Monday, August 15, 2016

Rezeki saya lebih baik pada zaman Dr M, kata Raja Nong Chik

Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Raja Nong Chik Zainal Abidin hari ini berkata beliau memperoleh lebih banyak "perniagaan" pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi memilih untuk tetap setia kepada kepimpinan semasa.

Bercakap pada mesyuarat bahagian Lembah Pantai di Kuala Lumpur, bekas menteri Wilayah Persekutuan itu menegaskan mengenai kepentingan Umno bergerak ke hadapan, selepas beberapa pemimpin tertinggi meninggalkan parti itu kerana mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya terus terang pada YB Datuk Seri Zahid. Rezeki saya lebih baik semasa Tun M. Saya dapat lebih banyak perniagaan semasa zaman Tun M. Sekarang susah nak dapat business," kata Raja Nong Chik pada mesyuarat yang dirasmikan oleh timbalan presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Tetapi demi disiplin parti, Umno bahagian, menang ke tak, tetap bersama kepimpinan Datuk Seri Najib dan timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya fikir kita telah membazirkan masa yang cukup. Kita dah tinggal hanya setahun setengah (untuk pilihan raya). Saya rasa kita hanya perlu menumpukan perhatian kepada Pilihan Raya Umum ke-14. Kita lupakanlah kawan-kawan lama kita walaupun saya cakap rezeki saya lebih baik masa (zaman) Tun Mahathir," katanya.

Umno bulan lalu memecat timbalan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, manakala naib presiden Datuk Seri Shafie Apdal keluar parti selepas digantung keahliannya.

Mahathir juga mengumumkan keluar parti dan menubuhkan sebuah parti baru sebagai pengerusi, manakala Muhyiddin selaku presiden sementara dan Mukhriz dilantik sebagai bendahari.

Parti itu disebut-sebut mahu menarik sokongan daripada ahli-ahli Umno yang tidak berpuas hati.

Persempadanan semula Lembah Pantai

Dalam ucapannya, Raja Nong Chik turut menyentuh mengenai keperluan menjalankan persempadanan semula Lembah Pantai yang dimenangi anggota parlimen PKR Nurul Izzah Anwar pada pilihan raya umum lalu.

Ketika ditemui selepas itu, Raja Nong Chik bagaimanapun berkata persempadanan semula itu bukan untuk memastikan kemenangan BN.

"Sempadan di KL telah berubah ... Tiada Bangsar South 15 tahun yang lalu. Proses persempadanan semula yang terakhir dijalankan pada tahun 2004. Banyak perkara yang telah berubah sejak itu," katanya.

Kenyataan tersebut muncul selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah tiga kerusi baru di negeri itu untuk membantu BN dalam pilihan raya.

Mengulas perkara ini, Raja Nong Chik berkata beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Idris.

Idris mencadangkan penambahan tiga kerusi dewan undangan negeri, satu di kerusi parlimen BN Tangga Batu, dan dua lagi di kawasan parlimen Bukit Katil yang dimenangi PKR.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular