Monday, August 15, 2016

Pulok Doh : DAP sedia kerjasama dengan parti baru Mahathir

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: DAP sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perjuangan melawan rasuah, menegakkan keadilan serta membina kerajaan yang cekap dan telus, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata DAP selama ini bersama rakan-rakan yang lain telah bekerja keras untuk membongkarkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) agar rakyat semakin celik dengan penyelewengan dilakukan UMNO-Barisan Nasional.

“Itulah sebabnya Datuk Seri Najib dan penyokong-penyokong beliau terus menyerang DAP sebagai parti anti-Melayu,” ujar beliau, menempelak tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa DAP kononnya anti-Melayu dan anti-Islam.

“Mereka mahu terus memperbodohkan rakyat, mempertahankan jawatan mereka, terus menikmati rezeki haram serta mengelak sebarang tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mempersoalkan bagaimana Parti Bersatu yang ditubuhkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu bekerjasama dengan DAP yang dituduhnya sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Menepis tohmahan tersebut, Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP menjelaskan, pengkhianat Melayu yang terbesar sebenarnya ialah UMNO sendiri yang telah mengkhianati amanah yang diberi oleh rakyat, terutama orang Melayu.

Kata beliau, Najib dan UMNO terpaksa menggunakan tuduhan-tuduhan liar berbaur perkauman bagi mengkaburkan krisis utama yang melanda negara hari ini, iaitu skandal 1MDB.

“Sehingga ke hari ini, Najib tidak mampu memberi sebarang bukti bahawa DAP telah menentang hak dan kepentingan orang Melayu.

“Malah, di Pulau Pinang, kami telah membuktikan semua rakyat tanpa mengira bangsa dilayan secara adil dan saksama. Kerajaan Pakatan di sana telah meningkatkan peruntukan tahunan untuk hal ehwal Islam daripada hanya RM13 juta di bawah BN kepada lebih RM50 juta hari ini,” tegasnya.

“UMNO hari ini merupakan contoh peribahasa ‘harapkan pegar, pegar makan padi’. Kerajaan BN yang diketuai oleh UMNO dan Najib telah menyalahgunakan kuasa mereka untuk memperkayakan saudara-mara, kroni-kroni dan diri mereka sendiri,” ujarnya. – Roketkini.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular