Monday, August 15, 2016

Bagaimana PAS memahami keadilan

Menentang kezaliman adalah seruan utama semua parti politik pembangkang. Parti pemerintah pula akan menggunakan kata 'menegakkan keadilan' sebagai seruan mereka. Dengan erti, kedua-dua seruan tersebut adalah modal utama dunia politik untuk menarik undi rakyat.

Hidup ini adalah campur baur di antara betul dan salah, benar dan bohong serta adil dan zalim. Tiada manusia yang suka mereka hidup dibohongi dan dizalimi. Orang jahat pun akan marah apabila mereka dizalimi dan dikhianati.

Timbangan atau neraca kehidupan yang sejahtera adalah apabila kebenaran dan keadilan berjaya ditegakkan. Walaupun manusia cintakan keadilan, tetapi mereka sukar melaksanakannya kerana kecenderungan melampau untuk memihak kepada diri sendiri atau kumpulannya. Manusia sukar mengekang kehendak nafsu dirinya yang begitu mementingkan keseronokan diri tanpa menghiraukan hak orang lain.

Penjarahan terhadap hak akan semakin besar akibatnya apabila ianya melibatkan kelompok yang besar. Masyarakat akan menanggung kehidupan yang malang dan teruk apabila keadilan diketepikan, manakala kezaliman berleluasa tanpa sekatan.

Kezaliman awal yang tidak disekat akan mempercepatkan kezaliman seterusnya dan akhirnya mencetuskan musibah dan malapetaka yang buruk. Kehidupan menjadi satu azab yang tidak pernah diimpikan oleh manusia.

Justeru menegakkan keadilan adalah isi besar perjuangan untuk membina kehidupan yang sejahtera dan bahagia. Mereka yang memilih untuk tidak berbicara mengenai keadilan sejagat sebenarnya adalah penyumbang kepada berleluasanya kezaliman. Nafsu manusia tidak akan berhenti membuas selagi mana tiada sekatan ke atasnya.

Kerana itulah Allah mengingatkan manusia bahawa sebaik-baik bekalan hidup adalah taqwa kepadaNya. Taqwa tugasnya adalah menyekat hawa nafsu daripada berkuasa ke atas diri. Nafsu yang terkawal akan memudahkan iman menggerakkan tubuh manusia untuk melakukan kebaikan dan keadilan.

Islam mempertegaskan perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Di dalam al Quran, Allah menegaskan betapa penciptaan langit dan bumi, kesejahteraannya yang disaksikan hari ini adalah kerana wujudnya neraca yang menentukan keseimbangan aktiviti alam raya ini.

Oleh kerana manusia diberi tugasan memakmurkan muka bumi, maka Allah menyeru manusia supaya memperkasakan neraca keadilan di dalam kehidupan dan jangan sesekali melampaui batas.

"Dan langit itu Dia angkatnya tinggi lalu Dia letakkan al mizan (neraca) agar kamu tidak melampau di dalam menimbang(menegak keadilan)." (Surah al-Rahman: 7-8)

Walau bagaimanapun manusia sendiri sukar untuk melihat keadilan secara menyeluruh dan membina satu sistem yang sempurna yang dengannya mereka mampu melaksanakan tugas menegakkan keadilan ke atas semua manusia tanpa kecuali.

Kita boleh melihat tunggang langgang dunia hari ini di dalam melaksanakan keadilan yang dilaungkan mereka. Masing-masing mendakwa merekalah wira dan jaguh keadilan. Tetapi apabila diperhatikan, mereka jugalah yang menjadi punca ketidakstabilan dalam kehidupan.

Amerika dan dunia barat berusaha mempromosi gaya hidup mereka yang melihat kebebasan individu sebagai asas keadilan dan kesejahteraan. Tetapi hakikatnya dunia barat semakin parah dengan masalah sosial, ekonomi dan kekeluargaan yang parah. Semakin ditiru gaya hidup mereka, semakin penyakit merebak di dalam masyarakat yang meniru mereka termasuk di negara kita ini.

Justeru Islam mengajak manusia supaya kembali kepada pengenalan maksud dan inti keadilan yang telah dinyatakan oleh Allah di dalam al Quran. Ternyata Allah maha tahu bahawa bukan daya dan upaya manusia untuk menjiwai dan memahami keadilan sejagat dengan hanya mengerahkan akal dan kebijaksanaan mereka sendiri. Manusia memerlukan bantuan daripada sang pencipta yang maha mengetahui segala sesuatu dan maha adil di dalam hukumanNya.

Secara ringkasnya, Islam mempertegaskan bahawa keadilan bermula daripada binaan hidup yang benar dan hakiki. Sebagaimana seorang individu yang berjaya dan menyumbang kepada kemajuan negara bermula daripada hubungannya yang benar bersama ibu bapa dan ahli keluarganya, begitulah keadilan hidup ini mesti dibina di atas hubungan yang benar di antara makhluk dan penciptanya.

Kezaliman bermula apabila manusia menolak kehadiran tuhan penciptanya di dalam hidupnya. Menjayakan kehidupan dengan menolak Allah adalah kezaliman yang paling besar.

Di dalam al Quran, Allah menyatakan bahwa kezaliman yang paling besar adalah syirik kepada Allah.Ia kebenaran yang nyata bahawa seseorang yang menderhaka kepada kedua ibu bapanya adalah individu yang tidak layak digelar wira dan orang mulia. Begitulah hamba yang menderhakai Allah.

Apabila anda memahami asas ini, maka ketika anda melihat kemelut dunia politik yang bersimpang siur seruan dan jalan politiknya daripada parti-parti politik yang saling bertentangan, anda sayugia segera memahami dengan mudah kenapa PAS berbeza daripada yang lain di dalam menilai maksud keadilan di dalam perjuangannya.

Ketika parti-parti lain melihat dan memperjuangkan keadilan di dalam negara dengan pelbagai teori dan cara, PAS kekal dan terus menekankan aspek keadilan terhadap hak Allah dan ugamanya. Maksudnya, bicara keadilan sesama manusia adalah gagal selama mana manusia melihat kehadiran Allah sebagai campur tangan yang merosakkan usaha mereka menegakkan keadilan.

PAS menyeru agar umat Islam kembali kepada al Quran. Di situlah petunjuk yang akan memandu mereka melihat keadilan secara menyeluruh dan lebih saksama. Dengan kekuatan al Quran sebagai sumber pemikiran dan tenaga, keadilan bukan sahaja ditemui, malah mampu ditegakkan oleh penguasa yang telah mengikat dirinya yang bertaqwa kepada Allah. Dia tidak lagi tersadung oleh ketakutan, kasihan belas, pilih kasih dan kecenderungan nafsunya yang akan memesongkannya daripada menegakkan keadilan.

Hukum syariah yang termaktub di dalam al Quran dan hadis adalah neraca dan contoh daripada Allah agar manusia berpandu kepadanya. Semakin manusia melaksanakan yang nyata di dalam al Quran, semakinlah manusia disuluh oleh Allah dengan suluhanNya untuk melihat keadilan yang tidak dinyatakan secara nyata di dalam al Quran, malah Allah hanya menyuruh manusia mengerah akal fikirnya untuk mencari dan menegakkannya.

Inilah perbezaan nyata perjuangan parti PAS daripada yang lain. Selebihnya adalah titik-titik persamaan yang akan mendorong kepada kerjasama dan muafakat yang lebih dekat sesama parti-parti politik demi menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. 

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ 
- HARAKAHDAILY 14/8/2016

Artikel adalah untuk kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular