Wednesday, August 17, 2016

Beruangpun Dapat RM2.3 Juta….Peneroka Felda Dapat Apa?

Simpati saya kepada seorang askar yang membuat satu laporan polis bagi meluahkan perasaan tidak puashati beliau berkenaan dengan atlit olimpik Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang mendapat ganjaran pencen sebanyak RM3000 seorang bagi pingat perak yang dimenangi mereka dalam acara terjun berpasangan beberapa hari lalu selain daripada wang sebanyak RM600 ribu berdasarkan insentif yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi pemenang pingat di Olimpik Rio.

Luahan beliau yang mengatakan bahawa terjunan mereka tidaklah sehebat terjunan para perajurit yang menggadaikan nyawa demi negara ini, ada benarnya. Tetapi jika dilihat pengorbanan kepada negara, tidak terhad kepada satu atau dua cara sahaja. Banyak cara lain yang boleh kita mengiktirafkan ianya sebagai pengorbanan kepada negara, tanpa kita merendah-rendahkan kesungguhan dan kerja keras mereka di dalam bidang mereka. Saya lihat di sini, ianya boleh diselesaikan dengan baik.

Tetapi saya suka mengajak semua askar, mahupun sesiapapun sahaja yang pernah berkorban kepada negara, untuk melihat satu perkara yang sewajarnya kita lihat sebagai satu tindakan yang tidak sesuai terutamanya dilakukan oleh sebuah syarikat yang sedang mengalami kejatuhan saham yang teruk, tetapi masih menyalurkan wang kepada perkara lain yang bukan keutamaan mereka.

Felda Global Ventures (FGV) baru-baru ini telah mengumumkan akan menyalurkan sebanyak RM460 ribu setahun selama lima tahun iaitu jumlah keseluruhannya ialah RM2.3 juta bagi projek menyelamatkan beruang matahari kembali ke habitat asal bersama perhilitan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bukan isu sikap kemanusiaan terhadap alam dan juga makhluk lain yang kita bincangkan di sini. Tetapi isu kemanusiaan dan juga tanggungjawab yang utama yang mesti FGV selesaikan dahulu. Isu seperti kejatuhan teruk saham FGV, yang dahulunya diwar-warkan sebagai satu syarikat yang bakal mengubah nasib peneroka. Peneroka saban kali di hidangkan dengan cerita-cerita kekayaan, tetapi mereka tetap seperti dahulu, tidak seperti yang diimpikan mereka.

Bagaimana pula dengan isu rumah bagi generasi kedua peneroka Felda? Berapa banyak rumah yang tidak berjaya dibuat, berapa banyak yang tidak berjaya disiapkan? Sedangkan Felda adalah simpanan tetap Umno pada setiap kali PRU.

Benar juga dakwaan sesetengah pihak, beruang di hutan disusukan, peneroka di tanah rancangan, bagaimana nasib mereka….sedih.

Kita bersetuju jika sekiranya mahu menyelamatkan beruang-beruang itu, tetapi biarlah syarikat yang lain yang melakukannya. Bukan FGV yang sudah banyak masalah itu dan ini. Simpati saya kepada bekas askar tadi tidaklah lebih simpati saya kepada peneroka-peneroka Felda ini. Kerana bekas askar itu terasa terkilan kerana atlit olimpik mendapat pencen.

Maksudnya bekas askar manusia, atlit olimpik juga manusia. Tetapi peneroka Felda, mereka terpaksa bersaing dengan beruang matahari. Setakat ini, saya tak pasti, adakah peneroka yang menang, atau beruang.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
12 Zulqaedah 1437 bersamaan 15 Ogos 2016

Felda Global Ventures – Siaran Akhbar: FGV Bantu Proses Pelepasan Beruang Matahari Ke Habitat Asal
http://www.feldaglobal.com/siaran-akhbar-fgv-bantu-proses-pelepasan-beruang-matahari-ke-habitat-asal/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular