Lirik “Awan Nano” tulisan seorang penulis yang berpolitik – Hasmi Hashim – menang Anugerah Juara Lagu. Siapa Hasmi yang glamor ini? Dia adalah Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Parit Sulong. Hasmi pernah bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Semerah. Dia juga bertarung di pemilihan parti untuk kerusi Ketua Angkatan Muda, dua kali. Sekali kalah, kali kedua, dia tarik diri.
Politik dan seni tidak ada sebab untuk dipisahkan. Politik itu pun seni segala mungkin. Maka Hasmi ambil jalan seni, untuk menambah seni kepada seni kemungkinan. Karya tulisan Hasmi tentang politik sangat banyak. Di kalangan teman-teman, dialah sifu. Bukan M. Nasir. Kerana tulisan politik Hasmi berseni. Bukan sekadar bahasa teknikal maki hamun realpolitik biasa.
Cantiknya tulisan Hasmi ini buat “Awan Nano” jadi lagu yang baik. Dan akhirnya berjaya dia menyusup masuk ke pentas TV3 tanpa perlu berpaling tadah seperti kebanyakan politisi yang lompat parti demi satu minit muncul di kaca televisi. Hanya dengan menulis dan berkarya, itu sahaja modalnya. Dengan sedikit air liur barangkali.
Orang-orang PKR sendiri tidak kenal Hasmi itu si Budhi Hekayat penulis lirik lagu yang menang AJL. Mungkin kerana budaya tidak dibudayakan dalam parti-parti politik. Bungkam parti-parti politik dengan aktiviti malar berpolitik jatuh menjatuh dan halang menghalang.
Penulis tidak dirai, malah dipandang tepi-tepi. Kalau boleh disapu buang dengan penyapu, nescaya sudah dibuat begitu. Yang tinggal dalam parti-parti politik hanyalah macai-macai kuasa yang berebutkan kerusi bos-nya yang akan bertukar punggung.
Hasmi, sewaktu bergulat dalam lomba menuju Ketua AMK dua tahun lalu, disebut sebagai seorang ‘budayawan yang akan menggegar’pemilihan PKR. Itu ayat Astro Awani.
Apa itu penulis
Tahun 2007, dia buat perkara serupa. Dia tuliskan pengalaman itu apabila ditanya tentang apa kerjanya.
“Kerja?”
“Penulis,” kata saya.
“Kerja apa?” dia bertanya lagi.
“Penulis,” jawab saya sekali lagi.
Lalu diumumkan dari sudut paling tinggi di belakang pentas, “OK… seorang peguam, ya saya hendak beritahu; seorang peguam lawan seorang… emmm apa tadi?”
“Penulis!” kali ini cukup keras.
“…Ya, lawan seorang penulis!” lakonnya.
Saya tidak fikir, dia tidak tahu. Tapi saya senyum, dan sebenarnya tertawa dalam hati dek ‘senda-gurau’ yang sampai sebegitu rupa.
Dan kemudian dia menyambung lagi.
“Patutnya kau perkenalkan diri sebagai businessman ke… asalkan jangan penulis,” dia memberi nasihat. Saya dengar.
“Jadi, sebagai apa? Penipu!?” tanya saya.
Tidak.
Saya kata, saya penulis dan saya memperkenalkan diri sebagai seorang penulis.
Tidak cukup itu, dia tambah lagi:
Pernahkah diketahui dan insafi bahawa pejuang kemerdekaan dan pemimpin ulung bangsa Nusantara seperti Muhammad Hatta, Muhammad Natsir, Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestaman bahkan Seokarno itu sendiripun tak lekang dengan kerja tulis-menulis? Mereka bukan sahaja dikenali sebagai ‘politikus biasa’ yang melambak sepertimana yang ada sekarang, tetapi juga sebagai penulis, kerana menulis itu adalah secebis petanda seseorang itu berfikir dalam setiap langkahnya. Termasuk keputusan politik. (dipetik dari http://jalantelawi.com/2010/01/penulis-di-pentas-kongres/ )
Politisi yang malas menulis, selayaknya jual kain ela. Pergi dari rumah ke rumah, jual kain untuk dibuat baju raya. Menjual idea tanpa menulis, menjanji kebaikan tanpa menulis, samalah halnya seperti jual kain. Atau gelang MLM, yang mana berkenan.
Mengapa politisi perlu menulis
Politisi yang menulis adalah politisi yang baik. Bukan hendak kata bahawa politisi yang tidak menulis itu tidak baik, cuma kuranglah sikit kualitinya. Seperti seorang doktor tidak pernah mengubat penyakit bahaya, atau sambut bayi baru lahir. Demikianlah persamaannya.
Apa gagasan yang dia punya, seharusnya dituliskan. Apa harapan apa cita-cita, tuliskan dan sebar supaya orang boleh baca dan kritik, barulah panggil diri politisi sebaris nama-nama besar.
Testamen Politik Anak Muda adalah buku kecil tulisan Hasmi yang diisi sarat dengan aspirasi politiknya untuk anak muda. Testamen politik ini menggagaskan supaya anak muda pelapis pimpinan masa depan negara harus ada kesanggupan untuk berfikir, bertepatan Gagasan Pencerahan yang telah dia bawa untuk saban tahun.
Ya, sang politisi penulis lirik turut punya sisi pemikir. Dia boleh syarahkan Was Ist Aufklarung tulisan Kant dengan fahamnya sendiri; untuk bawa keluar manusia dari gelap pembodohan.
Memecahkan kebuntuan fikir manusia ini kerja penulis dan budayawan yang politikal. Ia punya tanggungjawab agung untuk cuba olah corak fikir masyarakat sezamannya kepada trend yang lebih masuk akal.
Trend yang lebih kena dengan kewarasan umum dan kehendak semasa. Pecah dari kebuntuan dan gelap pembodohan sejak zaman sebelum merdeka yang diacuankan United Malays National Organisation.
Itu kerja penulis. Menulis ayat-ayat yang mengajak fikir. sapere aude. – Roketkini.com
Lihat ke arah sana
Serakan warna dan berarakan...awan
Pabila terik-panas
Segera hadirnya memayungi.. diri
Pabila kau dahaga
Sesegera turun hujan melimpahkan... kasehnya
Pabila kau katakan
Akulah awan itu yang kau mahu
Begitulah awan nano
Setia melindungi diri
Tika panas mencuba menggores pipi ...
dan bibirmu
Begitulah awan nano
Sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai... jejarimu
Kasehnya
Kaseh tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Awan kekaseh sebenarmu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu... ooooo-ooo
Lihat diriku ini
Yang sesekali pernah kau bagaikan... awan
Sehingga tak mungkin terlupa
berikan belas sedari... dulu
Sehingga tak mungkin termampu saksi
Setitispun air matamu...kasehku
Sehingga kau katakan
Akulah awan itu yang kau rindu
Akulah awanmu yang sedia
Melindungi dirimu tika panas mencuba menggores pipi..
Dan bibirmu
Akulah awanmu yang sering kau rindu
dan tak terduga hadirmu walau tak tercapai... jejarimu
Kasehku
Kaseh tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
walaupun tak akan tercapai jejarimu... oooo-oooo
Begitulah awan nano
Setia melindungi diri tika panas mencuba menggores pipi ...
Dan bibirmu
Begitulah awan nano
Sering saja tak terduga hadir
Dan tak akan tercapai.. jejarimu
Kasehku
Kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu...woooo-woo..
No comments:
Post a Comment