Wednesday, February 1, 2012

KUIN: ‘Saya mahu tentang Umno-BN bukan Pakatan’ tegas Azizan


KUALA LUMPUR, 1 Feb — Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengingatkan pemimpin Pakatan Rakyat untuk tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran Kolej Universiti Insaniah (KUIN), menegaskan “mahu mempertahankan Kedah dan menentang Umno-Barisan Nasional (BN) bukan parti perikatan itu.”

Beliau juga menyifatkan cadangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim agar mengambil pendekatan berunding dengan lima mahasiswa KUIN yang digantung pengajian mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebagai pandangan peribadi.

Azizan (gambar) juga turut menegaskan cadangan itu sepatutnya ditujukan kepada rektor KUIN dan bukan beliau yang hanya bertindak selaku pengerusi lembaga pengarah pusat pengajian tinggi itu.

“Apa yang beliau (Anwar) campur tangan dalam perkara ini, mengapa saya yang perlu berunding? Bukan saya yang berunding dengan mahasiswa itu tapi KUIN.

“Lagipun (kalau berunding) nak cakap pasal apa lagi, perkara ini dah lama...empat daripada mereka sudah masuk semula (sambung pengajian), selain itu nak berunding apa lagi sebab perkara ini dah dibawa ke mahkamah,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Pada Mei lalu, lima mahasiswa kolej universiti itu dibicarakan dan digantung pengajian kerana didapati terlibat dalam demonstrasi yang bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari yang diadakan di kediaman Ar-Razi, KUIN.

Mereka membantah pembinaan di kawasan tersebut kerana dilihat tidak strategik dan akan mengganggu proses pengajian dan pembelajaran mahasiswa tahfiz.

Mereka yang dikenakan tindakan gantung pengajian ialah Mohd Faiz Mohd Arshad, Mohd Azlan Mat Zain, Ahmad Remi Mohd Arof, Zukhilatif Marzuki dan Muhamad Aiman Che Abd Razak.

Ekoran penggantungan itu, kelima-lima mahasiswa itu mengambil tindakan perundangan mencabar keputusan KUIN itu. Kes itu akan disebut pada 12 Mac depan.

Selain mendapat kecaman dari kumpulan mahasiswa, Azizan turut dikritik pemimpin Pakatan Rakyat kerana masih melaksanakan AUKU walaupun parti pembangkang mahu memansuhkannya seperti yang terdapat dalam Buku Jingga.

Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari pula mencadangkan agar Pakatan Rakyat mengambil tindakan ke atas Azizan.

Azizan turut menegaskan tidak mahu terlibat dalam pentadbiran KUIN dan menyerahkan urusan itu rektor.

“Saya sudah cakap saya tidak campur tangan dalam urusan KUIN, saya hanya pengerusi lembaga pengarah...saya bukan rektor, saya serahkan kepada KUIN,” katanya.

Dengan nada tegas Azizan mengingatkan Pakatan Rakyat fokusnya adalah untuk mempertahankan Kedah dan menentang Umno-BN pada pilihan raya umum ke-13.

“Kita Pakatan Rakyat, bukan BN...fokus kita untk tumbangkan Umno-BN.

“Saya nak pertahankan kerajaan negeri Kedah, saya mahu kalahkan Umno-BN...sebab itu saya tidak campur tangan urusan KUIN, biar KUIN selesaikan,” katanya. MI

MB: Pihak pertikai KUIN tak faham undang-undang
5:41PM Feb 1, 2012
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pihak yang mempertikaikan keputusan Kolej Universiti (KUIN) menggantung lima pelajarnya, tidak memahami undang-undang yang digunakan universiti milik kerajaan negeri itu.

Azizan yang juga Pengerusi KUIN menjelaskan, tindakan yang dikenakan bukan mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 kerana Auku adalah bagi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sedangkan Kuin adalah IPT Swasta (IPTS).

"Mereka yang tak faham...tembak tak betul menyebabkan semua orang keliru dan pening kepala. Saya dah beri jawapan (undang-undang) IPTS lain daripada IPTA," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Alor Setar hari ini.

Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, beliau telah menerangkan perkara itu kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan hari ini beliau mengarahkan setiausaha politiknya supaya ke Kuala Lumpur bersama dokumen berkenaan untuk menjelaskan perkara itu lagi.

"(Pengurusan KUIN) sebagai satu badan bebas, apa keputusan dibuat selagi tak bercanggah dengan prinsip nyata biar mereka putuskan. Saya tak boleh campur tangan.

NONE“Saya pun tak boleh cakap banyak kerana perkara ini telah pun dibawa ke mahkamah...bukan kami tetapi pelajar tu yang bawa ke mahkamah," katanya.

Katanya lagi, difahamkan KUIN telah melantik peguam Karpal Singh untuk mewakili mereka dalam kes itu.

Lima pelajar universiti itu digantung pada April lalu kerana memprotes tindakan universiti mengosongkan asrama mereka di kediaman Ar-Razi di Alor Setar.

Bagaimanapun, empat daripada pelajar terbabit sudah dibenarkan menyambung semula pengajian baru-baru ini manakala seorang lagi masih dalam penggantungan. - Bernama


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular