Azizan sedia dipecat jika bersalah dalam isu KUIN KUALA LUMPUR, 27 Jan — Datuk Seri Azizan Abdul Razak menempelak pakar perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari sambil menegaskan bersedia berdepan dengan apa jua tindakan oleh Pakatan Rakyat termasuk dipecat sekiranya bersalah.
Menteri Besar Kedah ini mengulas desakan Aziz semalam agar Pakatan Rakyat mengambil tindakan tegas terhadap beliau kerana mengambil tindakan ke atas lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tahun lepas.
Menyentuh soal prinsip Buku Jingga yang mahu memansuhkan AUKU, Azizan menegaskan “Buku Jingga bukan al-Quran” yang harus dipatuhi sepanjang masa.
“Ada perkara boleh laksana dan ada perkara yang tidak boleh...kena lihat pada keadaan,” katanya kepada The Malaysian Insider.
“Kalau Pakatan Rakyat nak ambil tindakan terhadap saya, ambillah...ini urusan universiti, saya tidak campur tangan (dalam soal tindakan tatatertib),” tambahnya.
Mei lalu, lima mahasiswa kolej universiti tersebut dibicarakan dan digantung pengajian kerana didapati terlibat dalam demonstrasi yang bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari yang diadakan di kediaman Ar-Razi, KUIN.
Mereka membantah pembinaan di kawasan tersebut kerana dilihat tidak strategik dan akan mengganggu proses pengajian dan pembelajaran mahasiswa tahfiz.
Mereka yang dikenakan tindakan gantung pengajian ialah Mohd Faiz Mohd Arshad, Mohd Azlan Mat Zain, Ahmad Remi Mohd Arof, Zukhilatif Marzuki dan Muhamad Aiman Che Abd Razak.
Ekoran penggantungan itu, kelima-lima mahasiswa itu mengambil tindakan perundangan mencabar keputusan KUIN itu.
Kes itu akan disebut pada 12 Mac depan.
Azizan turut menyifatkan Aziz “buta undang-undang” dan tidak bersikap seperti tokoh akademik.
“Macam mana beliau (Aziz) suruh saya campur tangan dalam hal pentadbiran universiti? Yang kedua perkara ini sudah dibawa ke mahkamah...jadi buat apa nak bising, tunggu sahaja kes bermula.
“Sekarang nak suruh saya buat macam Umno pula, semua perkara di bawah urusan KUIN...saya tidak campur tangan, biar pihak pengurusan dan pentadbiran yang buat,” katanya.
Beliau menambah: “Kalau beliau pakar perlembagaan patut tahu bila dah bawa ke mahkamah buat apa nak bising. Beliau dangkal, belajar perlembagaan tapi tidak tahu prosedur.”
Azizan turut menegaskan AUKU telah dilaksanakan di KUIN sejak sekian lama dan ia tidak mendatangkan sebarang masalah.
“Saya anak AUKU, tiada masalah...KUIN adalah hak Kedah, bukan pusat. Jadilah rasional, ‘gentleman’ sikit.
“Undang-undang di KUIN sebelum saya masuk sudah ada. Di Selangor ada tak AUKU? Universiti di Selangor ada AUKU tak? Kami universiti swasta, teori lain...amalan lain,” katanya.
Beliau menambah segala urusan KUIN dilaksanakan pentadbiran universiti bukannya beliau yang memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN.
“Tanggungjawab di bawah urusan pentadbiran, kita ada rektor, ada kakitangan KUIN bukan saya.
“Kalau Pakatan Rakyat nak pecat, pecatlah...ingat mudah,” katanya.
PAS akan meminta Azizan memberikan penjelasan berhubung penggantungan lima mahasiswa KUIN pada 12 Februari ini semasa mesyuarat bulanan PAS pusat di ibu pejabat parti Islam itu. MI
No comments:
Post a Comment