Tuesday, January 17, 2012

Kuasa mansuh tol di tangan kerajaan pusat BN, mengapa salahkan Pakatan?

GEORGE TOWN, 17 JAN: Gerakan hanya memahami politik mengemis kerana sudah biasa berada di bawah telunjuk UMNO dalam Barisan Nasional.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong berkata, tidak mengejutkan apabila Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan membidas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dikatakan tidak mengikut saluran yang sah untuk meminta projek daripada kerajaan pusat.

Katanya, Dr Teng, sebagaimana yang dilaporkan oleh agensi berita kawalan BN Bernama semalam, mahu Guan Eng “mengemis” daripada kerajaan pusat untuk membangunkan negeri.

Menurutnya, mungkin Dr Teng dan Gerakan sudah lupa bahawa tumbangnya mereka di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum 2008 adalah kerana rakyat di negeri itu marah dengan sikap mengemis dan takut kepada kerajaan pusat.

“Sepatutnya Dr Teng tidak lupa bahawa yang mengutip cukai adalah kerajaan pusat. Dan menjadi tanggungjawab pusat untuk membangunkan semua negeri.

“Lim Guan Eng berjuang demi negeri yang dipimpinnya. Beliau tidak perlu meminta sedekah. Adalah menjadi tugas kerajaan pusat untuk menunaikan tanggungjawabnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Liew yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang juga berdepan dengan fitnah kononnya ia akan menghapuskan kutipan tol di Sungai Nyior, Seberang Prai.

Beliau mengakui DAP dan Pakatan memang mahu menghapuskan atau sekurang-kurangnya mengurangkan kadar tol tetapi kuasa untuk melaksanakannya terletak di tangan kerajaan pusat.

Menurutnya, DAP sebelum PRU 2008 telah mendesak kerajaan untuk menghapuskan tol tetapi sehingga hari ini kerajaan pusat BN enggan berbuat apa-apa untuk meringankan beban ekonomi rakyat.

“Kutipan tol di Sungai Nyior dikuasai kerajaan pusat. Untuk meringankan beban rakyat, kerajaan negeri telah membina satu jalan alternatif,” tambah beliau.

Liew turut menyokong cabaran Guan Eng terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk berdebat tentang kesan tol terhadap kehidupan rakyat.

Katanya, kerajaan pusat perlu memahami bahawa dalam keadaan ekonomi dunia dan tempatan yang semakin menekan, permintaan tempatan adalah penting untuk survival ekonomi negara.

“Cara terbaik untuk mencetuskan permintaan ini adalah dengan meningkatkan pendapatan boleh belanja kepada semua rakyat.

“Sebaliknya, kerajaan BN membenarkan syarikat-syarikat besar terus menghisap darah takyat melalui kutipan tol dan lain-lain ‘cukai’ yang semakin membebankan ekonomi keluarga,” katanya.

Beliau menambah, jika kerajaan pusat enggan memenuhi keperluan rakyat serta mematuhi Perlembagaan Persekutuan, rakyat perlu mengubah kerajaan pusat yang mampu menunaikan tuntutan mereka. – Roketkini.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular