Sunday, February 19, 2012

1Care: Persaraan lumayan untuk kuncu Najib dan Hisham

1Care: Persaraan lumayan untuk kongcu Najib dan Hisham
1Care sama seperti produk-produk lain yang membawa tag ‘1’ semestinya akan menjadi kontroversi. Bukanlah kontroversi yang berinovasi tetapi kontroversi kerana penipuan dan samar-samar. Ia sesuatu yang Perdana Menteri Najib Razak harus berhenti sejenak dan berfikir daripada terus membiarkan penasihat beliau memujuk untuk ia dilaksanakan.

1Care bukan setakat spekulasi 10% potongan cukai yang akan dimasukkan dalam dana kesihatan kebangsaan itu. Masalah dengan 1Care adalah lebih mendalam dan merunsingkan daripada membayar wang kepada perkhidmatan dan rawatan kesihatan yang tidak menyeluruh.

Tawaran lumayan untuk kerajaan, bukan rakyat

Objektif sebenar 1Care adalah untuk menjana situasi ‘berbaloi untuk wang dibelanjakan’ bagi pihak kerajaan bukan untuk rakyat.

1Care telah dengan efektifnya membenarkan kerajaan mengawal bujet yang disalurkan kepada Kementerian Kesihatan bagi tujuan penjagaan kesihatan. Mereka tidak mahu membebankan dana mereka jadi pentadbiran Najib telah membuat keputusan untuk membalingkan kosnya kepada rakyat, dengan tambahan bahawa mereka boleh mengawal dan membuat keputusan untuk kita, tentang siapa dan bila kita boleh mendapatkan rawatan kesihatan.

Timbalan Pengarah Kementerian Kesihatan untuk Pembiayaan Kesihatan Kebangsaan, Dr Rozita Halina berkata bahawa 1Care akan diwajibkan. Terus terang dikatakan, 1Care hanya akan dapat dilaksanakan jika ia adalah wajib. Jika tidak, tiada yang akan memilihnya. Memandangkan 1Care mahukan rakyat untuk menggunakan apa yang dimahukan oleh kerajaan, dan memandangkan kerajaan mengawal sepenuhnya, pasti ramai yang percaya Umno –BN akan mengaut keuntungan daripada skim ini.

Nepotisme dan pakej keluarga

Secara kebetulan, Dr Rozita Halina Hussein merupakan adik kepada Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein Onn dan sepupu Perdana Menteri Najib Razak. Wah, nampaknya pakej famili! Jadi 1Care sudah pasti akan diimplimenkan. Walau apa jua kosnya.

Pengkritik daripada kedua-dua belah parti politik mengatakan bahawa bukan sahaja faedah yang dikaut melalui tawaran ini akan sangat luas dan tidak terkira besarnya, 1Care sebenarnya akan menyediakan kongcu Najib dan Hisham dengan pelan persaraan yang lumayan sekiranya mereka kehilangan kuasa selepas PRU 13 nanti ataupun semasa pemilihan Umno.

1Care dikatakan dimodelkan daripada National Health Service (NHS) iaitu perkhidmatan kesihatan kebangsaan UK yang telah dilaksanakan sejak tahun 1946 dan dikawal oleh kementerian kesihatan. NHS merupakan perkhidmatan percuma kepada semua penduduk UK, termasuk tentera yang berada di luar negara. Warganegara UK yang menetap diluar negara terpaksa membayar untuk perkhidmatan kesihatan tidak kiralah sekiranya mereka telah menyumbang kepada insurans kesihatan itu. Perkhidmatan itu dibiayai daripada pencukaian Insurans kebangsaan yang dibayar oleh pekerja daripada gaji mereka dan dibantu oleh caruman wajib majikan. Mereka yang bekerja sendiri haruslah membuat caruman sendiri. Menjadi tanggungjawab majikan untuk memotongnya daripada gaji pekerja. Tanggungan pekerja dan mereka yang tidak bekerja dikecualikan daripada mencarum.

Hospital swasta di UK dimiliki oleh syarikat persendiran. Terdapat banyak kes di mana pesakit persendirian ini dirawat di hospital NHS kerana hospital swasta kekurangan dari segi peralatan dan kepakaran. Dalam kes sebegini, pesakit persendirian ini akan diberi bilik sendiri dan dirawat terlebi dahulu daripada pesakit NHS. Akan tetapi, pesakit yang dikategorikan mengalamai kecemasan akan dirawat terlebih dahulu berbanding pesakit persendirian atau NHS.

Perbezaan besar antara 1Care dan sistem yang digunapakai di UK

Terdapat perbezaan yang besar antara 1Care dengan NHS UK. Melalui 1Care, anda dihantar kepada doktor yang anda tidak boleh pilih manakala dibawah NHS, pesakit boleh memilih untuk mendaftar dengan mana-mana doktor yang mereka mahu. Jika anda perlu berjumpa doktor, anda harus membuat temujanji atau sekiranya dalam keadaan kecemasan, anda boleh memanggilnya datang ke rumah, pembedahan boleh dibuat atas syor doktor atau anda boleh pergi menerima rawatan kecemasan di hospital terdekat.

Memandangkan NHS telah diimplimen sejak 1946, sistem itu telah matang dan doktor agak professional dalam melaksanakan tugas dan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik. Untuk 1Care pula, ia adalah cerita yang berbeza. Tidak dapat dipastikan perkhidmatan yang bagaimana akan ditawarkan oleh doktor. Kementerian Kesihatan masih perlu membentangkan satu garis panduan yang komprehensif dan jelas mengenai apa jenis penyakit yang dibiayai 1Care.

Peluang untuk pesakit menerima rawatan terbaik untuk masalah kesihatan mereka bergantung kepada nasib. Sekiranya anda dapat doktor yang berpengalaman dan dilatih dengan baik, anda mungkin akan sihat selepas itu. Sekiranya anda dapat doktor yang tidak begitu bagus, anda mungkin akan menderita. Lihat gaya Malaysia sekarang, senario politik dan minat ahli politik serta syarikat-syarikat tertentu akan menentukan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

Siapa yang akan menyelamatkan rakyat daripada doktor?

1Care juga bermaksud penjimatan kos, ini bermakna rakyat dijangka mendapat rawatan yang paling murah daripada caruman mereka. Ini mungkin bermaksud kualiti paling rendah, jauh lebih rendah daripada apa yang mereka boleh dapatkan dari pasaran. Memandangkan rakyat tidak boleh memilih dibawah skim 1Care, mereka semestinya akan mendapat perkhidmatan paling murah dan segalanya adalah atas nama menjimatkan kos.

Dan memandangkan juga kementerian Kesihatan Malaysia yang menentukan perkhidmatan dan doktor yang akan merawat pesakit, bolehkah ia bebas elemen perkauman dan agama apabila seseorang doktor itu mendapat pesakit yang ditugaskan untuknya?

Ini juga melangkaui isu kos untuk ubat-ubatan tetapi terus kepada peranan doktor untuk memastikan pesakit mendapat rawatan yang terbaik. Dengan doktor dibarisan pertama, terdapat kemungkinan keputusan tidak rasional dibuat. Di bawah 1Care, doktor akan menentukan jika anda perlukan rawatan lanjut. Siapa yang akan melindungi pesakit daripada doktor yang tidak cekap, lalai atan tidak mencapai standad sepatutnya apabila mereka ditugaskan oleh kerajaan untuk merawat?

Rawatan kesihatan adalah hak rakyat

Pentadbiran Najib harus ingat bahwa perkhidmatan kesihatan adalah sesuatu yang wajib untuk setiap warganegara. Ia bukan keistimewaan. Ia tidak harus ditentukan menurut iklim ekonomi pada waktu tertentu. Atau menjana keuntungan untuk pihak-pihak tertentu. Ia tidak harus dilihat sebagai produk yang mempunyai jenama. Yang sedihnya, inilah apa yang kita dapat lihat di Malaysia sekarang.

Apa masalahnya dengan sistem sedia ada yang telah digunapakai selama 50 tahun? Bukankah lebih baik untuk menghalusi apa yang sedia ada? Jadikan ia lebih effisyen dan mesra pengguna daripada ia dirombak dan diganti dengan yang baru.

Pengenalan 1Care menunjukkan bahawa terdapat masalah serius dalam bagaimana Malaysia menguruskan wang dan kepentingannya. 1Care tidak perlu sekiranya bujet yang disalurkan kepada perkhidmatan kesihatan diurus dengan baik.


Perbelanjaan dalam rawatan kesihatan akan meningkat apabila populasi semakin membesar dan matang. Ini adalah sesuatu yang normal. Berbeza di Malaysia, terdapat kekurangan dalam perbelanjaan dalam bidang ini di mana kini rakyat harus berbelanja terlebih dahulu untuk perkhidmatan yang bakal merugikan mereka. Tidak hairanlah Menteri Kesihatan, Liow Tiong Lai yang berbohong mengenai pihak polis menggunakan gas pemedih mata di kawasan Hospital Tung Shin telah memilih untuk menyokong skim ini.

1Care tidak baik untuk Malaysia dan sekiranya kerajaan mendengar keluhan rakyat, rancangan ini haruslah dihapuskan atau berdepanlah dengan penolakkan daripada rakyat. -Malaysia Chronicle

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/02/1care-persaraan-lumayan-untuk-kuncu.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular