Masa aku dalam parti, bila nak buat sesuatu cukup susah. Mula-mula kena cadang dan kena ada penyokong. Lepas tu kena bincang berjam-jam..baru masuk minit mesyuarat. Sebulan lepas tu..kena sahkan minit mesyuarat. Ingatkan dah boleh buat…tapi lepas pengesahan minit mesyuarat, ada pulak yang komplen bila tiba masa “Perkara berbangkit”. Kena ubah lagi.
Akhirnya tiga empat kali mesyuarat, apa pun tak jadi. Tu pasai bila nak buat sesuatu kadang-kadang kena plan tiga empat bulan lebih awal. Tu pun belum tentu boleh jadi.
Tapi bila kerja dengan anak muda yang tak terlibat dengan parti, cukup seronok dan mudah. Cadangan dibuat dengan lontaran idea dalam Facebook. Ada dua tiga orang yang sambut idea tu. Secara otomatik dah ada penyokong. Sapa yang tak setuju, depa buat tak tau dan tak mau masuk campur. Kira ok la..sebab kalau tak mau buat..duduk diam-diam. bukan macam dalam AJK parti, yang tak setuju tu la yang paling banyak buat bising supaya idea tu tidak terlaksana.
Dalam sistem terbuka melalui Facebook ini, idea terlaksana secara dinamik dan pantas. Kalau la sistem terbuka Facebook dapat dimanafaatkan oleh ahli politik, aku rasa ia membawa perubahan yang cukup drastik.
Sekitar 20 Januari lalu, ketika menulis tentang Teluk Rubiah, aku diberitahu bahawa Najib akan turun ke Sitiawan pada 28 Januari. Aku PM kat Otai Manjung..”tak nak sambut Najib ke?” Simple. Tak perlu bagi intro “Yang dihormati Ketua Cabang..Yang berusaha…bla.bla..bla”
Otai jawab.. “jom”. Tak perlu minta laluan dari pengerusi mesyuarat… “saya menyokong cadangan Sdr. Mat Saman”.
Satu idea dilontarkan…satu penyokong diperolehi.
Otai pulak secara sepontan PM kat member-member dia..” Jom sambut Najib.” Tak perlu tunggu minit mesyuarat disahkan.
Secara “live” dia dapat empat lima penyokong. Bukan setakat menyokong tapi terus menyumbang idea macam mana nak buat dan apa yang nak dibuat. Tak perlu taip notis mesyuarat, tak perlu adakan mesyuarat dan menghabiskan kopi O empat lima teko dan tak perlu menghabiskan masa berjam-jam menaip minit mesyuarat.
“Nak buat benda ni..mana nak cari dana?”…itu soalan utama yang pasti keluar dari AJK kalau dalam mesyuarat parti politik. Tapi dalam sistem Facebook, tak ada yang tanya. Sebaliknya..ada orang yang secara sukarela bagi tau..”aku tak boleh turut serta..tapi aku boleh sponsor banner.” Selesai. Kalau dalam politik, ini menjadi satu masalah..tapi diluar lingkungan kepartian..masalah tidak wujud.
Yang bersetuju terus bergerak. Yang tak bersetuju..duduk diam-diam. Tak payah bangkang..tak payah bagi cadangan mengapa idea itu tidak boleh dilaksanakan.
Aku selalu ingat, ahli politik adalah penyelesai masalah…tapi makin lama…aku merasakan depa la punca masalah. Tak ada masalah…depa cipta masalah. Kemudian cari seorang penyelesai. Dan penyelesai masalah ini akan dianggap “pemimpin”.
Hari Sabtu, 28 Januari, aku turun ke Manjung. Tak perlu notis mesyuarat. Tempat?..tak kisah kat mana pun. Kat kedai kopi, kat bawah pokok…kat pusat khidmat…kat pejabat PKR…Pas..DAP. Bukan jadi masalah.
Apa agenda mesyuarat? pun tak ada. Tapi semua orang tau..matlamat berjumpa ialah nak sambut Najib. Tapi bukan nak hantar bunga kat Bik Mama…ataupun nak cium tangan Najib…tapi nak hantar memo bantahan tentang kemusnahan alam sekitar yang berleluasa di Manjung.
Aku tau, akan ada orang yang kata ini kerja bodoh. Najib sepatutnya hadir di majlis yang penuh dengan orang. Orang Umno dah jangka akan bawa 40,000 orang. Seluruh ahli Umno diangkut ke Sitiawan. Pelajar sekolah pun dipaksa turun untuk menyambut Najib. Seluruh polis Manjung dikerahkan bertugas. Tak cukup dengan itu, pasukan Simpanan Khas dan UTK pun mesti ada. Najib sudah pasti dikawal rapi dan macam mana nak bagi memo kepada Najib dalam keadaan orang penuh sesak?
Tapi itulah ideanya…kita nak hantar memo ketika Najib sedang dikerumuni oleh ribuan orang!
So, kita rancang. Siapa yang ditugaskan untuk menghantar memo. Siapa yang ditugaskan untuk merakam peristiwa itu. Dan siapa yang ditugaskan untuk “membuka jalan”.
Memorandum dibuat serta merta. Poster juga dibuat pada masa itu juga. Semuanya berjalan lancar. tak ada Pengerusi Majlis, tak ada Setiausaha…tak ada Bendahari dan tak ada AJK.
Tup-tup…bila tiba saat yang genting..ada masalah. Jalan sesak sebab kebanyakan jalan ditutup. Kena ambil jalan pintas. Orang yang ditugaskan untuk menghantar memo jatuh sakit dan terpaksa berundur. Apa nak buat?
Ini baru masalah. Dalam keadaan bermasaalah, mereka yang oportunis akan lari. Bila keadaan reda dan selamat, merekalah hero. Itu dalam politik. Masa kena sembur air asid..kena pukul dengan belantan..yang bangkit melawan adalah anak muda. Tapi bila pilihanraya, yang menonjolkan diri sebagai pemimpin rakyat yang kononnya berjuang untuk rakyat kebanyakannya orang tua. Yang berebut jawatan dan berebut glamer juga orang tua.
Tapi dalam gerakan rakyat, berbeza. Dalam keadaan tersepit..akan lahir lah seorang pemimpin. Dalam keadaan huru-hara, akan lahir seorang pemimpin yang benar-benar berani dan berpegang kepada prinsip dan matlamatnya.
Pemimpin yang berani tidak memikirkan risiko. tidak mempunyai “fear”. Kalau dia nak turunkan gambar Najib..dia turunkan tanpa memikirkan apa yang akan berlaku kepada dirinya. Kalau dia nak rempuh Najib..dia akan rempuh tanpa memikirkan sama ada dia akan kena cekup atau tidak.
Orang yang berani membuat tindakan tanpa memikirkan risiko adalah anak muda. Orang tua akan memikirkan apa akan jadi kat anak dia kalau dia kena tangkap. Orang tua akan memikirkan apa akan jadi pada keluarganya kalau dia kena cekup. Orang tua akan memikirkan sapa nak jamin dia kalau dia kena tahan.
Perubahan akan berlaku apabila anak muda berani bertindak. Perubahan akan berlaku apabila anak muda bertindak diluar birokrasi kepartian. Anak-anak muda yang menyertai Keadilan dulu adalah mereka yang berani kejalanraya. Tapi apabila mereka dikongkong oleh birokrasi kepartian…mereka jadi tukang escort Anwar.
Anak muda yang menyertai Pas dulu adalah mereka yang berani menjadi benteng kepada serangan FRU, tapi bila mereka dikongkong oleh birokrasi kepartian, mereka hanya menjadi polis moral untuk Tantawi…memprotes konsert.
Aku bukan nak memperbesarkan atau mengagungkan kejayaan Otai Manjung menyerahkan memo bantahan kepada Najib. Aku juga bukan nak menyamakan tindakan Otai Manjung macam Adam Adli. Biarlah kepuasan itu dirasakan oleh mereka yang terlibat. Tapi satu trend yang aku nampak ialah..kebangkitan anak muda. - MSK
No comments:
Post a Comment