4 FEB — Muncul lagi kes-kes “kepala babi” dicampakkan ke masjid. Mula-mula berlaku di Masjid Nurul Iman yang terletak di Rawang, Selangor. Kemudian Masjid Al-Hidayah di Sentul, Kuala Lumpur.
Meletakkan kepala babi di dalam masjid, rumah ibadah orang Islam — turut dianggap sebagai rumah Allah — adalah satu tindakan yang harus dikutuk oleh semua rakyat Malaysia tidak kira apa agama dan bangsa.
Tindakan ini bertujuan untuk menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu-Islam.
Niatnya adalah apabila kejadian seumpama ini berlaku, orang-orang Melayu akan menuduh masyarakat Cina yang melakukannya. Ini adalah kerana babi seringkali dikaitkan dengan masyarakat Cina.
Yang menjadi persoalan adalah, apa objektifnya?
Mahu menimbulkan huru-hara? Mahu menggugat keharmonian kaum? Mahu tragedi berdarah 13 Mei 1969 berulang kembali?
Kejadian ini adalah satu provokasi politik yang merbahaya. Pelakunya adalah golongan yang berfikiran pendek dan tidak mempunyai sedikitpun kecintaan terhadap negara.
Yang penting bagi golongan ini adalah politik.
Enam insiden selepas PRU 12
Politik “kepala babi” bermula kembali semenjak tahun 2009.
Menjelang pilihanraya kampus pada 16 Januari tahun itu, kepala babi ditemui di salah sebuah surau di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Pada 27 Januari 2010, kepala babi ditemui di Masjid Jumhuriyah, Taman Dato Harun dan Masjid Al-Iman Al Tirmizi, Petaling Jaya, Selangor.
Pada 30 Disember 2011 kepala babi ditemui di Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya di Johor Baru. Terbaru di Rawang dan Sentul.
Apa yang boleh dibanggakan adalah kali ini, emosi orang-orang Melayu-Islam masih dapat dikawal dan tidak mudah terpengaruh dengan provokasi jahat seperti ini.
Bayangkanlah jika insiden sebegini berlaku dizaman sebelum Internet berkembang luas, sudah pasti sudah berlakunya pertumpahan darah yang meragut nyawa.
Mujur pertubuhan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memainkan peranan dengan mengeluarkan kenyataan untuk meminta umat Islam bertenang. Sudah pasti banyak lagi pertubuhan Islam yang sudah mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Wakil rakyat Cina
Lebih ironi lagi, kedua-dua kawasan insiden kepala babi mempunyai wakil rakyat yang berketurunan Tionghua. DUN Rawang diwakili oleh YB Gan Pei Nei.
Manakala Sentul pula terletak di bawah parlimen Batu dimana Naib Presiden PKR, YB Tian Chua adalah wakilnya.
Kedua-dua Gan Pei Nei dan Tian Chua adalah dari PKR.
Apakah insiden ini adalah sebahagian dari taktik untuk mengurangkan undi orang Melayu terhadap dua wakil rakyat ini?
Jika itulah tujuannya, kemungkinan besar taktik mencampakkan kepala babi kedalam masjid ini akan “backfire” kepada pelakunya oleh kerana taktik seumpama ini sudah dapat “dibaca” orang ramai.
Pada hari kepala babi ditemui di Sentul, penulis sempat bersembang dengan berberapa anak-anak muda Melayu di sebuah kedai makan.
Mereka tidak mempercayai kepala babi tersebut diletakkan oleh orang Cina di masjid kerana pada tanggapan mereka, orang-orang Cina tidak akan berani melakukan perbuatan terkutuk itu.
“Mana orang Cina berani bang. Diaorang mesti tau risiko ‘kena cincang’ kalau tertangkap semasa melakukan,” kata seorang anak muda kepada penulis.
Jangan gadai keharmonian negara kerana politik
Keharmonian hidup rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini jangan digadai.
Jangan hanya kerana mahu mempertahankan kuasa atau merebut kuasa, rakyat berbunuh-bunuh.
Mahukah Malaysia jadi seperti sesetengah negara dimana perang saudara tidak pernah berhenti?
Mujurlah kini orang-orang Melayu tidak lagi mudah dipergunakan.
Generasi muda hari ini kebanyakkannya berfikir dahulu sebelum bertindak walaupun telah banyak provokasi — menjurus kepada pergaduhan kaum dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertamadun.
Apabila berlaku provokasi sebegini berlaku, yang paling penting para pemimpin masyarakat harus keluar untuk menenangkan keadaan.
Apabila masyarakat berfikir dengan waras, provokasi tidak akan berjaya dilakukan.
Sudah sampai masanya agar masyarakat Malaysia menyatakan pendirian tegas menolak sebarang provokasi jahat seperti ini. Kita tidak mahu politik Malaysia ditentukan oleh kepala babi.
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.
No comments:
Post a Comment