dikaitkan dengan keluarga Shahrizat itu.
Walaupun berdepan tuduhan konflik kepentingan dan ketidaktelusan yang jelas, SPRM membuat kesimpulan bahawa tiada kesalahan yang boleh disabitkan terhadap Shahrizat.
Semalam, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mendakwa perlantikan pihak ketiga itu menunjukkan wang awam bernilai RM 163 juta yang dibelanjakan dalam projek NFC boleh dianggap hilang dan tidak akan dapat dipulihkan. - selangorku
Pemandu akui pentadbiran Najib lemah tangani rasuah
Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) percaya banyak usaha boleh dibuat termasuk mengetatkan akta tertentu dapat mengekang gejala rasuah di negara ini.
Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Anti Rasuah Pemandu, Ravindran Devagunam, berkata kerjasama pelbagai pihak termasuk NGO dan badan profesional juga membantu mengurangkan rasuah.
"Kita mengakui usaha kerajaan belum mencukupi untuk membasmi rasuah, kata. Kita perlu melipat ganda usaha," katanya pada kenyataan media, hari ini.
Berdasarkan kaji selidik Transparency International – Malaysia (TI-M) yang diumum semalam, parti politik dan kakitangan awam termasuk ahli parlimen paling banyak terlibat dengan rasuah.
Kajian sama mendapati kepercayaan rakyat terhadap usaha kerajaan menangani rasuah merosot kepada 31 peratus tahun ini berbanding 49 peratus daripada 1,000 responden pada 2010.
Bagaimanapun, berdasarkan Penunjuk Aras Rasuah Global (GCB), 87 peratus rakyat Malaysia bersetuju orang ramai boleh melakukan sesuatu untuk membanteras rasuah.
Mengulas lanjut, Ravindran berkata, pindaan undang-undang boleh dilakukan kepada Akta Persatuan 1966 bagi mencegah kebocoran dana dalaman dalam parti politik.
“Pendaftar Pertubuhan juga boleh melakukan pindaan menjelang hujung tahun bagi menjamin ketelusan kaedah pengurusan kewangan parti politik," katanya.
Menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi keutamaan untuk memerangi rasuah ketika mengumumkan anggota Kabinet Mei lalu. Ravindran berkata, anggota Kabinet juga mengisytihar harta kepada Najib dan SPRM.
Selain itu, katanya, pelantikan bekas Presiden TI Malaysia, Datuk Paul Low sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada kecekapan tadbir urus dan integriti, membuktikan kesungguhan Najib. - 10 Julai, 2013. TMI
Hasil kaji sedilik bukti Putrajaya tidak serius tangani rasuah
Kerajaan tidak serius membasmi rasuah dan rakyat Malaysia kian muak dengan dongengan pakej Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kata Tony Pua .
Selepas tiga tahun NKRA, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu, berkata jenayah di Malaysia semakin teruk dan berleluasa.
"Rakyat berharap dapat melihat hasil NKRA selepas tiga tahun, namun tidak banyak perubahannya.
"Terlalu sedikit golongan kaya, berkuasa dan mempunyai hubungan politik yang dihukum," katanya pada kenyataan media lewat malam tadi.
Kenyataan itu mengulas hasil kaji selidik terbaru Transparency International (TI) yang mendapati rakyat Malaysia kian hilang keyakinan terhadap usaha kerajaan bagi membanteras gejala rasuah.
Badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa itu mendapati kepercayaan rakyat merosot kepada 31 peratus tahun ini berbanding 49 peratus daripada 1,000 responden pada 2010.
Pua kesal kerana peruntukan tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin meningkat tetapi tidak membuahkan hasil memberangsangkan.
"Kita berada pada kedudukan terbaik sedekad lalu dengan bajet RM67.7 juta. Ketika berada di kedudukan 47 dari seluruh dunia ketika zaman Tun Abdullah Badawi, kita guna bajet berjumlah RM146.7 juta.
"Pada 2012 selepas 'pembaharuan besar-besaran SPRM' dan tambahan bajet RM211.2 juta, kita beroleh kedudukan 56 dariseluruh dunia," katanya.
Secara sinis, beliau berkata, semakin besar bajet diberi kepada SPRM, semakin rakyat Malaysia korup.
Kaji selidik TI-M itu turut mendedahkan polis dan parti politik sebagai institusi yang yang paling korup di negara ini. - 10 Julai, 2013. TMI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..
No comments:
Post a Comment