Wednesday, February 8, 2012

Panas!! : Komplot untuk menjatuhkan Datuk Ahmad Maslan?? Siapakah Blogger Theunspinners ?


Siapa Theunspinners – Blog Pro Atau Anti Kerajaan Barisan Nasional ?


Pendahuluan
Pada masa ini semua orang yang terlibat politik Malaysia secara langsung atau tidak, sedang berdebar-debar menunggu detik pengumuman pilihanraya ke-13.

Masing-masing menanti adakah kerajaan sedia ada akan kekal bertahan atau tumbang dan digantikan dengan pembangkang yang telah pun bermimpi telah berkuasa dan menjadi pemerintah di Putrajaya. Ada membuat ramalan pada 11.11.2011 namun tidak berlaku seperti yang diramal oleh mereka. Ada juga membuat ramalan selepas Tahun Baru Cina, namun tidak ada sebarang pengumuman atau riak yang membenarkan dakwaan tersebut hingga saat ini.

Sekali imbas dilihat peluang BN meraih dua pertiga sangat cerah, dengan prestai yang hebat ditunjukkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Ab Razak melalui program turun ke padang dan juga perancangan rapi Kerajaan menerusi ETP, GTP untuk menjana ekonomi selain program untuk rakyat seperti BR1M, KR1M dan sebagainya. Beberapa negeri yang berada di dalam genggaman Pakatan Rakyat juga dilihat tidak stabil dan boleh jatuh bila-bila masa jika kena gaya dan strategi Barisan Nasional.

Perbalahan Blogger Pro Kerajaan

Dalam pada itu, timbul beberapa hari yang lalu kisah perbalahan antara blogger di mana blogger Umno-Reform yang dikendali oleh Anuar Mohd Nor telah diserang oleh blog Theunspinners. Diikuti blog Papagomo dan Parpukari. Blog lain yang kurang dikenali,juga turut menyokong fitnah tersebut dan penulis fikir tidak perlulah untuk disebut di sini. Paling penting, serangan blogger pro kerajaan terhadap blogger Umno-Reform bekas aktivis PKR telah bermula dan telah mencetuskan perbalahan antara blogger Unit Media Baru dengan kumpulan yang melemparkan tuduhan tersebut.

Seterusnya hasil dari kejadian di atas, sedikit kajian telah dibuat untuk melihat apakah sebenar yang berlaku. Kerana agak ganjil sebuah blog pro Kerajaan seperti Theunspinners boleh mendedahkan maklumat taklimat tertutup anjuran UMNO di PWTC sedangkan menurut info penulis terima, ia tidak dibenar sama sekali disiarkan dalam media baru. Ia diakui oleh seorang blogger bernama PenaKsj yang menyiarkan tulisan menolak fitnah tersebut di SINI

Apakah Tujuan Blogger Theunspinners ?

Adakah serangan ini bertujuan untuk membersihkan Umno dari pengkhianat (jika benarlah tuduhan Theunspinners di blog) atau ia untuk menyerang Unit Media Baru (UMB) Pemuda UMNO dengan mengaitkan Anuar Mohd Nor sebagai pengkhianat Barisan Nasional? Atau ia untuk menjatuhkan Datuk Ahmad Maslan sekaligus menjadikan UMNO makin lemah dengan krisis ini dan membuatkan YAB Perdana Menteri makin resah dan gelisah ?

Dalam tulisan yang sudah pun dibuang oleh Theunspinners selepas diserang oleh blogger UMB termasuk Panglima Perang Cyber dan Sinis Malaysia, beliau menuduh Umno-Reform telah mengkhianat Umno dengan menyalurkan info kepada pembangkang. Blog Sinis Malaysia ( SINI ) 

Dakwaan tersebut diteruskan oleh Papagomo yang menuduh Anuar Mohd Nor juga diragui keimanan politik beliau kepada UMNO/BN apabila tidak menghentam Anwar Ibrahim. Yang jelas tuduhan tersebut telah menyebabkan Anuar Mohd Nor (AMN) menulis kembali jawapan panjang lebar kepada pertuduhan yang diutarakan. Jelas kepada kita banyak tulisan AMN mengkritik Anwar Ibrahim termasuk Azmin Ali dan yang lain. Tulisan beliau anda boleh ikuti di ( SINI ) 


Untuk makluman UMB sering menjemput AMN sebagai penceramah kepada mahasiswa universiti untuk berkongsi pengalaman semasa menjadi admin laman Mahafiraun dan Mahazalim semasa era reformasi selepas pemecatan Anwar Ibrahim pada 1997 yang lalu. Sehingga kini menurut info penulis terima – tiada sebarang bantahan dari mana-mana pihak atas penglibatan beliau di dalam membantu UMB.

Link artikel Papagomo yang menyerang Anuar atau blogger Umno-Reform ada di ( SINI )

Dalam tulisannya Papagomo menulis :
Gomo masih ada video Chegubard dan Anuar Reform dan tidak perlu lah Gomo menyatakan apa kandungan video tersebut sebaliknya tanyalah pada Anuar Reform apa mengapa Chegubard Maki Anwar Ibrahim dan mengapa beliau Anuar Reform pertahankan Anwar Ibrahim sewaktu menonton Video Seks tahun lalu dihadapan Dato Eskay.


Namun selepas dicabar didedahkan video tersebut blogger Papagomo masih lagi gagal mengeluarkannya meskipun mendakwa memiliki rakaman video tersebut hingga ke saat ini. Selain itu beliau juga gagal melakukan mubahalah seperti yang diminta.


Apa hujah Theunspinners tuduh Umno-Reform ?
Meskipun dua posting sudah dibuang oleh Theunspinners namun di bawah ini diturunkan kembali tulisannya yang masih ada di blog Bujang Senang di sini untuk anda yang terlepas episod sebelumnya. ( SINI )


Antara lain ditulis :
Bagaimanapun, kebodohan budak-budak hingusan, rupa-rupanya menjadi ikutan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Ahmad Maslan. Seperti yang dirungutkan oleh kebanyakan bahagian, Ahmad Maslan sebenarnya terlebih perasan sebagai artis berbanding ingin menunaikan tanggungjawabnya selaku Ketua Penerangan. Sepanjang Ahmad Maslan menjadi Ketua Penerangan UMNO Malaysia, apa yang telah dilakukannya selain daripada cubaan menonjolkan diri dengan pelbagai cara.


Kebanyakan kerja yang diberikan kepadanya tidak dilaksanakan. Perhatikan sahaja dalam kes APCO, NFC, Rosmah-Mansor, kapal selam Scorpene dan sebagainya, Ahmad Maslan tidak ubah seperti penyangak yang ada jawatan.Setiap sesuatu yang bersifat rahsia, kalau ditangani oleh Ahmad Maslan, pastinya tidak sampai beberapa minit kemudian, sudah ada di tangan pihak Pakatan Rakyat.


Bukan tidak ada suara yang menggandingkan Ahmad Maslan dan Anuar Reform. Ramai yang melihat Anuar Reform sebenarnya telah dibawa masuk oleh Ahmad Maslan yang beranggapan bahawa penyokong tegar Anwar Ibrahim itu sebagai tersangat bijak dan terlalu hebat perancangannya.


Anda dapat lihat dalam artikel di atas bagaimana seorang Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Ahmad Maslan juga telah dituduh sebagai pengkhianat. 


Sebelum ini Setiausaha Politik Perdana Menteri juga dituduh dengan tuduhan yang sama. Memandangkan hubungan beliau iaitu Dato’ Shahlan Ismail sebagai abang kepada Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution. Blogger Medan Info Kita (MIK) (bekas ahli PKR) yang dilihat rapat dengan Theunspinners telah menulis isu tersebut di ( SINI )


Kenapa disiar kembali posting Theunspinners ?
Ini kerana fitnah memburukkan Unit Media Baru Pemuda Umno telah tersebar. Maka tulisan ini yang ingin mengkaji blog tersebut terpaksa menyalin kembali dakwaan yang ditulis oleh blog misteri tersebut.


Agenda mereka sangat jelas di mana sesiapa sahaja akan difitnah demi memusnahkan UMNO dari dalam. Dalam hal ini AMN yang diserang dengan kejam juga dengan maksud yang sama dan beliau telah cuba dimatikan dengan serangan tersebut. Fokus utama serangan ini jelas kepada Unit Baru Pemuda Umno di bawah Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin. Plot serangan mereka dengan menampal fitnah agen Trojan Horse kepada AMN dan menyalahkan UMB kerana menggunakan beliau untuk menjayakan kursus UMB di UITM dan KPT.


Teori Sebalik Serangan Theunspinners
Beberapa teori dihasilkan dari serangan Theunspinners : -
- serangan ini untuk memburukkan nama UMB yang semakin meningkat dan mendapat perhatian banyak pihak. Dalam ranking Alexa ramai blogger UMB semakin meningkat seperti Pengerusi UMB sendiri iaitu Tun Faisal Ismail dan juga beberapa blogger di bawah beliau seperti Yuseri Yusoff dan 1peluru


- ia juga mungkin untuk membolehkan AMN tidak lagi dipanggil untuk membantu UMNO lebih-lebih lagi UMB kerana sudah tentu pencapaian UMB pada hari ini dibantu oleh AMN yang berpengalaman luas. Pihak yang ingin menguasai alam siber tentu melihat perkembangan ini dan merasa tidak wajar dibiarkan AMN terus mencurah ilmu kepada blogger dan peserta kursus media baru UMB.


- info penulis juga memberitahu AMN pernah berada di dalam kumpulan bernama Blogger United yang turut disertai oleh Rocky Bru, Outsyedthebox, Anotherbrick dan Kickdefella termasuk Jeff Oi yang kini menjadi wakil rakyat Pakatan. Mereka inilah kumpulan yang menyerang Pak Lah sehingga beliau telah jatuh kerana penangan kumpulan tersebut selain pertelingkahan terbuka Pak Lah dengan mantan Perdana Menteri iaitu Tun Mahathir. Keengganan beliau menyertai blog kuasa siber tersebut – menurut sumber – telah menyebabkan hukuman diserang telah diputuskan. Adakah kumpulan ini juga akan menyerang sesiapa sahaja termasuk Perdana Menteri kita jika tidak menurut kehendak mereka demi wang dan kuasa ?


- Ia juga boleh jadi untuk melemahkan BN yang sedang menyediakan pasukan yang kuat melalui UMB. Adakah jaringan penulis musang berbulu ayam ini turut dianggotai Papagomo, Theflyingkick, Medan-Info selain Parpukari ? Selepas PRK Merlimau, antara yang memulakan serangan kepada UMB sehingga menimbulkan perbalahan hangat antara blogger pro kerajaan dengan UMB ialah Theflyingkick. Sebelum diteruskan oleh Papagomo dan Parpukari.


Pihak yang mahu melihat UMB jatuh ada dua iaitu pasukan cybertrooper pro UMNO/BN yang mahu menguasai alam siber atau pihak pembangkang yang sudah melihat bagaimana bahaya jika UMB terus kuat dengan menggunakan trojan horse mereka yang berada di kalangan blogger kerajaan. Theflyingkick pernah ditulis adalah ahli PAS seumur hidup dan disahkan oleh maklumat dalaman yang diperolehi penulis.


Semua faktor di atas boleh jadi punca kenapa AMN diserang.


Siapakah Blogger Theunspinners ?
Penulis ingin menggamit perhatian pembaca sekelian tentang Theunspinners dan kaitannya dengan beberapa blog yang lain. Blog yang mencetuskan serangan terhadap Datuk Ahmad Maslan dan Anuar Mohd Nor ini perlu diperincikan latar belakang mereka.


Meskipun dilihat cuba menyamarkan jejak mereka namun beberapa info telah diperolehi dan mengesahkan ia milik blogger tertentu. Seperti tulisan blog SinisMalaysia yang menyiarkan nama Hj Salahuddin Hishim yang juga didakwa penulis Blog Anotherbrick sebagai penulis blog tersebut.
Link ada di ( SINI ) 


Adakah Theunspinners dan Paneh Miang Orang Yang Sama ?


Pertama : dalam isu serangan terhadap Dato Ahmad Maslan oleh Theunspinners , blog Paneh Miang telah menyalin semula tulisan tersebut. Meskipun keduanya tersebut telah membuang artikel yang dimaksudkan namun beberapa artikel yang lain membuktikan blog Theunspinners dan Paneh Miang tersebut ada hubungan antara satu sama lain.


Contoh ada di ( SINI ) 


Selepas disiasat rupanya banyak persamaan antara mereka berdua.


Kedua : Ia juga dapat dilihat pada isu Biro Tatanegara yang didakwa sudah diresapi golongan Anwarinas. Ia disentuh oleh Paneh Miang dan disalin semula blog Theunspinners. Lihat hubungan akrab kedua blog ini dan tidak mustahil ia ada hubungan yang sangat rapat antara mereka. Ataupun boleh jadi orang yang sama.


Ketiga : Artikel Paneh Miang bertajuk Najib& Ahmad Maslan sila pantau KP BTN pada 28 Disember 2011 telah merosakkan nama BTN sehingga menghasilkan 212 komen (pada jam 11 pm 6 Feb 2012) yang sudah tentu datang dari kakitangan dan pegawai BTN sendiri. Ia seperti mencurah minyak ke dalam api untuk melemahkan agensi penting Malaysia ini. Perkara yang sama dibuat Theunspinners untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap kepimpinan Malaysia. Seperti di ( SINI ) 


Di saat Perdana Menteri sedang menyatukan rakyat melalui konsep 1Malaysia, blog ini nampaknya cuba menjadi ‘batu api’ menyalakan permusuhan sesama kakitangan BTN demi mencapai maksud jahat mereka untuk memusnahkan secara halus agensi penting negara tersebut. Berbagai fitnah telah dilemparkan dan sudah pasti ia akan merosakkan hubungan antara kakitangan BTN samada peringkat pengurusan tertinggi atau sokongan. Menurut sumber penulis, Ketua Pengarah BTN telah mendiamkan diri dari menjawab isu tersebut kerana tidak mahu ia diperbesarkan sehingga menyusahkan YAB Perdana Menteri.


Keempat : Jika benar Anwarista menguasai Ketua Pengarah BTN adakah SB dan MIO yang bertugas membuat risikan tidak berjaya mendapat info yang diperlukan ? Adalah dipercayai bekas Ketua Pengarah dahulu tidak terlibat dalam hal ini tetapi mungkin dilakukan pihak lain yang tidak puas hati dengan situasi dalaman BTN yang telah mengalami transformasi dengan pendekatan baru telah diperkenalkan demi mencapai hasrat Perdana Menteri.


Menurut sumber banyak perkara tidak benar ditulis dalam ruangan komen tersebut termasuk kesilapan biodata Ketua Pengarah BTN Datuk Raja Arif Raja Ali yang ditulis berasal dari Kelantan walhal sebenarnya dari Terengganu.


Artikel Paneh Miang boleh dibaca di ( SINI ) 

Kelima : Seperkara lagi ialah corak pemikiran pengendali blog Theunspinners dan Paneh Miang agak sama, di mana mereka menampilkan empat orang sebagai penulis blog tersebut. Seperti blog Paneh Miang yang turut menampilkan beberapa orang sebagai penulis blog. Adakah ini tidak cukup lagi sebagai bukti ada kaitan antara mereka berdua ?


Keenam : dalam serangan blog-blog ini mereka menumpukan kepada Ketua Penerangan UMNO iaitu Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga BTN, FELDA dan APMM.


Adakah ini serangan blogger pro kerajaan atau lebih tepat digelar blogger pro Pakatan ? Anda tentu tahu jawapannya.


Link yang dimaksudkan : ( SINI ) dan ( SINI )


Misteri Sebalik Blog Theunspinners
Setakat ini tidak ada sesiapa mengaku bahawa mereka blogger Theunspinners. Sepanjang pemerhatian penulis di pertemuan blogger pro kerajaan, tidak ada blogger yang memperkenalkan diri sebagai penulis blog tersebut. Walaupun ada beberapa blog dan porta menyiarkan nama Hj Salahuddin yang menjadi penulisnya bersama beberapa kawan yang lain. Perkara ini tidak disedari sehinggalah penulis membuat sedikit kajian terhadap blog tersebut.


Sekali tengok blog Theunspinners adalah pro kerajaan. Minat mereka memang sangat tinggi terhadap isu Anwar Ibrahim. Penulisan mereka juga agak baik serta persis tulisan blogger pembangkang yang penuh fakta. Namun selepas diteliti ada artikel mereka yang lain telah menimbulkan persepsi yang salah terhadap Biro Tatanegara yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri yang diketahui agensi psy-war Kerajaan di dalam menerangkan dasar kerajaan untuk menjamin kemenangan Barisan Nasional dalam PRU sejak ditubuhkan sejak 1987. Agensi inilah yang sangat penting di dalam membetulkan pemikiran rakyat terhadap negara sehingga pelajar yang ingin belajar di luar negara perlu mengikuti kursus BTN sebelum diberikan biasiswa.


Namun apabila blog ini menulis tohmahan bahawa BTN telah diserap agen Anwarista, adakah ia perkara yang menguntungkan Kerajaan atau ia untuk melemahkannya ? Lihat artikel yang dimaksudkan di link ini ( SINI )


Sebelum meneruskan cerita tentang blog Theunspinners dan kaitan dengan BloghouseMalaysia, blog yang turut menyiarkan berita atau artikel yang menyerang agensi kerajaan Biro Tatanegara adalah Rafi Awang Kecik. Atau nama penanya Sanggah Tok Janggut. Blog beliau ada membuat satu artikel bertajuk : Btn- jangan akhirnya jadi Biro Tutuh Negara! Blog beliau klik link ( SINI )


Untuk menilai adakah Salahuddin itu blogger Theunspinners sila tengok paparan struktur Bloghouse Malaysia di bawah ini :
BHM EXECUTIVE COMITTEE 2011-2013
President - Syed Akbar Ali
Deputy President - Akhramsyah Muammar
Secretary - Tony Yew
Deputy Secretary - Firdaus Abdullah
Treasurer - Zakhir Mohamad
Committee Members -
- Shamsul Akmar
- Endie Shazaly Akbar
- Eric Woon
- Datuk Nuraina Samad
- Salahuddin Hisham
Advisor - Datuk Rocky Bru
Blog -http://www.bloghousemalaysia.com/


Salahuddin Hisham juga dipercayai pemilik blog Anotherbrick yang turut menimbulkan persoalan kesetiaan orang bekas penyokong Anwar seperti Datuk Ahmad Maslan seperti di artikel ( SINI )


Dalam hal ini, kita dapat melihat serangan kepada agensi tulang belakang Kerajaan Barisan Nasional ini adalah percubaan untuk melemahkan Kerajaan bukan menguatkannya.


Kesimpulannya :
blogger dilihat pro kerajaan perlu diawasi. Tindak tanduk mereka melemahkan kerajaan BN secara tidak langsung, harus dipantau dengan teliti agar tidak akan terjadi sabotaj dalaman terhadap parti dan kerajaan. Jelas Theunspinners dan blog sealiran dengannya seperti disebut di atas, bukan orang yang boleh dipercayai.


Tulisan ini diharapkan dapat membantu semua pihak memahami kemelut yang melanda bloggers pro kerajaan dan Umno selain untuk membantu mana-mana pihak mengkaji lebih teliti di sebalik tragedi pembunuhan sesama sendiri oleh blogger alam maya hari ini.


Agensi Kerajaan juga diminta menilai kembali bantuan kepada orang yang menguasai media maya seperti ini agar tidak tersalah memberi senjata kepada orang yang akan membunuh kita pada akhirnya di kemudian hari.


Sebelum itu Blog Theunspinners ada menulis tentang cerita bahawa ada usaha pakatan untuk melemahkan cybertrooper Barisan Nasional dengan menyaman blogger. Ia juga disebut, akan dilakukan oleh orang dalam BN sendiri. Kenyataan ini dipetik dari artikel Theunspinners di ( SINI )


Ternyata kini anda sudah tahu siapa sebenarnya yang merosakkan BN dari dalam berdasarkan huraian penulis nyatakan panjang lebar di atas.


Merekalah yang cuba menulis seolah-olah seperti pendita suci yang ternyata sebenarnya satu entiti yang mempunyai agenda tersendiri melemahkan parti dan pertiwi.


Penulis mohon ribuan kemaafan jika ada sebarang kesilapan tulisan di atas. Semoga ia berguna untuk agama, bangsa dan negara tercinta.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular