Monday, June 27, 2011

Bahana rumah urut:: Dari mana nak ke mana?


Sebelum ini bekas Menteri Besar Selangor Dato Seri Dr Khir Toyo pernah mendakwa bahawa terdapat lebih 7,000 lesen Pusat Kesihatan khasnya rumah-rumah urut yang diluluskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor. Bilangan yang didakwa oleh Dr Khir itu terlalu “luar biasa” jumlahnya dan sudah pastilah tidak berasas namun demikian hakikatnya rumah urut sukar dipisahkan dari dikaitkan dengan unsur maksiat khasnya pelacuran dan yang berkaitan.

Rumah-rumah urut ini dikategorikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah istilah Pusat Kesihatan iaitu pusat-pusat yang memberikan khidmat yang berkaitan dengan kesihatan. Lazimnya terapi urut badan samada refleksologi mahupun urutan tradisional ditawarkan di pusat-pusat ini. Ianya menawarkan khidmat menyegarkan tubuh badan yang lenguh-lenguh, memulihkan tubuh yang terseliuh dan seumpamanya.

Memang terdapat pusat-pusat yang benar-benar menepati syarat yang dilesenkan, menawarkan khidmat oleh pekerja-pekerja yang terlatih, bersijil dan professional.

Yang menjadi masalah adalah amalan yang dipraktikkan dalam Negara ini mungkin kerana meniru amalan di Negara-negera Timur lain. Urutan yang ditawarkan oleh pusat-pusat ini diberikan oleh pekerja-pekerja wanita, dalam kes-kes tertentu wanita asing warga China, Thai dan Filipina diambil untuk menjalankan kerja-kerja urutan.

Apabila pelanggan lelaki di “urut” oleh para pekerja wanita ini, tambah pula dalam bilik atau tirai yang bertutup maka kecenderungan untuk berlaku aktiviti yang tidak bermoral begitu tinggi apalagi sekiranya terdapat pengusaha yang memang mahu meraih keuntungan dari kerja-kerja pelacuran yang berselindung di bawah nama pusat-pusat urut ini.

Sesungguhnya menurut garispanduan pusat-pusat kesihatan yang ada pada PBT-PBT khasnya di Negeri Selangor aktiviti tidak bermoral apalagi pelacuran memang ditegah dan dilarang kerana sebarang aktiviti seumpama ini sudah pasti jatuh di bawah kategori jenayah dan boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa selain PBT khasnya pihak polis. Oleh itu benarkah maksiat berleluasa di negeri Selangor dengan kelulusan lesen rumah-rumah urut ini?

Ketua Jabatan Aduan Awam MCA Datuk Michael Chong baru-baru ini mendedahkan menerima begitu banyak aduan dari suri-suri rumah dan anak-anak di Selangor yang mengadu suami-suami dan bapa-bapa mereka menghabiskan wang dan masa di pusat-pusat ini untuk mendapat khidmat seks dari wanita asing. Chong mendesak agar pihak berkuasa menutup pusat-pusat seumpama ini dan kesal kerana kerajaan negeri telah meluluskan begitu banyak lesen.

Hakikatnya berdasarkan garis panduan yang ada yang diamalkan bukan hanya di Selangor malah negeri-negeri lain termasuklah Wilayah Persekutuan, pusat-pusat kesihatan ini memang dibenarkan untuk dilesenkan. Tiada elemen maksiat ataupun jenayah sepatutnya diamal atau dilakukan di pusat-pusat yang dilesenkan. Masalahnya adalah penyalahgunaan lesen sebagaimana dadah yang disalahgunakan. Dan penyalahgunaan ini bukan hanya berlaku di ketika kerjaaan Pakatan rakyat memerintah tetapi memang menjadi masalah sejak sekian lama.

Di sinilah bangkit keperluan untuk mengkaji dan melihat semula relevan dan kesesuaian pusat-pusat seumpama ini. Kerajaan-kerajaan negeri dan PBT-PBT perlu meneliti dengan serius perkara ini dan memastikan jika pusat-pusat ini terus relevan dan sesuai maka peraturan yang lebih kuat dan penguatkuasaan yang lebih keras perlu diambil demi mengelakkan dari penyalahgunaan lesen. Ini bukan masalah fahaman dan sokongan politik tetapi ini masalah sosial yang perlu ditangani semua pihak.

Semua pihak akui bahawa amalan maksiat dan tidak bermoral di pusat-pusat ini perlu dihentikan. Kerana itu sebarang ruang dan kemungkinan bagi pusat-pusat seumpama ini dari jatuh menjadi pusat maksiat perlulah ditutupdan ditangani. Pengusaha-pengusaha perlu dikenakan syarat yang ketat dan pemantauan serta penguatkuasaan mestilah dipertingkatkan dengan tindakan yang paling keras diambil apabila sahaja berlaku penyalahgunaan lesen.

Kesesuaian memebenarkan pelanggan lelaki diurut oleh pekerja wanita juga perlu dikaji semula kerana ternyata inilah bermula punca maksiat dan aktiviti tidak bermoral ini. Malah di Kuala Lumpur kini urutan seks antara lelaki dan lelaki juga sudah hangat diperkata dan dibahaskan.

Bagi orang-orang Islam jelas aktiviti urutan oleh pekerja wanita terhadap lelaki haram hukumnya dan pihak berkuasa agama memang berkuasa mengambil tindakan apalagi sekiranya mukadimah zina ini berlaku dalam tempat tertutup dan bertirai.

Oleh itu kiranya diakui aktiviti ini adalah serius dan mendatangkan kesan yang negative kepada masyarakat maka semua pihak perlu menggembeling tenaga dan fikiran bagi menangani dan membenterasnya. Pihak polis, imigresen, PBT dan kerajaan negeri mestilah mengenepikan segala perbezaan dan duduk mengkaji masalah sosial ini secara serius. Jika rumah urut sudah bertukar menjadi pusat pelacuran dan maksiat maka ia tidak ada tempat dalam masyarakat kita.

Dalam pada itu tindakan terhadap pusat-pusat ini yang tidak berlesen termasuklah yang melanggar syarat lesen wajib diambil tindakan secara bersepadu oleh pihak PBT dan polis. Penangkapan dan pendakwaan di mahklamah perlu dilakukan bagi membuktikan kesungguhan semua pihak.

Rakyat yang semakin maju dan mahukan kehidupan yang lebih sejahtera dan selamat tidak memerlukan pusat-pusat yang cuma menyumbang kepada aktiviti maksiat dan tidak bermoral. Bukan hanya orang Melayu dan Islam malah semua bangsa dan penganut agama tidak mahukan aktiviti yang meruntuhkan institusi keluarga ini. Semoga dengan keprihatinan dan kesungguhan semua pihak kita akan hanya melihat pusat-pusat kesihatan yang benar-benar menawarkan urutan dan terapi secara professional, yang diberikan oleh pekerja-pekerja yang terlatih dan sopan, tiada lagi maksiat dan pelacuran. -  Roslan SMS Corner

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular