Wednesday, February 1, 2012

Isu KUIN : Siapa yang betul, saya atau depa (mereka)??

‘Sokongan semakin kuat’ALOR SETAR – Walaupun terdapat tekanan daripada sekutu Pas iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP berhubung kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak, namun ia tidak menggugat kedudukan Menteri Besar Kedah itu.

Sebaliknya, Azizan yang kini berhadapan dengan isu penggantungan pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) menegaskan, kedudukan beliau semakin kukuh dengan sokongan daripada ahli-ahli Pas di peringkat pusat dan negeri.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kedah tersebut yang baru-baru ini menjalani rawatan kerana masalah jantung berkata, isu berkenaan tidak akan menggugat kepimpinan beliau.

‘‘Saya bersedia memberi penjelasan terperinci mengenai isu itu pada mesyuarat politik bulanan Pas jika diminta berbuat demikian.

“Siapa yang betul, saya atau depa (mereka), sekarang depa merasa malu sebab dah tersilap,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu semalam bahawa Pas Pusat akan memanggil Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah untuk memberi penjelasan berhubung tindakan KUIN menggantung lima pelajarnya mengikut AUKU 1971, April lalu.

Mohamad Sabu atau Mat Sabu berkata, Pas Pusat perlu mendengar penjelasan tersebut sebelum mengambil sebarang keputusan kerana apa yang dilaporkan oleh media berbeza dengan apa yang berlaku.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Abdul Aziz Bari meminta supaya pakatan pembangkang mengambil tindakan terhadap Azizan kerana tindakan terhadap pelajar itu bercanggah dengan kandungan Buku Jingga.

Isu KUIN dikatakan menjadi ‘senjata baru’ kepada kelompok tertentu yang cuba menjatuhkan Azizan daripada kerusi Menteri Besar Kedah.

Sebelum ini, Azizan juga dikatakan tidak disenangi oleh PKR dan DAP kerana dilihat melakukan beberapa tindakan yang dianggap akan merugikan pakatan pembangkang.

Sebelum ini, ketika mengulas isu penggantungan mahasiswa berkenaan, Azizan menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pemimpin pakatan pembangkang apabila menyatakan Buku Jingga yang mengandungi manifesto pakatan tersebut bukanlah al-Quran yang perlu dipatuhi sepanjang masa.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, beliau tidak ada masalah untuk memberi penjelasan kepada kepimpinan parti berhubung isu KUIN itu.

Beliau menjelaskan, tindakan tatatertib terhadap pelajar KUIN itu tidak diambil mengikut AUKU 1971 tetapi berdasarkan Akta Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) 1996.

Menurut Azizan, apa yang dinyatakan oleh Buku Jingga berhubung AUKU ialah memberi kebebasan kepada pelajar untuk berpolitik dan berpersatuan tetapi pelajar berkenaan digantung pengajian kerana mengganggu pentadbiran KUIN dan menjejaskan imej pusat pengajian itu.

Oleh itu, beliau meminta pihak luar yang tidak memahami isu sebenar tidak mencampuri isu dalaman KUIN bagi mengelakkan kekeliruan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Kedah, Ahmad Yahya berkata, reputasi Azizan tidak terjejas walaupun terdapat usaha dari dalam atau luar Pas yang cuba menjadikan isu KUIN itu untuk melemahkan kewibawaan menteri besar itu.

“Sokongan terhadap Datuk Seri Azizan dari hari ke hari bertambah kuat kerana kejayaan beliau dari pelbagai sudut termasuk pembangunan KUIN sendiri menyebabkan ada pihak yang cemburu, tetapi ini perkara biasa dalam politik,” katanya.

Sebagai contoh, jelasnya, isu hiburan di bulan Ramadan baru-baru ini juga berjaya ditangani selepas Azizan memberi penjelasan walaupun sebelum itu ada pihak tertentu cuba mencari kelemahan beliau.- malaysia chronicle

AZIZAN MESTI DIPECAT, BIJAKKAH TINDAKAN ITU?

Ada pihak melemparkan gesaan supaya Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak dipecat kerana tindakannya menyokong hukuman gantung pengajian pelajar-pelajar KUIN. Tetapi gesaan itu disifatkan melampau kerana 'kesalahan' Azizan sangat kecil berbanding kesalahan merompak harta rakyat, rasuah, penyalahgunaan kuasam boros dan sebagainya.

Malah 'kesalahan' Azizan bukanlah kesalahan mutlak dan tidak boleh dimaafkan. Ianya hanya salah faham dan salah tanggapan terhadap sesuatu isu.

Selepas itu pihak musuh menangguk di air keruh menghangatkan lagi suasana demi kepentingan politik mereka. Pelbagai tohmahan dan tuduhan dilemparkan kepada khususnya Menteri Besar Kedah ini. - Mutaligat

PAS bukan parti pecat orang

KUALA LUMPUR, 31 Jan - PAS menolak tanggapan dan spekulasi tentang kemungkinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan turut dipecat, sebagaimana nasib Hasan Ali, berikutan keengganan beliau campur tangan dalam isu penggantungan lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dibawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menegaskan PAS bukanlah satu parti yang akan memecat ahli sewenang-wenangnya, lagipun isu melibatkan Azizan dan Hasan jauh berbeza.

"PAS bukan satu parti yang mengamalkan budaya suka memecat ahli dan pemimpinnya. Itu mainan politik media arus perdana kerajaan, yang hanya melihat siri pemecatan dari PAS. Jadi, tidak mengamalkan budaya pecat orang, bukan menjadi amalan dan budaya suka pecat orang atau mengambil tindakan disiplin ke atas seseorang.

"Ia hanya dibuat pada waktu-waktu dan ketika yang cukup kritikal. Jadi saya rasa ini hanya mainan media untuk menggambarkan perkara-perkara negatif mengenai PAS," katanya dipetik Sinar Online.

Tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian ini lagi, isu Azizan hanyalah menyentuh berkenaan teknikal, berkenaan pelaksanaan AUKU di KUIN, manakala Hasan Ali melibatkan penentangan dasar parti secara terbuka.

"Isu Hasan Ali melibatkan penentangan beliau terhadap parti dan dasar parti, dan menggunakan media musuh untuk menyerang parti. Jadi, saya rasa ia harus dibezakan.

"Datuk Azizan isu teknikal sahaja. Kita harus melihat dari perspektif yang berbeza daripada isu Datuk Hasan Ali," katanya lagi.

Laporan The Malaysian Insider semalam menyebut, Umno Kedah mempertahankan tindakan Azizan yang enggan tunduk terhadap desakan PR yang mendesak supaya Menteri Besar itu campur tangan dalam isu "KUIN lima."

Tegas Pengerusi Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, tindakan Azizan enggan campur tangan dalam urusan pentadbiran KUIN adalah tepat sambil menambah AUKU masih lagi releven digunakan walaupun Pakatan Rakyat dan kumpulan mahasiswa mahu ia dimansuhkan.

Beliau menambah, Azizan mempunyai kuasa untuk melaksanakan AUKU di Kedah dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan pemimpin pembangkang.

Pada Mei lalu, lima mahasiswa kolej universiti berkenaan dibicarakan dan digantung pengajian kerana didapati bersalah terlibat dalam demonstrasi bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari yang dibuat di kediaman Ar-Razi, KUIN.

Mereka membantah pembinaan tersebut kerana dilihat tidak strategik dan akan mengganggu proses pengajian dan pembelajaran mahasiswa tahfiz.

Pelajar-pelajar yang dikenakan tindakan gantung pengajian ialah Mohd Faiz Mohd Arshad, Mohd Azlan Mat Zain, Ahmad Remi Mohd Arof, Zukhilatif Marzuki dan Muhamad Aiman Che Abd Razak.

Ekoran penggantungan itu, kelima-lima mahasiswa itu mengambil tindakan perundangan mencabar keputusan KUIN itu. Kes itu akan disebut pada 12 Mac depan.

Selain mendapat kecaman dari kumpulan mahasiswa, Azizan turut dikritik pemimpin Pakatan Rakyat kerana masih melaksanakan AUKU walaupun pembangkang mahu memansuhkannya seperti yang terdapat dalam Buku Jingga.

Pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari pula mencadangkan agar Pakatan Rakyat mengambil tindakan ke atas Azizan.

Tambah Ahmad Bashah, percanggahan pendapat dalam isu AUKU itu membuktikan Pakatan Rakyat tidak sepakat seperti yang dinyatakan.

Ahmad Bashah juga tidak menolak kemungkinan Azizan bakal mengikuti jejak bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali yang dipecat keanggotaan awal bulan ini kerana bertentangan dengan dasar parti.

Bagaimanapun, Azizan semalam berkata, lima pelajar KUIN yang dikenakan tindakan tata tertib termasuk digantung pengajian adalah berdasarkan peruntukan Akta IPTS 1996, bukannya AUKU, seperti yang didakwa kebanyakan pihak.

Sehubungan itu, pengerusi KUIN ini menasihatkan pihak luar supaya tidak mencampuri isu dalaman kolej universiti tersebut kerana tidak mahu ianya menimbulkan kekeliruan. MI

Media hari ini melaporkan bahawa lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dikenakan tindakan tata tertib termasuk digantung pengajian mengikut peruntukan Akta IPTS 1996, bukannya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) seperti yang diuar-uarkan pihak luar.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, oleh itu beliau menasihatkan pihak luar supaya tidak mencampuri isu dalaman kolej universiti itu kerana tidak mahu menimbulkan kekeliruan.

"Kedua-duanya berbeza, walaupun hampir sama. Saya harap selepas ini jangan lagi ada pihak yang pertikai keputusan yang dibuat,” kata beliau yang juga Pengerusi Kuin kepada Sinar Harian.

Kenyataan Azizan ini sekali gus menyangkal dakwaan banyak pihak yang menuduhnya tidak sefahaman dengan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang berikrar akan menghapuskan Auku jika dapat menawan Putrajaya.

Azizan berkata, apa yang diperjuangkan oleh pemimpin PR dalam Buku Jingga merangkumi dua perkara dalam Auku iaitu hak untuk berpolitik dan hak untuk berpersatuan.

“Itu yang kita perjuangkan dalam Buku Jingga, namun jika ada pelajar membuat kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam, kita perlu halang. Tindakan seperti itu termasuk demonstrasi tiada dalam perjuangan PR, hanya dua perkara kita perjuangkan,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang melahirkan kebimbangan terhadap reputasi Azizan berhubung isu Kuin seolah-olah serangan yang dilemparkan mahu menjatuhkan karier Menteri Besar Kedah itu, Azizan menyifatkannya sebagai perkara biasa dalam politik.

“Biasalah… dalam politik ada musuh ada kawan. Pasti ada cubaan untuk jatuhkan mana-mana pemimpin. Saya tidak kisah berdepan dengan situasi seperti itu,” katanya.  Sinar Harian

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular