Cabar dedah nama 300 murtad
SHAH ALAM - Pihak yang mendakwa ribuan umat Islam di negara ini murtad dicabar untuk mendedahkan 300 nama serta alamat individu tersebut agar dapat diselamatkan.
SHAH ALAM - Pihak yang mendakwa ribuan umat Islam di negara ini murtad dicabar untuk mendedahkan 300 nama serta alamat individu tersebut agar dapat diselamatkan.
Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, isu murtad yang digembar-gemburkan itu hanya akan mengundang kegelisahan dalam kalangan umat Islam negara ini.
Tegasnya, ia sekaligus mewujudkan suasana tidak tenteram dalam negara.
“Kita tidak nafikan, ada usaha pihak lain untuk berkempen agar umat Islam tertarik dengan agama mereka, namun, tindakan mereka yang mengendalikan isu ini sehingga menyatakan puluhan dan ratusan ribu orang Islam murtad adalah berbahaya.
“Jadi, saya cabar mereka yang melaungkan ratusan ribu umat Islam murtad ini memberikan 300 nama dan alamat (orang murtad) supaya kita boleh cari untuk pastikan ia benar atau sekadar retorik untuk alih perhatian dalam politik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, senarai nama itu boleh diberikan kepada mana-mana pihak berkuasa Islam bagi membentuk satu pasukan untuk mengenal pasti dan menjejaki individu yang didakwa murtad itu.
“Kita mahu dapatkan senarai nama itu. Jika mereka gagal, mereka perlu segera hentikan permainan ini,” tegasnya.
Asri berkata, soal murtad tidak perlu dipolitikkan dan disebarkan dalam perhimpunan yang dihadiri ramai umat Islam kerana hanya akan menimbulkan pergaduhan sesama sendiri.
“Salah sangka akan timbul dalam kalangan masyarakat. Ia juga akan menjatuhkan maruah orang Islam itu sendiri. Perlu ingat bahawa hukum mengadakan cerita murtad ini lebih besar daripada tuduhan zina kerana angkanya dianggarkan secara melulu tanpa bukti kukuh.
“Daripada mereka meneruskan perkara yang akan menimbulkan ketegangan ini, lebih baik mereka keluarkan dahulu 300 nama, kita mahu lihat sama ada benar atau tidak seperti didakwa,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Himpunan Sejuta Umat (Himpun), Mohd Azmi Abd Hamid yang mengganggap cabaran Dr Asri itu ditujukan kepada mereka berkata, pendedahan angka murtad itu dilakukan sebagai isyarat kepada seluruh umat Islam supaya menilai perkara itu dengan serius.
“Statistik murtad memang perlu didedahkan kerana ia menunjukkan tahap serius atau tidak serius gejala ini. Ia juga sebagai isyarat kepada masyarakat supaya isu ini tidak dipandang ringan.
“Kita mendapat maklumat jumlah individu murtad berdasarkan aduan orang ramai serta sumber kerajaan dan jabatan agama Islam yang memiliki statistik permohonan untuk menukar agama,” katanya.
Menyentuh mengenai permintaan supaya mengeluarkan 300 senarai nama individu murtad, Mohd Azmi berkata, beliau kurang bersetuju kerana ia berpotensi mengancam keselamatan individu terbabit.
“Saya tidak setuju kerana keselamatan mereka akan terjejas, biarlah maklumat itu berada dalam simpanan pihak penyiasat,” katanya.
No comments:
Post a Comment