Sunday, January 22, 2012

BR1M :ahli UMNO dan penyokong kuat BN telah diperdaya

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : OLEH ROSALINDA ROSE

PEMBAYARAN BR1M bagi hari kedua fasa pertama di DUN Sungei Sibuga dan Gum-Gum bagi Parlimen Libaran yang dijadualkan pada 20 Jan 2012 di Dewan Seri Libaran Kampung Sungei Kayu Jalan Air-Port telah mengecewakan seramai 742 orang; sebahagian besarnya warga tua yang berjalan menggunakan tongkat; tetapi disuruh pulang kerana pada hari itu tiada pembayaran dilakukan.

Dua orang penduduk Rancangan Sungei Manila Peringkat 1, Ramlie Syukur selaku Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kuala Gum-Gum dan rakannya ialah Mohd Ayim Harun semasa ditemubual oleh Sabahkini.Net; masing-masng menyatakan mereka sungguh amat kecewa dengan perbuatan pihak penganjur program penyampaian BR1M yang memperbodoh-bodokan orang ramai sehingga menimbulkan kemarahan di kalangan mereka.

“Saya sebagai pengundi di kawasan Gum-Gum dan merupakan ahli UMNO dan penyokong kuat BN telah diperdaya kerana telah dijanjikan pembayaran tersebut akan dilakukan pada 20 Jan 2012 tetapi hampa,” kata Ramlie.

Yang menghairankan beliau, kenapa sistem di Tawau dan Kota Kinabalu tidak sama dan lebih jauh berbeza berbanding di Sandakan? Kenapa pembayaran BR1M harus melalui pejabat ADUN dan kenapa tidak diurus sendiri sepenuhnya oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)?

Kata Ramlie, sistem pembayaran BR1M yang diguna pakai oleh pejabat DUN yang dilakukan sekarang ini jelas kelihatan menjurus kepada sistem menyusahkan rakyat yang tinggal jauh yang menggunakan tambang yang mahal terutama sekali golongan warga tua.

"Sekali kami sampai ke Dewan Seri Libaran, kami diusir tanpa sebarang notis," kata Ramlie yang kecewa dengan manipulasi urusetia yang mempermainkan mereka.
LULUS..... BUKTI....Ramlie (kanan) dan Mohd Ayim menunjukkan surat tawaran BR1M.

Sementara itu, Mohd Ayim pula mempersoalkan kenapa pembahagian BR1M itu dipolitikkan sehingga membuang masa rakyat mendengar ucapan Wakil Rakyat yang hanya memperbaharui janji kosong; sedangkan rakyat terburu-buru ingin pulang segera kerana menghadapi masalah perhubungan.

"Inilah susahnya. Kenapa pembayaran BR1M ini dimestikan melalui saluran politik? Kenapa tidak diberikan kuasa mutlak kepada pihak LHDN saja yang mengurus dan melaksanakan pembayaran terus melalui akaun bank masing-masing? Bukankah lebih mudah lagi tidak menyusahkan rakyat, terutama sekali golongan warga tua yang jalanpun terbengkang sana, terbengkang sini ke pusat pembahagian itu?,"tanya Mohd Ayim yang meminta agar Wakil Rakyat tidak mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain.

Kata Ayim lagi, jika pembayaran BR1M menggunakan sistem yang diguna pakai sekarang ini oleh pejabat ADUN berkenaan dikekalkan, akan menyusahakan rakyat kerana ada penerima yang mengundi Gum-Gum; tetapi nama mereka tidak tercatat kerana terdaftar di kawasan lain, seperti di Elopura dan Sekong.

"Seperkara yang saya ingin dedahkan di sini, untuk mendapatkan Surat Tawaran BR1M kita terpaksa pergi ke pejabat ADUN masing-masing. Sebelum itu kita pergi dulu ke pejabat LHDN untuk mendapat pengesahan sama ada kita layak ataupun tidak. Kemudian kita pergi ke pejabat ADUN untuk menyemak nama-nama kita sebelum dibagikan surat berkenaan. Selepas itu kita pergi lagi ke pusat-pusat pembayaran BR1M. Sudah beberapa tempat yang harus kita lalui, bukan saja buang tambang tetapi telah membuang banyak masa kita. Ada yang terpaksa cuti kerja dua hari,” kata Mohd Ayim lagi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular