Thursday, February 9, 2012

“Kuasa di tangan Melayu, mengapa kita kata orang Melayu dalam bahaya?”

Seniman muda dilihat lebih terjurus kepada menerbitkan karya mereka sendiri. Bagaimana Pak Samad melihat fenomena ini?


Kelompok muda ini saya fikir, memang ramai berusaha menerbitkan bukunya sendiri, dan kadang-kadang menerbitkan secara agak terdesak oleh kerana tuntutan masa. Ambil misalan antologi Puisi Jadi Senjata (kumpulan puisi dedikasi kepada Bersih 2.0), itu boleh dikatakan secara mendadak tumbuh daripada (Editor Suara Keadilan) Fazallah Pit.

Dia yang mengumpulkan anak-anak menulis puisi dan dia datang kepada saya, dia kata, “Pak, ini sesuai dengan iklim sekarang ini yang sedang berlaku.” Makanya, dia hendak saya tulis prakata, dan saya tulis itu jam juga. Antologi puisi itu memang laku bila ada acara-acara kecil-kecilan di sana sini. Tetapi secara menyeluruh, ia belum lagi diterima. Tetapi permulaan itu sesuatu yang amat bagus.

Dari segi demografi sosio budaya dan sosio politknya dalam dunia demokrasi, tidak dapat dinafikan yang muzik, filem, penulisan sastera, lukisan yang bergerak secara mandiri juga banyak membantu.

Saya fikir, demokrasi mempunyai jalan-jalannya sendiri. Ada jalan besar, ada jalan kecil, ada harus melalui denai, ada melalui sungai. Semua itu, asalkan cita-citanya ialah untuk menunjukkan keadaan sebenar yang berlaku yang tidak diterima lagi oleh orang dahulu dan harus dibantah dan itu saya fikir sebanyak-banyaknya ia harus bagus.

Ia boleh untuk menyeluruh, tidak harus sahaja penulis itu datangnya bila dia berkumpul di Kuala Lumpur. Dia boleh bermula di Johor baru, Perlis, di Pahang, di mana-mana. Semua bibit-bibit itu akan nantinya menunjukkan ke arah yang sama. bahawasanya keadaan sosial sekarang ini dan jentera siasah waktu ini dan cengkaman waktu ini yang tidak adil di waktu ini harus dibantah.

Sudah tentu sahaja bantahan itu secara kecil-kecilan tidak ternampak impaknya, tetapi akan tiba satu waktu di mana mereka ini akan bersatu berkumpul untuk menyatakan bantahan yang lebih berdasar.

Ruang-ruang yang telah dihasilkan oleh perubahan demokrasi. Kalau kita neutral dalam beberapa isu, kita digambar memihak kepada Pakatan Rakyat. Bersih, bukan memihak kepada Pakatan atau Barisan Nasional, tetapi bagaimana nak tonjolkan bahawa Bersih ini gerakan rakyat, bukan parti politik?

Kita tidak dapat menjernihkan pandangan sekelompok yang sudah berkuasa, UMNO, Barisan Nasional contohnya. Tentu sahaja apa yang sedang berlegar mengarah kepada menggigit kuasanya, dia akan memberikan penentangan, dia tidak menerima. Itu sebab kelompok-kelompok dalam dunia penulisan.

Sudah ada, anda tahu baru-baru ini kerajaan memberi RM5 juta kepada PENA (Persatuan Penulis Nasional) misalnya. Itu bererti sudah ada kesedaran bahawasanya persatuan penulis itu boleh menggegarkan. Tetapi oleh kerana kerajaan yang memberi duit kepada PENA, maka tentunya PENA merasakan terhutang budi, dan giginya tidak terjaga. Kadang-kadang sifat kita… Kerana orang memberi, kita menjadi tidak manis untuk menggigit tangan yang memberi.

Adakah ini sememangnya dilema kelompok masyarakat Malaysia?

Memang, ada dah lama. Saya tak runsing soal itu. Kadang-kadang ada seorang dua orang penulis yang berbakat yang bersikap yang berwibawa yang jujur boleh menggegarkan. Kita tidak perlu 500 orang penulis. Seorang pun boleh sebenarnya kalau suaranya itu suara hati nurani, suara yang jujur, suara yang bersih suara yang membina, tentu ada sanggahan tetapi itu tidak menjadi satu soal.

Bagaimana Pak Samad melihat campur tangan kerajaan dalam kes pemberian RM5 juta kepada PENA?

Bergantung kepada kebijaksanaan orang yang menerima wang itu. tentunya, ini andaian saya, kalau ada sesuatu tindakan bahasa, atau gerakan seni dan budaya, orang yang menerima tentunya berfikirlah atau pun dia jujur menyatakan atau dia diam sahaja. Itu bahayanya saya fikir.

Dalam ruang-ruang yang dianggap sebagai kelompok-kelompok yang memperjuangkan suara awam, seniman, karyawan dan sebagainya, perlu bertindak neutral. Tetapi ada masanya kita gigit, ada masa kita tak gigit. Bagaimana nak wujudkan suasana begitu?

Itu terpulang kepada pemimpin-pemimpin itu. Mesti ada sikap, ada pegangannya… Dan kalau pemimpin itu autokratik, memang dia boleh mendiamkan orang-orang yang di bawahnya yang menggunakan kuasa autokratik menyuarakan sikapnya, tapi yang membawa sikap organisasinya juga. Tapi setakat ini saya lihat ada satu dua insiden. Saya tangkap, PENA berhati-hati. Bila kita berhati-hati, bererti sebelah kaki kita sudah tidak sama.

Ini yang sedang dihadapilah. Tetapi akhirnya, bergantung kepada kekuatan individu itu sendiri. Sebuah institusi sebenarnya adalah pancaran individu itu sendiri, tetapi kadang-kadang seorang individu tidak perlu sertai institusi untuk mejadi diri sendiri. dia sendiri tetapi dia juga institusi. Orang seperti itu saya fikir memang sedikitlah, untuk dapat melakukan pengimbangan kuasa, apa lagi kuasa yang terlalu kasar.

***
Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.

Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:

(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

24-25 Jun 2011

***
Mungkin awalnya dengan ucapan terima kasih, tetapi diakhirnya, korup… Bagaimana jika begitu terjadi?
Memang sukar kita mendapat seorang watak luhur. Watak luhur ini kan dibangunkan oleh lingkungannya, oleh keluarganya, interaksinya dengan orang-orang tertentu?

Tampak beberapa contoh di mana orang yang tak tersangka misalannya masuk dalam politik tidak sampai dua tiga bulan dapat upahan yang bagus, terus saja melompat. Seperti yang sedang berlaku kekacauan sekarang antara (Datuk Dr) Hasan Ali (yang dipecat PAS) menubuhkan Jati, Ibrahim Ali dengan dia punya Perkasa.

Di tengah-tengah masyarakat Melayu itu terbelah. Apabila fikiran kita tidak diterima, kita keluar kita tubuhkan parti yang lebih kecil dan menyangka parti kecil itu akan mengatasi parti yang kita tinggalkan. Ini ada beberapa sudut yang boleh dipandang. Berguna kepada orang itu, tetapi tidak berguna atau pun bahaya kepada institusi yang ditinggalkannya.

Yang terbaru, Hasan Ali berkata kalau DAP naik, DAP akan bergabung dengan Singapura lah, nak jadi republiklah. Semua itu mainan agama, mainan kaum. Apabila orang main agama, main kaum, bererti jalan siasah itu memang sudah resah di sana sini.

Kuasa di tangan orang Melayu, mengapa kita perlu katakan orang Melayu itu dalam bahaya? Semua Perdana Menteri Melayu, Raja dan Sultan semua Melayu, Menteri Besar semua Melayu… Mengapa kita nak waraskan yang Melayu dalam bahaya?

Kecuali orang Melayu yang memerintah itu yang bobrok. Memungkinkan sesuatu mulai rosak di bawahnya. Tidak terjaga ekuiti Melayu dengan betul, tidak terjaga bahasa Melayu dengan betul, tidak memantapkan universiti, sekolah Melayu…Tapi lepas itu mereka kata, kita dalam bahaya. Dan tentunya musuh mereka (UMNO-BN) yang utama, DAP lah. Oleh kerana kebetulan sahaja DAP melalui sejarah dari PAP.

Tapi kan sudah 54 tahun (merdeka). Dan contoh baik dari pemimpin-pemimpin Singapura harus kita hormati, boleh dikata sedikit sangat yang rasuah. Itu jenis pemimpin yang kita mahu di sini. Contoh bagaimana sebuah pulau kecil yang tidak punya hasil bumi yang boleh diniagakan, boleh menjadi sebuah negara yang menjalankan perniagaan perkhidmatan yang sangat bagus.

Itu harus ditiru. Kita harus meniru, harus meneladani pemimpin-pemimpin di Singapura, bagaimana mereka menjalankan pemerintahannya, bagaimana mereka memperhimpunkan hartanya, bagaimana memperkembangkan interprenuarnya dan bagaimana suaranya.

Ambil contoh (bekas Perdana Menteri Singapura) Lee Kuan Yew. Beliau cuma bercakap tentang lunas-lunas yang penting sahaja. Tidak seperti (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), semua perkara beliau nak cakap…Masih bergantung dengan Ibrahim Ali dan Perkasa. Malah tidak mustahil suatu hari nanti akan bergantung dengan Jati (NGO yang ditubuhkan oleh Hasan Ali).

Kita harus sebagai pemimpin yang diseganilah. Bukan Najib ada di situ, dia ada di situ, Najib cakap ini, dia pun cakap ini. You ganggu satu kemungkinan. Jadi itu pun dalam susunan hirarki siasah diperhatikan.

Pandangan Pak Samad sebagai pemerhati, penulis, malah mungkin boleh memberi sedikit kritikan mengenai DAP terutamanya Melayu yang menyertai DAP umpama semut hurung gula?

Saya fikir DAP sedang melakukan sesuatu. Itu yang betul, ertinya membuktikan bahawa parti itu bukan parti Cina, tetapi dengan mendapatkan beberapa watak Melayu yang boleh dipercayai, ini yang susah, yang boleh dipercaya untuk turut membantu membangunkan sebuah parti yang kebangsaan.

Ini adalah ujian awal. Dan ujian itu sangat bagus di waktu ini. Waktu inilah yang terbaik bagi DAP untuk menyerlahkan diri sebagai parti yang kebangsaan. DAP ini mempunyai pemimpin-pemimpin yang dipercayai. Pemimpin-pemimpin yang sejauh ini tidak rasuah, ini membangunkan sebuah masyarakat Malaysia.

Jadi harapan kita akan ada, watak-watak Melayu yang boleh berikan sumbangan yang jujur kepada DAP di samping DAP pun harus menilai watak-watak yang diterimanya itu. Sebab kalau tidak nanti, orang sediakan RM2 juta, lompat pula.

Tapi bagus, sudah ada keberanian orang Melayu sertai DAP adalah bagus. Dan dia harus belajarlah menerima hukum hakam dalam DAP itu. Jika tidak macam begitu, itu amat susah.

Kerajaan menyerang DAP, tapi penyerangan itu tidak bererti sebab DAP belum berkuasa. Dan oposisi belum pernah berkuasa, kecuali beberapa negeri yang dikuasai oposisi ekonominya munasabah, hutangnya sudah berkurangan dan pemimpin-pemimpinnya tidak rasuah.

Itu yang nak disuburkan. Malangnya semua media utama di tangan kerajaan, tapi tidak bererti media alternatif tidak ada gigi, biasanya media utama reaksi apa yang berlaku dalam media alternatif. sudah timbul dalam media alternatif, media utama akan balas, jadi memang ertinya media alternatif berkesan.

Terbaru, Pak Samad dilantik sebagai Pengerusi Bersama Bersih. Dan seandainya lapan tuntutan Bersih tidak dilaksanakan selepas PSC tamat bermesyuarat, bagaimana Bersih akan bereaksi?

Demonstrasi. Ya, Kita akan turun ke jalan raya berdemonstrasi. – Roketkini.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular