Monday, February 6, 2012

Zaid nafi tarik bubar KITA


Pembubaran tetap diteruskan

KUALA LUMPUR, 5 Feb — Datuk Zaid Ibrahim menafikan laporan bahawa beliau menarik semula keputusan membubarkan Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita).

Zaid, presiden Kita, memberitahu The Malaysian Insider satu mesyuarat luar biasa (EGM) akan tetap diadakan seperti yang dirancang.

“Saya tidak tahu dari mana anda mendapat cerita ini (tarik semula). Seperti yang saya katakan di dalam blog, ia (pembubaran) akan dibentangkan semasa EGM,” katanya ketika dihubungi malam ini.

“Tiada apa yang berubah. Jika ada apa-apa, saya akan beritahu anda. Okay?” tambahnya.


Menurut artikel berbahasa Malaysia itu, Zaid telah memaklumkan perkara itu kepada beberapa pengerusi negeri melalui pegawai kanannya.

“Saya menerima panggilan sekitar jam 8 pagi tadi, pegawai penyelaras parti ada menghubungi saya untuk memaklumkan pendirian terbaru Datuk Zaid iaitu tidak mahu membubarkan parti Kita, EGM tidak akan diadakan,” kata Pengerusi Kita Johor Dr Mohd Zaid Mohd Yusof.

Dr Mohd Zaid menambah jika benar perkembangan tersebut, pihaknya menyambut baik keputusan itu memandangkan memang tiada alasan atau sebab parti itu harus dibubarkan.

Kenyataan Zaid ini menunjukkan laporan Sinar Harian Online tidak tepat.

Dalam satu pengumuman mengejutkan di laman web Kita, Khamis lalu, Zaid (gambar) berkata EGM akan diadakan untuk membubarkan Kita berikutan laporan-laporan ahli-ahli di Kedah dan Pulau Pinang secara terbuka menyerang Pakatan Rakyat, “menunjukkan mereka tidak berminat terhadap isu-isu sebenar dan hanya mahu memalukan kepimpinan pembangkang.”

“Saya sedar menubuhkan Kita adalah satu kesilapan,” kata bekas menteri Umno ini. “Saya berharap dapat membawa idea-idea alternatif dalam politik dan membawa kepelbagaian imej untuk pembangkang.”

Selepas pengumuman itu, beberapa pengerusi Kita negeri secara terbuka menolak pembubaran itu sebaliknya mendesak Zaid meletakkan jawatan.

Zaid, bekas ahli Parlimen Umno menyertai PKR pada Jun 2009. Beliau meninggalkan Umno selepas mempertikaikan penahanan wakil rakyat DAP Teresa Kok, blogger Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2008.

Zaid kemudian bertanding untuk jawatan timbalan presiden PKR menentang Azmin Ali dan Mustapha Kamil Ayub sebelum meninggalkan parti itu tahun lepas. Beliau juga merupakan calon PKR dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor namun tewas kepada P. Kamalanathan dari MIC.

Zaid meninggalkan PKR kerana tidak berpuas hati dengan proses pilihan raya parti itu mkendakwa berlaku penyelewengan sebelum menubuhkan Kita.

Namun parti berusia dua tahun ini berdepan dengan masalah dalaman termasuk penentangan ahli terhadap Zaid.

Selain itu, Zaid juga mengumumkan Kita tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 namun menawarkan sokongan kepada pembangkang.

Cadangan bubar Kita kekal, kata Zaid Ibrahim

5 Februari 2012 SHAH ALAM - Datuk Zaid Ibrahim menegaskan, cadangan beliau mahu membubarkan Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita), yang diterajuinya masih kekal dan usul berkenaan akan dibawa ke mesyuarat majlis eksekutif hujung bulan ini.

Zaid mengumumkan cadangan untuk membubarkan parti berusia setahun itu, Khamis lalu.

"Ia (cadangan untuk membubarkan Kita) kekal. Saya akan membawa usul itu ke mesyuarat majlis eksekutif pada hujung bulan ini," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online lewat malam ini.

Presiden Kita itu menjelaskan, apa yang dilaporkan oleh media awal hari ini "tidak betul."

"Tidak betul," katanya.

Terdahulu Sinar Harian Online membawa laporan bahawa Zaid telah menarik balik keputusan untuk membubarkan Kita, tiga hari selepas beliau mengejutkan banyak pihak termasuk ahli dan pengikutnya akan memanggil satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi tujuan itu.

Sinar Harian Online difahamkan Zaid menerusi pegawai kanannya telah memaklumkan beberapa pengerusi negeri pagi ini.

Pengerusi Kita Johor, Dr Mohd Zaid Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan perkara itu. Malah beliau turut memaklumkan perkara itu kepada pemberita di Batu Pahat lewat petang tadi.

"Saya menerima panggilan sekitar jam 8 pagi tadi, Pegawai Perhubungan Pusat parti Kita, Aziz Kadir ada menghubungi saya untuk memaklumkan pendirian terbaru Datuk Zaid iaitu tidak mahu membubarkan parti Kita, EGM tidak akan diadakan," kata beliau.

Justeru kata Mohd Zaid, jika benar perkembangan tersebut, pihaknya menyambut baik keputusan itu memandangkan memang tiada alasan atau sebab Kita harus dibubarkan.

Kata Mohd Zaid, beliau mengucapkan terima kasih kepada Zaid kerana bersedia untuk mendengar pandangan pengerusi-pengerusi negeri yang merasakan tidak perlu diadakan EGM untuk membubarkan Kita. SH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular