Sunday, August 14, 2016

Prof tapi 'Jahil'

Prof Abdullahi: Tidak berdosa tolak hudud

Professor Undang-undang Universiti Emory, AS Prof Abdullahi A An Na’im berkata, tidak berdosa untuk seseorang menolak hukum hudud memandangkan ia tidak terkandung dalam al-Quran.

Katanya, hudud itu sendiri kini sedang dipolitikkan oleh pihak tertentu bagi kepentingan diri atau kelompok tertentu.

“Siapa kata menolak hudud adalah satu dosa? Apabila ada orang berkata begitu, minta mereka nyatakan sumbernya datang dari mana.

“Kamu akan dapati bahawa ia adalah spekulasi peribadi. Jika hudud ada dinyatakan dalam teks al-Quran, berikan saya (petikan) teks itu,” katanya dalam wawancara di Hotel Concord Kuala Lumpur sebentar tadi.

Abdullahi membuat wawancara itu bersama kumpulan G25.

Minggu lalu kerajaan mengusulkan supaya rang undang-undang persendirian untuk meminda akta mahkamah syariah, yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, dipercepatkan.

Bagaimanapun Abdul Hadi meminta perbahasan usul berkenaan ditangguhkan ke sidang akan datang atas alasan kesuntukan masa untuk perbahasan.

Ia kemudian mendapat bantahan daripada parti komponen BN termasuk MCA, MIC dan Gerakan.

Jenayah, dosa berbeza

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula menafikan usul berkenaanakan membawa kepada pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Abdullahi berkata kerajaan seharusnya melaksanakan undang-undang sekular yang bersifat sama rata kepada semua rakyat di negara ini.

“Sifat negara ini adalah, kita hidup dalam sebuah negara bangsa, dengan semua rakyat adalah sama. Kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang tunggal untuk semua rakyat secara sama rata.

“Undang-undang itu hendaklah dibawa oleh Parlimen, melalui proses demokrasi, dalam sebuah negara sekular.

“Apabila ia begitu, kamu boleh mengubahnya jika ia tidak sesuai. Jenayah dan dosa adalah perkara yang berbeza. 

"Sesuatu jenayah tidak sepatutnya dijadikan jenayah kerana perbuatan itu dianggap dosa oleh kepercayaan sesetengah orang," katanya.

Sementara itu, Abdullahi berkata sekiranya PAS ingin melaksanakan hudud di Kelantan, negeri-negeri lain berkemungkinan akan mengikut mengikuti langkah berkenaan.

Justeru katanya sebelum bagi melaksanakan sesuatu perkara kerajaan seharusnya benar-benar faham apa yang mereka ingin lakukan.

"Ya, melaksanakan hudud di Kelantan akan membuat negeri lain ikuti (langkah berkenaan). Apabila kamu buat (hudud), ia tidak dapat menghalang negeri-negeri lain untuk menggubal undang-undang dan hukum dengan apa jua cara sekalipun.

"Sistem politik Malaysia memungkinkan mereka (wakil rakyat) ingin melakukan apa saja yang mereka mahu kerana sudah dipilih (oleh rakyat), tapi mereka perlu jelas dengan apa yang akan dilakukan,” katanya. Mk

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular