KOTA BHARU, 8 Feb: Seorang peguam terkenal yang juga ahli politik, Datuk Sukri Mohamed memfailkan saman terhadap blogger pro-Umno, Papagomo di Mahkamah Tinggi di sini.
Saman terbabit difail ekoran tulisan dalam blog Papagomo atau nama sebenarnya Wan Mohamad Azri Wan Deris dikatakan memfitnah secara terbuka peguam terbabit.
Sukri diwakili peguam Hisham Fauzi memfailkan saman tersebut baru-baru ini.
Dalam tuntutannya plaintif memohon defendan membuat permohonan maaf secara terbuka dengan menyiarkan permohonan maaf dalam blog defendan di alamat www.papagomo.com.
Defendan juga perlu mengiklankan permohonan maaf tersebut dalam akhbar nasional harian berbahasa Melayu dan bayaran gantirugi sebanyak RM10 juta.
Selain itu memohon gantirugi teladan, gantirugi melampau dan gantirugi punitif.
Plaintif juga merupakan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri dan ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan.
Defendan tinggal di Villa Apartment, Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur dan merupakan pemilik dan penulis ruangan blog; http://www.papagomo.com.
Dalam blog terbabit defendan menyiarkan tulisan bertajuk “ratusan ribu wang rakyat lesap disamun penasihat Sultan Kelantan” pada 4 Mei 2011.
Artikel tersebut disifatkan plaintif secara jelas menyebut berita yang tidak benar dan tidak berasas.
Bagaimanapun mahkamah masih belum menetapkan tarikh bagi sebutan kes berkenaan.
No comments:
Post a Comment