APAPUN keputusan mesyuarat luar biasa Parti Kesejahteraan Tanah Air (KITA) pimpinan Datuk Zaid Ibrahim nanti - sama ada untuk menerima cadangan pembubaran atau menyingkirkan Zaid sebagai Presiden, masa depan Zaid bersama dengan parti tersebut bolehlah dikatakan sudah berakhir.
Zaid mengambil alih AKIM – sebuah parti kecil berasal dari Kelantan dan menukar namanya kepada KITA, untuk melaksanakan reformasi politiknya sendiri setelah dia gagal melakukannya di dalam UMNO dan PKR.
Silapnya, Zaid memilih untuk memegang jawatan Presiden yang boleh dicabar dalam pemilihan parti tersebut di masa hadapan. Justeru ia terikat kepada peraturan Pendaftar Pertubuhan yang mensyaratkan pemilihan setiap 3 tahun sekali
Sebenarnya adalah lebih bijak kalau Zaid mewujudkan jawatan yang serupa dengan Mursyidul Am dan Ketua Umum dalam masing-masing PAS dan PKR. Walaupun kelihatan agak tidak demokratik kerana tidak melalui proses pemilihan terus oleh perwakilan, tapi ia perlu dilakukan demi memastikan parti yang masih muda ini mencapai matlamat penubuhannya.
Dengan cara itu sahaja Zaid boleh mengawal parti tersebut mengikut kemahuannya agar semua ‘pelaburan’ yang telah dibuat dalam proses pengambil alihan KITA dahulu, berbaloi.
Tapi dek kerana terlalu taksub dengan fahaman politik baru yang dia sangka akan berjaya melalui KITA, Zaid kehilangan peluang itu dan sekarang ahli-ahli parti tersebut tidak lagi mendengar arahannya dan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak Zaid.
Keadaan ini benar-benar mengecewakan Zaid kerana mesej pembaharuan politiknya tidak sampai ke peringkat akar umbi parti tersebut sehingga mendesaknya untuk membuat keputusan membubarkan KITA.
Di samping itu, penulis juga mendengar KITA berhadapan dengan masalah kewangan untuk menguruskan parti tersebut. 2/3 daripada perbelanjaan untuk aktiviti politik KITA adalah dikeluarkan oleh Zaid sendiri.
Walaupun kaya tapi Zaid dikatakan eorang yang kedekut.
Persoalan besar sekarang ialah, kemana Zaid selepas KITA?
Penulis pasti PKR tidak akan membuka kembali pintunya untuk Zaid setelah segala macam kerosakan yang dilakukannya kepada perpaduan dan kesatuan parti tersebut dalam pemilihan Nasional 2010.
Tapi penulis tidak pasti tentang PAS dan DAP. PAS boleh mendapat suntikan kewangan dari Zaid manakalan DAP boleh menggunakan kelebihan Zaid sebagai peguam yang memang menjadi tradisi tidak langsung parti tersebut.
Bagaimanapun, kemasukan Zaid ke dalam mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat pasti akan mendapat tentangan dari PKR kerana Zaid sudah terbukti seorang perosak besar. Dia sudah membuktikannya dalam UMNO, PKR malah dalam parti KITA dimana dia juga adalah pengasasnya.
UMNO dan mana-mana komponen dalam BN sudah tentu tidak termasuk dalam perancangan politik masa depan Zaid kerana masalahnya terlalu ketara.
Zaid lebih elok kalau dibiarkan bersendirian, bergelumang dengan dunia perundangan yang menjadi punca kemewahannya. Zaid sudah membuktikan bahawa dia sudah tidak lagi sesuai menjadi pemimpin atau memimpin mana-mana parti politik. - Suara Pakatan Rakyat
No comments:
Post a Comment