Pada 25 Oktober 1978, YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Ahli Parlimen Pengkalan Chepa pernah bertanya di dalam parlimen pada masa itu berkenaan dengan pegerakan Freemason yang dikaitkan dengan zionisme.
Perdana Menteri, Allahyarham Tun Hussein Onn yang menjawab soalan itu turut diajukan soalan tambahan bahawa adakah kerajaan Malaysia berhasrat untuk mengharamkan pertubuhan Freemason, jawapan beliau pada masa itu ialah tidak. Hari ini, generasi muda yang lahir dalam era 80-an tentu sekali tidak mengingati isu ini yang diperdebatkan hangat pada masa itu jika tidak membelek lembaran sejarah.
Sikap PAS terhadap Israel sentiasa tidak berubah. Tuan Guru Nik Aziz tegas menyatakan sikap ini lewat kunjungan Duta Amerika Syarikat ke pejabatnya pada tahun lepas bahawa sepasang selipar pun tidak berhak untuk dirampas oleh mana-mana pihak dari tuannya yang sah. Apatah lagi untuk merampas tanah yang merupakan milik rakyat Palestin, lebih-lebih lagi merupakan jenayah yang sangat kejam. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf rampasan ini pada 1948 sedikitpun tidak berhak untuk membuat keputusan yang menganiayai rakyat Palestin sehingga ke hari ini. Saya yang turut serta dalam perjumpaan itu masih ingat soalan yang ditanya oleh Duta Amerika Syarikat sewaktu Tuan Guru menyatakan pandangan itu, “apakah tuan mengira bahawa bangsa Yahudi tidak berhak memiliki sebuah negara?”. Tuan Guru menjawab, sebagai manusia, mereka berhak untuk bernegara, tetapi persoalannya kenapa dipilih tanah Palestin yang sudah bertuan? Jika benar Amerika Syarikat mahu bersikap prihatin terhadap bangsa Yahudi, sedekahkan sahaja sebahagian tanah Amerika Syarikat untuk menjadi negara Yahudi!
Hari ini, wartawan bertanya sikap Tuan Guru Nik Aziz tentang kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan mengiktiraf hak Israel ke atas tanah Palestin. Jawapan Tuan Guru, kenyataan Anwar Ibrahim harus diperjelaskan oleh beliau sendiri. Memetik kata-kata Anwar dari media massa milik UMNO umpama bertanya tentang mutu kereta Honda kepada pengeluar Toyota. Sudah tentu diperhodohkan sehingga ke tahap maksimum. Bukankah beberapa minggu lepas, media massa inilah yang memutarbelitkan kenyataan Anwar yang didakwa menyokong homoseksual, sedangkan apa yang diperkatakan sebaliknya. Bukan beliau sahaja yang menjadi mangsa media massa milik UMNO ini, bahkan Tuan Guru sendiri saban waktu sentiasa dicari celah munasabah untuk diputarbelitkan kenyataannya. Bahkan sepanjang 21 tahun Tuan Guru mentadbir Kelantan selaku Menteri Besar, berapa keratkah laporan positif yang keluar tentang Kelantan? Pagi, petang, siang dan malam, tidak henti-henti media massa ini menghentam kerajaan Kelantan yang ditadbir oleh PAS. Alhamdulillah, Allah SWT memberikan kekuatan yang berpanjangan kepada PAS untuk terus berdiri tegak di bumi Serambi Mekah ini.
Hari ini, UMNO bertindak seolah-olah merekalah juara rakyat Palestin. Barangkali mereka fikir rakyat telah lupa bagaimana APCO Wordwide, sebuah syarikat perunding antarabangsa yang mempunyai kaitan dengan Yahudi diberikan kontrak bernilai hampir RM77 juta khusus untuk meningkatkan imej kerajaan UMNO dan Barisan Nasional? Dengan duit apa kontrak ini dibayar jika tidak dengan duit rakyat? Pandangan Anwar Ibrahim masih dalam ruang lingkup perbincangan apatah lagi ia dilaporkan oleh media massa lidah UMNO, namun tindakan UMNO menggunakan khidmat APCO ini sudah jelas mengkhianati wang rakyat. Dan janganlah lupa bahawa pada 16 Ogos 1999, Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada masa itu pernah menghantar surat kepada Perdana Menteri Israel Ehud Barak di atas kemenangannya pada pilihanraya!
Hakikatnya, isu ini hanyalah modal sementara untuk menyerang kepimpinan Pakatan Rakyat. Padahal seharusnya mereka sedar, Israel dibenci bukan kerana namanya Israel, tetapi kerana kezalimannya merampas hak rakyat Palestin. Apakah bezanya dengan tindakan merampas hak royalti minyak milik sah rakyat Kelantan tanpa satu sen pun dibayar kepada anak bumi Kelantan? Sebenarnya, bukan Israel sahaja yang zalim.
Penulis adalah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan. - Harakah Daily
No comments:
Post a Comment