Sunday, February 19, 2012

Jaga perasaan, Palestine Bumi Kiblat Pertama Islam

18 February 2012 Isu yang menyentuh kenyataan Datuk Seri Anwar mengenai keselamatan Israel yang dikatakan menyentuh perasaan Palestine masih hangat dibincang. Saya dan PAS juga turut diasak menyatakan pendirian mengenainya. Meskipun pada awalnya saya anggap ia adalah hal peribadi Datuk Seri Anwar. Sehingga ada seorang timbalan menteri mengesyorkan agar saya ‘ditarbiah semula’. Lalu saya bersuara pada 16 Rabi’ulawal (9 Februari) lalu atas pandangan serong timbalan menteri itu.

Kemudian pihak Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi pun (17 Rabi’ulawal) menyatakan secara jelas sikap dan pendirian atas isu Palestine. Maka PAS tetap berpendirian kena jaga perasaan umat Islam. Tambahan pula, sekian lama umat Palestine dizalimi regim Yahudi-Israel.

Apa pun atas kenyataan Datuk Seri Anwar (seperti disiar oleh Wall Street Journal) perlulah tampil menjelaskan pendirian agar ia tidak terus diputar oleh pihak tertentu. Ia penting sebagai asas untuk dilihat ‘berpihak’ kepada umat Palestine dan tidak ‘menyokong’ Israel.

Justeru, saya selaku Al-Mursyidul Am bersama Majlis Syura Ulama’ PAS telah mengeluarkan suatu kenyataan yang mengharapkan Datuk Seri Anwar tampil menyatakan pendirian ‘sebenar’ antara mohon maaf atau menyaman Wall Street Journal.

Kandungan kenyataan itu adalah sebagaimana berikut:

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa, serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.

Negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua peradaban manusia. Wajib ke atas umat Islam bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya. Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka PAS menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.

Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam, kerana ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman ini.

Saya, selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS, menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal. Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama’ menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau.

Secara tegas, jiwa dan perasaan umat Islam perlu dijaga. Lebih utama lagi menyokong perjuangan Palestine kerana bumi Palestine adalah bumi mulia. Di situ letaknya Masjid Baitulmuqaddis. Ia kiblat pertama umat Islam dan paksi penting sejarah kenabian. Lebih-lebih lagi di sisi Nabi Muhammad SAW, ia menyentuh mukjizat Israk dan Mikraj. Ia peristiwa yang mengangungkan Allah SWT.

Semoga Allah mengurniakan kebaikan dan ketenangan untuk semua umat Islam bila keamanan berlaku di bumi Palestine.

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/02/jaga-perasaan-palestine-bumi-kiblat.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular