GAMBARAN jelas tarikh pilihan raya umum semakin hampir, Datuk Seri Najib Razak buat pertama kali mengumumkan Umno mempertimbangkan untuk mengaktifkan jawatankuasa disiplin parti sebagai persiapan awal.
Presiden Umno ini menjelaskan langkah itu diambil untuk mengukuhkan disiplin parti dan seterusnya menghalang sebarang usaha untuk sabotaj pemilihan parti sebelum pilihan raya diadakan.
“Kami tidak mahu sesuatu berlaku selepas pemilihan, kesannya telah pun berlaku. Jadi lebih baik kita proaktif. Ini adalah yang pertama kali, dalam erti kata lain kami mengaktifkannya (jawatankuasa) lebih awal,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ahli Majlis Tertinggi Umno malam kelmarin.
Perdana Menteri bagaimanapun menafikan Umno menjangkakan sabotaj besar-besaran di antara ahli akan berlaku pada pilihan raya umum akan datang menambah ia hanya langkah berjaga-jaga.
Beliau berkata ia bukan perkara luar biasa menghadapi masalah disiplin dalam mana-mana pilihan raya terutamanya dari ahli-ahli yang tidak dipilih menjadi calon.
“Dalam parti yang besar, terdapat ramai yang membantah...Mungkin mereka tidak dipilih dan pengikutnya, yang akhirnya memilih menyokong pembangkang. Oleh itu, pada saat ini kita perlu kukuhkan disiplin (dalam parti),” kata Najib.
Beliau berkata Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menentukan pembentukan jawatankuasa disiplin dan jumlah anggotanya.
Dijangkakan Najib akan memanggil pilihan raya umum Ke-13 lebih awal, mengambil kira faktor kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim awal bulan ini, Bajet 2012 dan janji-janji transformasi termasuk jaminan akan meningkatkan kebebasan awam.
Mengenai persiapan Umno menghadapi pilihan raya umum, Najib menunjukkan tanda isyarat bagus tetapi menambah masih banyak perkara perlu dilakukan bagi memastikan kemenangan setiap calon.
“Lantaran, sudah menjadi tanggungjawab ahli majlis tertinggi untuk bekerja lebih keras tanpa mengira waktu,” katanya.
Pada perhimpunan agung Umno Disember lalu, Najib memberitahu kepimpinan tertinggi parti itu mengutamakan perpaduan berbanding kepentingan diri sendiri dan melatakkan pilihan raya umum fokus penting daripada pemilihan parti.
Beliau mengingatkan gendang pilihan raya semakin kuat dan meminta semua ahli perlu mementingkan 'calon mampu menang' pada pilihan raya umum, yang beliau ramalkan akan menjadi 'luar biasa.'
Masalah dalaman dan sabotaj, termasuk ahli parti menentang Barisan Nasional (BN), dikatakan penyumbang utama kepada prestasi suram Umno pada pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan parti pemerintah itu hilang majoriti dua pertiga di Parlimen. sabahkini.net
No comments:
Post a Comment