SHAH ALAM - Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub (gambar) berkata, gesaan Prof Dr Abdul Aziz Bari agar kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) mengambil tindakan ke atas Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhubung isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) tidak timbul dan ia juga bukan formula penyelesaian.
Sebaliknya menurut beliau, PR perlu memberi tumpuan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dengan membentuk kerajaan peringkat persekutuan pada pilihan raya umum akan datang.
"Pakatan akan mengambil tindakan maksimum untuk memansuhkan Auku," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Salahuddin berkata, semua pihak perlu melihat bahawa masalah semasa ini berpunca daripada kewujudan Auku itu sendiri.
"Seharusnya jangan kita mengalihkan senapang, tembakan ke arah pihak (kumpulan sasaran) yang salah. Apa yang penting, kita memaksimumkan serangan ke arah BN (Barisan Nasional), tindakan untuk memastikan Auku ini dihapuskan," kata Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Sehubungan itu, Salahuddin berkata, pendekatan mengambil tindakan ke atas Azizan tidak akan menyelesaikan kontroversi semasa, sebaliknya isu yang timbul memerlukan penyelesaian menyeluruh dengan memansuhkan Auku.
"Saya tidak fikir ia akan menyelesaikan masalah (dengan mengambil tindakan ke atas Menteri Besar)," katanya.
Ditanya sama ada PR akan membincangkan perkara itu, Salahuddin berkata, "tidak dalam keadaan untuk dibincangkan."
Dalam temu bual dengan Sinar Harian semalam, Menteri Besar Kedah berkata, orang luar tidak perlu masuk campur urusan pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk isu Kuin kerana pihaknya lebih tahu situasi yang berlaku berbanding pihak-pihak lain.
Mengulas gesaan Prof Dr Abdul Aziz Bari, Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, pakar perlembagaan itu sepatutnya lebih mengetahui selok-belok undang-undang dan keputusan mahkamah dan oleh itu, tokoh akademik berkenaan tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan pengurusan Kuin menggantung lima pelajarnya.
“Kita tidak akan layan segala desakan untuk menarik balik keputusan yang sudah dibuat. Lagipun isu ini sudah lama,” kata beliau.
Aziz mencadangkan PR agar mengambil tindakan terhadap Azizan kerana menggunakan Auku untuk menggantung enam pelajarnya sedangkan perikatan itu mendesak akta tersebut dimansuhkan.
Sebelum ini, dalam perbicaraan pada 25 Mei lalu, enam pelajar kolej universiti itu digantung pengajian dan seorang dikehendaki membayar denda.
Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Muhamad Aiman Che Abd Razak, Zukhilatif Marzuki, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Mohd Arof digantung satu semester dan diberi surat amaran.
Seorang lagi, Mohamad Farhan Mohamad Baharin juga diberi surat amaran dan didenda RM100.
Mereka didakwa mengikut kesalahan di bawah Auku kerana menyertai demonstrasi, memberi ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang media.
Mereka didapati terlibat dalam demonstrasi bertujuan menyatakan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari.
Azizan yang juga Pengerusi Kuin turut menganggap kes enam pelajar terbabit selesai setelah mereka dikenakan tindakan tata tertib termasuk digantung pengajian manakala seorang lagi dikehendaki membayar denda.
Dalam pada itu, ketika bercakap kepada Sinar Harian di Padang Besar hari ini, Salahuddin berkata, mana-mana pihak termasuk tokoh akademik tidak wajar menuding jari terhadap Azizan yang menyokong tindakan Kuin menggunakan Auku untuk menggantung lima pelajarnya dalam perbicaraan 25 Mac lalu.
Menurut Salehuddin, gesaan itu dibuat disebabkan Kuin itu sendiri menjadi mangsa kepada pelaksanaan Auku yang diwajibkan ke atas seluruh institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Menurutnya, sebagai sebuah institusi yang terikat kepada undang-undang ditetapkan, Kuin tidak boleh sewenang-wenangnya melanggar peraturan semata-mata untuk memenuhi perjuangan Pakatan Rakyat(PR) yang mahukan Auku dimansuhkan.
"Sebagai pemimpin utama Kuin, Datuk Seri Azizan(Abdul Razak) harus akur pada peraturan ditetapkan dan tidak sewenang-wenangnya melanggar peraturan itu semata-mata memenuhi tuntutan kepartian demi masa depan institusi itu sendiri.
"Justeru, konflik melibatkan Auku hanya berakhir setelah akta itu 'dibunuh' dan semua rakyat negara ini perlu bersatu menumbangkan Kerajaan Pusat di bawah Barisan Nasional(BN) untuk memastikan akta itu benar-benar dimansuhkan," katanya pada program perasmian Sambutan Jubli Perak Pasti Nurul Hayah, Santan, Padang Besar. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment